Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN GCE PERINGKAT 'A'

Pelajar RI ulangi prestasi cemerlang

Feb 23, 2019 | 05:30 AM



ENAM tahun lalu, Muhammad Khalis Samion mengungguli Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dengan agregat 275 mata.



Malah, beliau muncul antara pelajar terbaik di Singapura.



Tahun ini, beliau mengulangi kecemerlangan itu.



Beliau dipercayai antara pelajar terbaik Peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'A' tahun ini dengan mencapai gred 'A' dalam lima subjek.



Mengenai cita-citanya, pelajar Raffles Institution (RI) itu menunjukkan beliau tidak melupakan perkara yang menyumbang kepada kejayaannya - beliau ingin menjadi guru demi menyumbang kembali kepada masyarakat.



Khalis, 18 tahun, ingin menabur bakti dalam bidang pendidikan bagi menghargai sumbangan yang beliau sendiri terima daripada pelbagai pihak untuk belajar di RI. Beliau juga ingin membantu memperkasa masyarakat menerusi ilmu.



"Masalah utama ialah pengetahuan dan kurangnya pengetahuan dalam masyarakat.



"Akan ada dua jenis golongan (dalam masyarakat) - yang mahu ambil tahu dan lebih selesa diberikan (ilmu) sahaja.



"Kita tak boleh salahkan golongan yang lebih selesa diberikan kerana mereka mungkin ada masalah lain.



"Jadi golongan yang ambil tahu ini, tanggungjawab mereka adalah menyebarkan pengetahuan tersebut.



"Insya-Allah, saya nak jadi sebahagian daripada golongan itu. Maka, salah satu cara paling mudah untuk melakukan sedemikian adalah menjadi guru," katanya.



Khalis meraih gred 'A' bagi subjek Kertas Am (H1), Sejarah (H2), Ekonomi (H2), Matematik (H2), dan Bahasa dan Sastera Melayu (H2). Beliau juga lulus subjek sejarah di peringkat H3.



Sebelum ini, soal biaya pengajian di RI sebenarnya menjadi antara keprihatinan keluarga.



Setelah beliau mendapat keputusan cemerlang dalam PSLE enam tahun lalu, mereka risau kerana kurang berkemampuan. Khalis anak bongsu dalam keluarga empat beradik.



Namun, pihak sekolah tampil memberi bantuan kepada Khalis.



Beliau menerima subsidi 100 peratus selama empat tahun dan subsidi 90 peratus selama dua tahun bagi yuran sekolahnya menerusi Dermasiswa Sekolah Bebas semasa belajar di RI.



Beliau juga menerima Biasiswa Raffles sepanjang enam tahun di RI, yang menyediakan anugerah hingga $3,000 bagi menampung belanja harian dan akademik serta program pengayaan.



Sebelum ini, akhbar Berita Harian juga melaporkan perihal beliau menerima anugerah Edusave daripada Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Encik Patrick Tay Teck Guan, enam tahun lalu.



Khalis mengongsi bahawa beliau sememangnya mahu menjadi guru sejak di bangku sekolah rendah lagi.



Azamnya diperkukuh setelah diberi peluang menjadi inspektor kadet dalam kegiatan kokurikulumnya, Pasukan Kadet Polis Kebangsaan (NPCC), di sekolah.



"Saya meraih pengalaman lebih mendalam tentang bagaimana guru menjalankan tugas mengajar dalam kelas.



"Walaupun pengalaman itu tidak 100 peratus sama, saya dapati kemahiran yang saya raih menerusi NPCC boleh digunakan dalam kelas kelak," katanya.



Beliau juga terdorong oleh pengalaman melakukan kerja sukarela di bawah program Nurture di Kelab Masyarakat (CC) Toa Payoh East sebagai pembimbing kanak-kanak daripada keluarga kurang bernasib baik.



Tambahnya, pengalaman tersebut mengajarnya bahawa sikap sabar penting bagi seorang guru.



Beliau kini menanti panggilan memasuki Perkhidmatan Negara (NS).



Di samping itu, beliau akan memohon biasiswa Kementerian Pendidikan (MOE) untuk melanjutkan pengajian di universiti.



Memberi nasihat kepada pelajar lain, beliau berkata kegagalan dan kesukaran dalam hidup tidak harus menjadi hambatan mengecapi kejayaan. Malah, kesulitan boleh dilihat sebagai peluang memperbaiki diri.



"Hidup tidak semestinya semua berlaku seperti yang dijangka. Pasti akan ada kegenjotan.



"Anda perlu sentiasa berwaspada dan persiap diri kerana jika ada sesuatu berlaku, anda akan bersedia dan tidak terlalu kecewa serta mampu bangkit semula," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >