PERLINDUNGAN bagi komplikasi berkaitan vaksinasi Covid-19 yang mengakibatkan individu dirawat di hospital di bawah Pelan Insurans Bersepadu (IP) akan dilanjutkan hingga 31 Disember.
Ini merangkumi semua pemegang polisi IP yang menerima vaksin Covid-19 di bawah program vaksinasi negara, kata Persatuan Insurans Hayat, Singapura (LIA) semalam.
Turut dilindungi ialah mereka yang menerima vaksin yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di bawah Prosedur Senarai Penggunaan dan ditadbirkan di Singapura di bawah Laluan Akses Khas Penguasa Sains Kesihatan (HSA).
Perlindungan khas 12 bulan yang diberi sebelum ini oleh kesemua tujuh syarikat insurans AP berakhir pada 31 Disember tahun lalu.
Inisiatif itu menyokong program vaksinasi dan imunisasi penggalak yang sedang berjalan, kata persatuan itu.
Vaksin di bawah program vaksinasi negara ialah Pfizer-BioNTech/Comirnaty, Moderna dan Sinovac.
Vaksin Sinovac ditawarkan pada Jun tahun lalu di penyedia jagaan kesihatan swasta di bawah Laluan Akses Khas dan telah disertakan dalam program vaksinasi negara pada Oktober lalu.
Vaksin Sinopharm kini boleh diperoleh di bawah Laluan Akses Khas.
Presiden LIA Singapura, Encik Khor Hock Seng, berkata: "Syarikat insurans yang menawarkan insurans hayat kekal komited untuk memainkan peranan mereka dalam usaha bersama mengawal kesan Covid-19 dengan menyokong program vaksinasi negara.
"Pemegang polisi IP yang mengambil vaksin dan suntikkan penggalak boleh mendapat jaminan bahawa sebarang komplikasi perubatan berkaitan yang mengakibatkan mereka dirawat di hospital akan dilindungi oleh syarikat insurans masing-masing."
Pemegang polisi yang mempunyai pertanyaan lanjut digalak menghubungi wakil insurans atau syarikat IP mereka sendiri, kata LIA.
Syarikat insurans IP semasa ialah AIA, AXA, Great Eastern Life, NTUC Income, Prudential Singapore, Raffles Health Insurance dan Singlife bersama Aviva.