MULAI Julai ini, pemaju dikehendaki mengambil kira "keselamatan, kemudahan dan akses" bagi pejalan kaki dan penunggang basikal dalam reka bentuk mereka.
Mereka perlu menyediakan kemudahan seperti tempat letak basikal, bilik mandi dan loker, dan menempatkan laluan kenderaan jauh dari kawasan sering dikunjungi pejalan kaki dan penunggang basikal demi memastikan keselamatan mereka.
Laluan jalan kaki dan basikal dari titik pertemuan pengangkutan utama juga perlu dikaji semula, dan peruntukan dibuat bagi laluan penghubung berbumbung dan lintasan selamat untuk pejalan kaki dan penunggang basikal.
Langkah-langkah itu diumum pada Selasa (3 Mei) oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Lembaga Pembangunan Semula Bandar (URA).
Ia sebahagian daripada usaha terbaru pemerintah untuk menjadikan kaedah mobiliti aktif - seperti basikal dan skuter elektrik - pilihan pengangkutan lebih berdaya maju.
Pelan Berjalan dan Berbasikal (WCP) yang pemaju perlu kemukakan akan membantu mewujudkan "persekitaran lebih selamat, lebih mudah dan mesra rakyat bagi semua", kata dua agensi itu dalam satu kenyataan bersama.
WCP akan dikenakan buat permulaan ke atas pembangunan komersial, seperti kompleks beli-belah, pejabat, taman perniagaan, serta sekolah, di mana trafik tinggi pejalan kaki dan penunggang basikal pelumba dijangka.
Ia kali pertama diumum bulan lalu semasa perbahasan belanjawan di Parlimen, dan sebahagian daripada pelbagai langkah bagi membantu Singapura mengurangkan penggunaan kereta.