SEGELINTIR pelanggan DBS/POSB tidak dapat mengakses khidmat perbankan Internet dan telefon bimbit bank itu pada Selasa (23 Nov).
Gangguan itu bermula pada sekitar 11 pagi, menurut pos media sosial.
DBS Bank mengakui terdapat gangguan yang berlaku dalam satu kenyataan di Facebook pada sekitar 3 petang.
“Sesetengah pelanggan kami sedang menghadapi kelembapan sekejap-sekejap apabila mengakses khidmat perbankan kami, dan kami kini sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah ini.
“Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku pada masa ini, dan sila cuba lagi kemudian,” kata DBS.
Beberapa netizen mengadu tentang gangguan itu di laman Facebook DBS.
Pengguna Facebook Hueimin Lim berkata:
“Khidmat tidak dapat diakses sepanjang waktu pagi dan sekarang sudah sekitar 3 petang. Standard pemulihan perkhidmatan bank benar-benar teruk.”
Seorang lagi pengguna, Christopher Goh, berkata:
“Tidak ada kelembapan sekejap-sekejap. Seluruh khidmat perbankan tak dapat diakses. Sekarang, ia asyik memberi mesej sesi sudah tamat apabila saya jelas sekali telah beri respons dengan pantas kepada pengesahan. Ini tidak masuk akal.”