Subuh
5:46
Syuruk
7:05
Zuhur
1:10
Asar
4:27
Maghrib
7:14
Isyak
8:24

Pelantikan Lawrence buka jalan sebagai PM ke-4 S'pura

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

ROMBAKAN KABINET

Pelantikan Lawrence buka jalan sebagai PM ke-4 S'pura

Bakal bentuk pasukan bawa Singapura ke fasa selanjutnya
Jun 07, 2022 | 05:30 AM

DUA bulan selepas dipilih sebagai pemimpin pasukan generasi keempat (4G) Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Lawrence Wong, telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri - sekali gus membuka jalan untuknya menjadi perdana menteri keempat negara.

Pada usia 49 tahun, pelantikannya berlaku selepas Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Heng Swee Keat, memutuskan untuk tidak mengetuai kepimpinan 4G pada 8 April lalu.

Bak pepatah, patah tumbuh hilang berganti.

Keputusan pelantikan ini juga bermakna, Encik Wong diberi kepercayaan untuk membentuk pasukannya bagi membawa Singapura ke fasa selanjutnya.

Dalam sidang akhbar pada 16 April lalu apabila Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong mengumumkan Encik Wong sebagai pemimpin 4G. Encik Lee berkata Encik Wong perlu memutuskan timbalannya dan pasukan utamanya.

"Pada masa akan datang, saya berharap beliau dan rakannya akan bekerja keras bagi mengenal pasti dan memasukkan pemimpin berpotensi dalam pasukan bagi membangunkan pasukan 5G bagi Singapura,'' kata Encik Lee ketika itu.

Menekankan pentingnya pasukan yang akan dibina, Encik Wong berkata dalam sidang akhbar yang sama:

"Jadi secara kolektif, kami mempunyai pasukan yang kuat dan saya akan terus berusaha untuk mengukuhkan pasukan.

"Dan di tengah-tengah kepelbagaian ini, pada akhirnya, ia adalah mengenai kita semua bekerja bersama-sama."

Sejak awal penglibatannya dalam arena politik, Encik Wong diyakini sebagai salah seorang pemimpin pelapis - mendukung talian kesinambungan pucuk kepimpinan negara.

Seawal November 2012 - sekitar 18 bulan selepas menjadi anggota parlimen - beliau diberi kepercayaan untuk menerajui sebuah kementerian - Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Sejak itu, bintangnya terus bersinar, dan kilauannya lebih terserlah apabila diberi tanggungjawab mengemudi Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan sebagai Menteri Kedua Kewangan pada Ogos 2016, dan setelah itu menjadi Menteri Kewangan pada Mei 2021, menggantikan Encik Heng Swee Kiat.

Sebagai pemimpin politik, beliau menghadapi cabaran terbesar dalam mengemudi ekonomi negara dan usaha republik ini menangani pandemik Covid-19.

Sebagai pengerusi bersama, Encik Wong berperanan dalam membuat keputusan penting bagi pasukan bertindak Covid-19 antara kementerian selain menggalas tugas sebagai timbalan pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS), sejak Mei tahun lalu.

Kecemerlangan beliau memberi keyakinan kepada Kabinet.

Menyentuh pelantikan Encik Wong itu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, mengesahkan pembentukan kepimpinan bagi generasi selanjutnya semakin terbentuk.

"Saya mengharapkan semua orang memberi sokongan penuh kepada peralihan penting ini, bagi memimpin Singapura keluar dengan selamat dari pandemik dan ke arah masa depan yang lebih cerah," kata Encik Lee, yang telah menjadi perdana menteri selama 18 tahun sejak November 2004.

Mengulas pelantikan ini, Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Heng dalam catatan di Facebook berkata, ia merupakan satu lagi langkah penting ke arah pembaharuan pucuk pimpinan.

"Lawrence mendapat sokong penuh kami. Saya akan memberi sepenuh bantuan untuknya berjaya, sementara berkhidmat di sisinya sebagai DPM dan sebagai Menteri Penyelaras untuk Dasar-Dasar Ekonomi"," kata Encik Heng.

Bagi Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, pelantikan ini sememangnya dijangkakan.

"Dari satu sudut, ia mengesahkan kedudukan kepimpinan negara untuk masa depan dan pengiktirafan sebagai pengganti Encik Lee.

"Jika anda lihat pada pelantikannya dalam Kumpulan Strategi dalam lingkungan Pejabat Perdana Menteri, ia juga memberi gambaran akan kedudukan dan ruang yang ada padanya dalam pembentukan dasar masa depan kita.

"Malah beliau juga dijangka memangku tugas perdana menteri apabila keadaan memerlukan dan saya fikir ini adalah isyarat yang baik untuk beliau menyesuaikan diri dengan peranan itu, dan tentunya isyarat jelas sebagai perdana menteri selepas ini," katanya semasa dihubungi Berita Harian (BH) semalam.

Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam, yang dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Parlimen Kanan, dalam responsnya kepada akhbar ini berkata, pelantikan Encik Wong adalah "satu proses dan kemajuan biasa" dan "menantikan kepimpinannya serta berkhidmat di bawah bimbingan beliau".

Bagi pengamat politik, Encik Zulkifli Baharudin, kewibawaan Encik Wong sebagai pengerusi bersama bagi menangani pandemik koronavirus di sini merupakan satu ujian besar.

"Rakyat Singapura boleh lihat Encik Wong telah menjalankan tugas dengan agak baik. Saya tidak berasa kedudukannya sebagai timbalan perdana menteri dan pemimpin 4G disangsikan," katanya sebagai respons semasa dihubungi wartawan.

Namun mantan anggota parlimen dilantik (NMP) itu menarik perhatian bahawa sama ada Encik Wong boleh memimpin PAP serta memenangi pilihan raya umum akan datang dan mengisi tempat Encik Lee Hsien "akan menjadi ujian terbesar untuknya dari sekarang".

Bagi, Cik Titin Masyani Mawadi, 49 tahun, salah seorang penduduk di kejiranan Limbang Meadow di Chua Chu Kang di kawasan undi Limbang yang ditadbir Encik Wong dalam GRC Marsiling-Yew Tee, pelantikan Encik Wong adalah wajar.

"Sebagai menteri kewangan dia sedia pelan tindakan bantu ekonomi rakyat yang berdepan situasi getir, ramai hilang pekerjaan. Saya terkesan masa beliau menangis waktu berucap semasa menghargai pekerja barisan depan tangani Covid-19. Ia menggambarkan keikhlasannya," ujar pegawai pentadbiran di sektor swasta itu kepada BH semalam.


"Secara kolektif, kami mempunyai pasukan yang kuat dan saya akan terus berusaha untuk mengukuhkan pasukan itu. Dan di tengah-tengah kepelbagaian ini, pada akhirnya, ia adalah mengenai usaha kita bersama.

Jadi inilah yang rakyat Singapura boleh jangkakan daripada saya dan pasukan saya - secara kolektif, kami akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara kami."
- Encik Lawrence Wong dalam sidang media pada April lalu mengenai pemilihannya sebagai ketua pasukan 4G PAP.  Beliau ditanya mengenai pengalaman bekerjasama dengan anggota pasukan 4G serta kepelbagaian dalam pasukan itu.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3