Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelajar sekolah khas NT boleh cuba modul asas ITE

Lalui lebih 8 modul di menengah satu dan dua, kemudian dalami dua daripada lima subjek kemahiran ITE
Nov 21, 2018 | 05:30 AM



LEBIH lapan modul percubaan menanti pelajar Normal (Teknikal) (NT) yang berminat belajar di Sekolah Khas bagi pelajar Normal (Teknikal) (SSNT), iaitu di Sekolah Menengah Crest dan Sekolah Menengah Spectra, tahun depan.



Modul tersebut, diadakan di bawah Sijil Subjek Kemahiran (ISSC) Institut Pendidikan Teknikal (ITE), memberi pelajar peluang mengikuti pelajaran yang lebih bersifat amali.



Menerusi modul sedemikian, pelajar boleh menilai minat serta kebolehan mereka dulu.



Usaha tersebut akan disediakan bagi pelajar yang akan melangkah ke peringkat Menengah Satu tahun depan.



Barisan modul ditawarkan selama dua tahun, yakni dari Menengah Satu hingga Menengah Dua.



Ketika di peringkat Menengah Tiga, pelajar boleh memilih dua daripada lima subjek kemahiran ITE yang ingin mereka pelajari secara lebih mendalam.



Ini bermakna pelajar Menengah Satu yang dimasukkan ke SSNT pada Januari tahun depan akan menjadi kohort pertama mengambil ISSC apabila memasuki Menengah Tiga pada 2021.



ISSC menggantikan Sijil Kemahiran ITE (ISC) sekaligus menawarkan kurikulum lebih meluas yang mendedahkan pelajar kepada pelbagai bidang yang semakin berkembang.



Lima subjek kemahiran ITE yang boleh pelajar pilih dalam ISSC ialah Rekaan Mekanikal dan Automasi, Kulinari dan Operasi Restoran, Peruncitan dan E-Niaga, Aplikasi Internet of Things (IoT) dan Aplikasi Laman Mudah Alih.



Dengan pendedahan kepada modul percubaan itu, pelajar akan meraih lebih banyak peluang mengembangkan bakat dan minat.



Mereka juga akan disokong membuat pilihan pendidikan peringkat pascamenengah yang sesuai seperti di ITE kelak.



Misalnya, menerusi modul Passion to Serve dan Look Good, Taste Good, pelajar Menengah Satu di Sekolah Menengah Crest akan mempelajari kemahiran menjadi 'barista' atau pakar kopi.



Pada masa sama, mereka berupaya menghargai asas masakan dan pengendalian operasi restoran.



Mengulas, Naib Pengetua (Pendidikan Vokasional) Sekolah Menengah Crest, Encik Sam Ho, berkata modul percubaan amat penting bagi memperkenal pelajar kepada dunia kemahiran.



"Menerusi modul percubaan ini, pelajar boleh mengenal pasti dan mempelajari kemahiran asas dalam setiap bidang pengkhususan ditawarkan.



"Keupayaan mereka menikmati dan melakukan yang terbaik dalam setiap modul percubaan akan dapat mengembangkan bakat dan kebolehan mereka," ujarnya.



Sekolah Menengah Crest juga mengadakan Program Penyerapan bagi pelajar peringkat Darjah Enam awal bulan ini.



Dalam program tersebut, pelajar meneroka kelima-lima subjek kemahiran ITE melalui cara menarik perhatian.



Peserta dari Sekolah Rendah Jurong, Muhd Danish Haikal, 12 tahun, berkata dia berminat mempelajari lebih lanjut tentang subjek Aplikasi IoT dan Rekaan Mekanikal dan Automasi.



"Cara pembelajaran yang bersifat gunaan ini amat seronok dan sedikit pun tidak membosankan," ujarnya.



Muhd Danish, yang baru-baru ini menerima Anugerah Pelajar Terbaik dalam subjek Bahasa Inggeris Asas, berminat memohon ke sekolah tersebut selepas menerima keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) nanti.



Bapanya, Encik Imran Sabawi, 35 tahun, pembantu pengurus restoran, berkata beliau tertarik dengan pelbagai cara pembelajaran yang ditawarkan sekolah tersebut.



"Daripada sekadar duduk belajar dalam kelas, Sekolah Menengah Crest mengaitkannya dengan kehidupan sebenar seperti memasak dalam dapur gred industri untuk mengajar topik berkaitan isi padu, nisbah dan berat," ujar bapa enam anak itu.



Cara sebegitu juga katanya akan menarik perhatian Muhd Danish, yang mengalami disleksia dan sukar memberi tumpuan.



"Dalam Program Penyerapan itu, saya terperanjat melihat anak saya menjadi ketua dalam kelas, memandangkan dia selalunya pengikut berbanding pemimpin. Ini menunjukkan minatnya terhadap program yang disediakan sekolah," ujarnya.



Keputusan PSLE akan diumumkan esok mulai 11 pagi.



Murid yang layak mengikuti kursus Normal (Teknikal) dan berminat menuntut di dua sekolah SSNT itu harus mendaftar secara langsung ke sekolah berkenaan.



Dua sekolah itu akan mengadakan Rumah Terbuka dari esok hingga Sabtu ini.



Borang permohonan boleh didapatkan daripada sekolah rendah pelajar apabila menerima keputusan atau menerusi laman dua sekolah itu.



Pelajar yang berjaya memasuki Sekolah Menengah Crest atau Sekolah Menengah Spectra akan diberitahu sekolah berkenaan melalui surat atau Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pada 13 Disember ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >