MALAM LAWAK SASTERA

Pelakon gigih berlatih, mahu sajikan yang terbaik

TINGGAL lima hari lagi sebelum pementasan Malam Lawak Sastera pada Sabtu ini di Panggung Victoria.

Namun, masa yang semakin hampir tidak langsung mencabar kumpulan pelakon veteran yang terus gigih berlatih.

Malah, suara lantang M. Saffri A Manaf dalam membetulkan tonasi pelakon dan gaya bersahaja Zainal Ihim membuatkan sesi latihan Malam Lawak Sastera sentiasa gamat.

Itu belum termasuk telatah Baba GT Lye bersama Ariff Esa dan usikan Junaidah Eksan dan Norsiah Hamid, yang benar-benar menggelikan hati.

Namun lebih penting daripada itu, seniman dan seniwati mapan itu sentiasa menunjukkan tahap disiplin yang tinggi.

Kesemua hadir tepat waktu dan skrip sentiasa di sisi.

Apa yang tidak tahu, atau kurang pasti, mereka tidak segan bertanya.

Setiap arahan yang diberikan, diikuti dengan baik. Sekiranya ada pergerakan atau lontaran kata bual yang dirasakan kurang sesuai atau tidak kemas, mereka akan berbincang sebelum meneruskan latihan.

Menyaksikan mereka berlatih di Auditorium SPH, menunjukkan para pelakon ini sememangnya kaya ilmu dan pengalaman.

Apakan tidak, setiap kali ada kesan bunyi yang harus dibuat, mereka akan pastikan ia dilakukan sesempurnanya.

Jika tidak, mereka sedia mengulangi dialog dan pergerakan sehingga ia memenuhi kehendak sang penulis dan pengarah.

Malam Lawak Sastera turut memanfaatkan kepakaran tokoh teater negara, Nadiputra, yang sedia menyingsing lengan demi memastikan rakan-rakan yang bergelanggang, mampu mempesonakan penonton dengan persembahan terbaik.

Hakikatnya, Panggung Victoria bukan tempat asing bagi Pak Nadi, apalagi buat Saffri, Norsiah, Ariff, GT Lye, Zainal dan Junaidah.

Namun, keadaan zaman yang berubah menuntut satu pendekatan baru dalam berteater.

Jika dahulu, penataan cahaya di pentas memerlukan jurulampu menjolok kuping lampu, kini segalanya dilaksanakan menerusi perancangan komputer.

Jika sebelum ini penata bunyi dilakukan dengan memanfaatkan cakera padat, selepas berakhir zaman pita dan kaset, kini pengarah perlu memastikan setiap lagu dan kesan bunyi dimuatkan dalam pemacu pena.

Bak kata Norsiah "zaman teater kini benar-benar telah berubah".

Namun, ia bukan hambatan. Teknologi menjadikan pengurusan sesebuah pementasan menjadi lebih kemas dan teratur.

Menyedari hal ini, pelakon benar-benar teruja untuk kembali bergelanggang di halaman rindu.

Lebih menggembirakan mereka, tiket semakin rancak dijual.

Untuk sekali ini, kesemua mereka hadir dalam sebuah pementasan yang memberi peluang kepada generasi muda hari ini melihat cara orang lama berteater.

Malam Lawak Sastera yang bakal diadakan pada 5 November ini mempunyai jalan cerita yang padat dan bermakna - mengambil kira konteks semasa dan penekanan kepada usaha pelestarian warisan bangsa.

Meskipun dialog yang dilontarkan kelihatan 'biasa' dan mudah difahami, makna yang tersirat cukup sarat.

Lantaran itu mereka dipilih menjayakan pementasan teater sempena Pesta Penulis Singapura tahun ini.

Ia menggambarkan penghargaan Berita Harian dan Majlis Seni Kebangsaan terhadap sumbangan besar mereka dalam pembangunan seni tanah air.

Andai takut terlepas peluang, dapatkan tiket anda segera menerusi pembelian di kaunter Sistic atau secara dalam talian di http://www.sistic.com.sg/events/cswf2016d.

Tiket berharga $30 bagi dewasa dan $15 bagi pelajar.

Orang ramai juga berpeluang membeli tiket pada hari tersebut di kaunter tiket The Arts House (Bangunan Parlimen lama) yang terletak bersebelahan Panggung Victoria.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:02
Zuhur
1:08
Asar
4:34
Maghrib
7:13
Isyak
8:28
3 HR PSI: 33
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.