MULAI hari ini, pelajar dan kakitangan sekolah yang diletak di bawah Cuti Ketidakhadiran (LOA) kerana menjadi kontak rapat individu yang dikuarantin boleh pulang ke kampus sebaik sahaja mereka diuji negatif bagi koronavirus Covid-19.
Buat masa ini, pelajar dan kakitangan diletak di bawah LOA sekiranya mereka kontak rapat seseorang yang dikuarantin.
Mereka dikehendaki duduk di rumah hingga LOA itu tamat. Tidak ada tempoh waktu tetap bagi LOA, kerana ia berbeza bergantung pada kes.
Contohnya, mereka yang dikenakan LOA kerana seorang ahli keluarga dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dikehendaki menjauhi kampus semasa tempoh notis itu.
Selain itu, mereka yang menerima amaran risiko kesihatan dan diberitahu supaya menjauhi sekolah boleh juga pulang ke kampus sebaik sahaja mereka diuji negatif bagi Covid-19.
Langkah-langkah ini akan menjejas pelajar dan kakitangan dari sekolah rendah dan menengah, serta maktab rendah dan Institut Millennia, kata Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu surat kepada ibu bapa dan penjaga semalam.
Surat itu mengumumkan perubahan ke atas kedua-duanya - dasar ketidakhadiran yang diluluskan dan LOA. Kedua-duanya digunakan untuk mengekang penularan Covid-19 dengan mewajibkan orang ramai menjauhi kampus sekolah jika mereka mungkin terdedah kepada koronavirus itu, lapor akhbar The Straits Times.
MOE berkata perubahan itu sejajar dengan pelonggaran secara bertahap langkah pengurusan selamat masyarakat di Singapura.
Surat itu berkata LOA pelajar dan kakitangan akan dibatalkan dan mereka dapat pulang ke sekolah di bawah salah satu daripada dua syarat.
Pertama, jika individu yang dikuarantin itu diuji negatif bagi Covid-19 dalam ujian swab kemasukan di kemudahan pemerintah.
Atau, kedua, jika kontak rapat yang sedang menjalani perintah kuarantin di rumah diuji negatif bagi Covid-19.
Peraturan untuk ketidakhadiran yang diluluskan juga telah berubah.
MOE berkata pelajar yang perlu diuji bagi Covid-19 atau yang telah diberi SMS Amaran Risiko Kesihatan oleh Kementerian Kesihatan tidak perlu duduk di rumah sebaik sahaja diuji negatif.
Mereka tidak perlu tunggu sehingga tempoh penuh ketidakhadiran yang diluluskan itu tamat.
Ini juga akan dikenakan bagi pelajar yang ahli keluarganya perlu diuji atas sebab-sebab demikian.
Tidak ada tempoh tetap bagi ketidakhadiran yang diluluskan kerana ia juga berbeza bergantung pada kes.
Namun, tidak ada perubahan pada dasar bagi mereka yang diletak di bawah ketidakhadiran yang diluluskan kerana mempunyai simptom seperti selesema, atau mereka yang ahli isi rumahnya mempunyai simptom seperti selesema, tambah MOE.
Mereka yang mempunyai simptom seperti selesema akan terus berada di bawah ketidakhadiran yang diluluskan selama lima hari setelah tempoh sijil perubatan mereka tamat.
Mereka yang ada ahli isi rumahnya mempunyai simptom seperti selesema dikehendaki duduk di rumah hingga individu tersebut diuji negatif bagi Covid-19.
Senarai penuh syarat yang memerlukan pelajar dan kakitangan diletak di bawah LOA atau ketidakhadiran yang diluluskan boleh didapati di laman web MOE.