Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:08
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Setempat

Pelatih sukan renang mati akibat virus yang mengganggu sistem imun

Sep 04, 2019 | 02:43 PM

PELATIH sukan renang, Encik Benedict James Naden Lim, 23 tahun, pernah mewakili Universiti SIM (UniSIM) dalam sukan renang dan merupakan seorang yang mengikut diet makan dan regimen senaman dengan teliti.

Apabila beliau jatuh sakit pada Jun, Encik Benedict menganggap batuk dan demamnya sebagai tanda selesema biasa, dan apabila beliau diperiksa doktor, doktor juga tidak menyesyaki sebaliknya.

Namun, tanda-tanda yang ditunjukkan Encik Benedict adalah simptom virus Epstein-Barr, iaitu sejenis virus yang mencetuskan gangguan imun yang jarang berlaku, yang dikenali sebagai hemophagocytic lymphohistiocytosis.

Encik Benedict, yang bakal menamatkan pengajian peringkat sarjana mudanya pada Mei 2020, kemudian didapati menghadapi limfoma T-sel, sejenis penyakit barah yang jarang berlaku, tiga minggu selepas dimasukkan ke hospital.

Beliau meninggal dunia pada petang Sabtu, iaitu dua bulan setengah setelah beliau pertama kali jatuh sakit, dan sekitar sejam selepas beliau menjalani pembedahan untuk melegakan tekanan di otak.

Bercakap kepada akhbar The Straits Times (ST) pada upacara berkabung anaknya pada Selasa (3 September), Encik Benjamin Naden, 52 tahun, berkata pemeriksaan yang dilakukan ketika anaknya dimasukkan ke hospital pada Julai mendapati beberapa organ Encik Benedict, termasuk fungsi hati dan buah pinggang, semakin lemah, dan terdapat air dalam paru-parunya. 

Namun, Encik Benedict  bertegas yang beliau dapat sembuh dari penyakitnya itu. 

Walaupun pada awalnya beliau kelihatan seperti sudah pulih semula kerana fungsi organnya kian stabil dan hasil ujian darah bertambah baik, Encik Benedict jatuh sakit sekali lagi setelah itu. 

Kali ini, otak dan jantungnya menjadi semakin lemah, dan pada Sabtu beliau mengalami serangan mengejut (seizure) dan pendarahan di otaknya.

Encik Benjamin berhasrat untuk mendermakan wang yang disalurkan untuk membantu anaknya kepada sebuah badan amal di bawah nama Encik Benedict. 

Keluarga itu enggan mendedahkan jumlah terkumpul selama dua hari, namun sekitar 550 orang telah menghadiri upacara berkabung di Gereja St Joseph di Upper Bukit Timah Road itu. 

Mengenang kembali tentang anaknya, Encik Benjamin berkata keluarga beliau telah merancang untuk melancong ke Osaka pada hujung tahun kerana Encik Benedict hendak ke sana, namun hasrat mereka kini tidak kesampaian.

Encik Benjamin menyifatkan keluarganya sebagai sebuah keluarga yang kecil lagi intim.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian