Pelan strategik Mesra masyarakat

* Masagos dedah usaha Mesra eratkan lagi masyarakat bersatu tangani isu-isu seperti ajaran tegar dan ekonomi global * Turut umum penyusunan acara budaya Wisma Geylang Serai

BADAN-BADAN akar umbi kegiatan Melayu di bawah naungan Persatuan Rakyat (PA) akan memperkenal pelan strategik dalam usaha mendekati masyarakat menerusi program pendekatan yang menjangkau isu-isu seperti mencegah fahaman agama tegar dan menghadapi ekonomi global.

Dalam pada itu, Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) akan menerajui usaha merancang dan menguruskan program sepanjang tahun bagi Wisma Geylang Serai.

Usaha rancangan bagi Wisma Geylang Serai akan diketuai Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.

Ini diumumkan Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa berucap di jamuan malam sempena ulang tahun Mesra ke-40 semalam.

Turut hadir di jamuan malam yang diadakan di Orchard Hotel itu ialah tamu terhormat, Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim.

Dalam ucapannya, Encik Masagos, yang juga penasihat Mesra, berkata majlis itu mempunyai peranan besar mengorak strategi menyatukan masyarakat agar bersama demi kemakmuran semua.

"Sejak 40 tahun lalu, Mesra dan MAEC (Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu) telah banyak mengatur strategi bagi mendekatkan masyarakat Melayu kepada warisan kesenian dan budaya kaum Melayu.

"Masyarakat kita kini berhadapan dengan beberapa cabaran utama; fahaman agama yang tegar dan pengaruhnya kepada masyarakat Melayu Singapura serta perubahan ekonomi global," kata Encik Masagos.

Memberikan contoh tentang ajaran Islam yang bersifat tegar, beliau berkata:

"Banyak sekali amalan budaya kita dibidas seperti acara persandingan dilabel sebagai pengaruh Hindu dan amalan kenduri arwah sebagai amalan yang dilarang agama. Hinggalah orang menganggap jubah orang Arab lebih tinggi martabatnya daripada baju Melayu kita.

"Jika dahulu kehidupan moden mengancam kehidupan budaya tradisional Melayu, kini pengaruh agama tegar pula cuba menggantikannya dengan budaya Timur Tengah yang dianggap Islamik."

Sebuah panel yang dipimpin Encik Masagos dibentuk bagi membimbing Mesra dan MAEC melakar strategi itu.

Anggota panel terdiri daripada Speaker Parlimen, Cik Halimah Yacob; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman; Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim; Setiausaha Parlimen (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin; dan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zaqy Mohamed.

Ketika memberi ucapan di acara tersebut, Encik Teo pula menggalak masyarakat Melayu/Islam agar bekerja rapat dengan semua masyarakat bagi membina sebuah Singapura yang lebih terjamin, serta berbilang bangsa dan agama yang sepadu.

"Ancaman pengganasan adalah yang tertinggi sejak insiden 11 September.

"Kita telah melihat serangan di Eropah dan negara-negara jiran - Thailand, Malaysia dan Indonesia.

"Banyak nyawa mereka yang tidak berdosa terkorban dalam konflik di Marawi di selatan Filipina.

"Kita mesti sentiasa berjaga-jaga terhadap ancaman keselamatan dan tidak membenarkan ideologi radikal yang ekstrem berakar di Singapura," katanya ketika berucap dalam bahasa Melayu.

Di acara itu, Encik Teo juga menyampaikan Anugerah Pengiktirafan Ulang Tahun ke-40 MAEC kepada lapan pemimpin akar umbi atas sumbangan mereka kepada masyarakat.

Laporan lanjut: Maliki: Tiga peringkat program bagi Wisma Geylang Serai