Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

EHWAL MASYARAKAT ISLAM

Pelan untuk ubah, jadikan sektor asatizah lebih profesional

Maliki: Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Asatizah sedang dibentuk, turut bertujuan pertingkat daya tarikan sektor agama dan kemahiran asatizah
Mar 07, 2020 | 05:30 AM



SATU pelan pembangunan sedang dibentuk untuk merubah dan menjadikan sektor asatizah lebih profesional.



Mengumumkan demikian semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) di Parlimen semalam, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, berkata Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Asatizah (AWDP) itu juga bertujuan meningkatkan daya tarikan sektor agama serta kemahiran asatizah.



Tahun ini, kata Dr Maliki, asatizah boleh menjangkakan daya usaha pertama di bawah AWDP, yang dibangunkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), iaitu Rangka Kerjaya dan Kecekapan (CCF).



Menerangkan rangka kerja itu, beliau berkata: "Rangka kerja ini membutirkan peranan dan laluan berbeza dalam sektor agama formal dan menyediakan maklumat tentang kemahiran yang diperlukan.



"Dengan rangka kerja ini, asatizah boleh merancang kerjaya mereka dengan lebih baik serta memahami kemahiran dan kecekapan yang diperlukan bagi pelbagai laluan kerjaya secara proaktif."



Beliau menyatakan bahawa Muis akan membangunkan lebih banyak inisiatif di bawah AWDP dalam tempoh tiga tahun akan datang, termasuk semakan dan pembangunan garis panduan gaji bagi masjid dan madrasah, program pengurusan bakat berstruktur untuk mengenal pasti dan membangunkan pemimpin agama akan datang, serta lebih banyak peluang meningkatkan kemahiran.



Usaha menjadikan sektor asatizah lebih profesional merupakan salah satu daripada tiga tunjang strategik untuk merealisasikan visi asatizah masa depan sebagai pemimpin agama, karyawan dan suri teladan dalam masyarakat Singapura yang majmuk dan berbilang budaya.



Menurut Dr Maliki, yang juga pengerusi Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa), usaha juga perlu dijalankan untuk mengukuhkan institusi agama utama dan membangunkan asatizah yang boleh menjadi sumber inspirasi bagi masyarakat.



Sebagai contoh, Muis telah bekerja rapat dengan madrasah untuk menyokong pembangunan guru, meningkatkan program dan kurikulum serta mempertingkat kemudahan madrasah.



Madrasah Al-Arabiah, misalnya, mempunyai kampus baru dengan kemudahan makmal dan sumber lebih baik bagi pelajar.



Ini akan membantu mereka membina asas kukuh dalam subjek agama dan sekular.



Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan Mahkamah Syariah juga sekarang memainkan peranan lebih meluas bagi membentuk kehidupan masyarakat.



ROMM juga sedang bekerja rapat dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk melatih kadi dan naib kadi mendekati dan membantu pasangan bakal berumah tangga dengan lebih baik, sebagai sebahagian usaha meningkatkan inisiatif Bersamamu.



Inisiatif itu memberi peluang kepada naib kadi menawarkan nasihat, panduan, bimbingan dan sokongan kepada pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga.



Hubungan antara naib kadi dengan pasangan itu berlanjutan selama dua tahun agar mereka berpeluang terus mendapatkan nasihat dan panduan daripada naib kadi jika berdepan dengan isu rumah tangga.



Dalam pada itu, asatizah juga boleh menyumbang kepada sektor sampingan, seperti kerja sosial dan membantu masyarakat Islam Singapura dengan nasihat menangani pembangunan kontemporari dalam penggunaan teknologi dan kewangan.



Oleh itu, kata Dr Maliki, program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) akan membantu asatizah memainkan peranan itu dengan mendedahkan mereka kepada bidang sains kemasyarakatan serta membangunkan kemahiran kaunseling, kerja sosial dan lain-lain.



PCICS juga akan menawarkan komponen praktikum yang akan mendedahkan peserta kepada pengalaman di tempat kerja.



"Asatizah kita membentuk keperibadian masyarakat kita. Ini adalah satu tanggungjawab yang amat penting. Peranan asatizah telah berkembang daripada hanya mengajar sebagai guru agama kepada pemimpin agama yang menyumbang kepakaran dalam sektor agama dan sektor bukan agama," ujar Dr Maliki



Oleh itu, beliau berkata visi jangka panjang ialah membangunkan asatizah hari muka sebagai tokoh agama disegani di dalam dan luar negara.




"Rangka kerja ini membutirkan peranan dan laluan berbeza dalam sektor agama formal dan menyediakan maklumat tentang kemahiran yang diperlukan. Dengan rangka kerja ini, asatizah boleh merancang kerjaya mereka dengan lebih baik serta memahami kemahiran dan kecekapan yang diperlukan bagi pelbagai laluan kerjaya secara proaktif... Asatizah kita membentuk keperibadian masyarakat kita. Ini adalah satu tanggungjawab yang amat penting. Peranan asatizah telah berkembang daripada hanya mengajar sebagai guru agama kepada pemimpin agama yang menyumbang kepakaran dalam sektor agama dan sektor bukan agama."

- Dr Mohamad Maliki Osman, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >