SINGAPURA akan mengekalkan peraturan Covid-19 terhadap pelancong yang masuk dari China, sedang negara itu bersedia membuka semula sempadannya mulai 8 Januari ini.
Pelawat yang tidak divaksin sepenuhnya, berdasarkan definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perlu menjalani ujian pra-keberangkatan, kata Kementerian Kesihatan (MOH) semalam.
Pelawat jangka pendek juga dikehendaki membeli insurans bagi perbelanjaan perubatan berkaitan Covid-19.
Pada ketika ini, langkah-langkah sempadan dan syarat vaksinasi semasa untuk pelawat dan pemegang pas kerja yang tiba dari China kekal tidak berubah, tambah MOH.
MOH berkata ia sedang memantau dengan teliti situasi Covid-19 antarabangsa, dan akan menyesuaikan langkah kesihatan sempadan dengan sewajarnya sekiranya perlu.
China pada masa ini mengenakan sekatan ke atas perjalanan keluar, dengan seseorang memerlukan alasan yang sah, seperti pendidikan dan perniagaan, untuk meninggalkan negara itu.
Dalam langkah yang dikenakan lewat Isnin lalu, China berkata bahawa mulai 8 Januari 2023, pelawat yang masuk ke negaranya tidak lagi perlu dikuarantin sewaktu tiba di negara itu, dalam pelonggaran lagi kawalan ketat Covid-19 yang telah menjejas ekonominya dan mencetuskan bantahan di seluruh negara.
China juga akan kembali mengeluarkan visa bagi penduduk tanah besarnya untuk melancong ke luar negara mulai 8 Januari 2023. Langkah ini melonggarkan rejim sifar Covid-19 negara itu dan menamatkan peraturan kuarantin yang ketat selama hampir tiga tahun.
Kelmarin, Perdana Menteri Jepun, Encik Fumio Kishida, berkata bahawa negaranya akan memerlukan pelawat yang tiba dari China untuk menjalani ujian Covid-19 selepas Beijing mengumumkan ia akan menamatkan syarat kuarantin di negaranya.
Tokyo telah melonggarkan sekatannya ke atas pelancong sejak beberapa bulan lalu, dan langkah itu bermakna hanya pelawat dari China yang akan perlu mengambil ujian Covid-19 semasa ketibaan di Jepun, selain mereka yang menunjukkan simptom.
Encik Kishida berkata keputusan itu diambil kerana "terdapat maklumat bahawa ada jangkitan yang sedang merebak pantas" di China.
Tidak seperti kebanyakan negara lain di mana orang ramai telah beralih kepada hidup bersama Covid, China sehingga baru-baru ini mengekalkan sekatan yang ketat dan menutup negaranya kepada dunia.
Langkah-langkah ketat tersebut telah banyak mengganggu sektor pelancongan antarabangsa dan perjalanan perniagaan, yang seterusnya merencatkan lagi ekonomi negaranya yang sudah terjejas oleh Covid-19.