Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SIRI LAPORAN ANTIDADAH - Kerjasama antara Berita Harian/Minggu dengan Biro Narkotik Pusat (CNB)

Pelbagai sokongan bantu banduan kembali ke pangkal jalan

Mar 10, 2019 | 05:30 AM



Dari pegawai sehingga pendamping, banyak bantuan yang dihulurkan bagi membantu banduan yang dipenjarakan akibat penyalahgunaan dadah dalam perjalanan pemulihan mereka. Dalam laporan terakhir siri antidadah kerjasama antara Berita Harian/Minggu dengan Biro Narkotik Pusat (CNB), wartawan NUR FATHIN AWALLUDIN (nfathin@sph.com.sg) menemubual pegawai penjara, pendamping dan seorang banduan yang berkongsi penglibatan mereka dalam perjalanan pemulihan di Pusat Pemulihan Dadah (DRC). Ikuti laporannya.



Penyelia peribadi orang tengah antara banduan dengan keluarga



'MASUK' penjara dan bertemu dengan banduan merupakan pengalaman yang membuka mata Staf Sarjan (SSGT) Fha Izzun Adzim Ibni Rosnan.



Empat tahun lalu, pegawai penjara berusia 28 tahun itu tidak tahu-menahu bagaimana berurusan dengan mereka yang dimasukkan penjara.



Atas sebab itulah, beliau mahu mencuba pekerjaan tersebut.



"Ada rasa ingin tahu. Apabila saya mula bekerja di situ, ia membuka mata saya. Tak semua orang di sini (penjara) seperti mereka yang sering kita stereotaip sebagai orang jahat.



"Ada juga di antara mereka yang tak nak berada di sini tapi disebabkan kesalahan yang telah mereka lakukan, mereka ada di sini," kata beliau.



Berdepan dengan pelbagai jenis orang di dalam penjara telah membantu membangunkan kebolehannya berinteraksi dengan orang lain, katanya.



Ditemui di pusat pemulihan dadah (DRC) di Penjara Changi, SSGT Fha Izzun menerangkan bahawa sebagai penyelia peribadi (personal supervisor) kepada banduan di DRC, antara tugas dan tanggungjawabnya termasuk memastikan banduan dijaga dengan selamat serta menekankan disiplin dalam diri mereka.



Selain itu, beliau juga bekerja rapat dengan banduan di bawah jagaannya - seramai 24 orang buat masa ini - bagi membantu pemulihan mereka.



Ini dilakukan melalui sesi perkongsian secara individu dan kumpulan di mana kes kajian akan digunakan bagi pengajaran semua.



Lebih daripada itu, seorang penyelia peribadi juga memainkan peranan bak 'orang tengah' antara banduan dengan keluarga mereka.



"Kami merupakan titik hubungan antara banduan dengan anggota keluarga mereka. Memang, mereka dapat berhubung dengan menulis surat atau ketika anggota keluarga datang melawat, tapi ada batasnya.



"Jadi apa-apa yang menjadi kerisauan mereka, mereka akan kongsi dengan saya dan dari situ saya akan cuba lakukan sebarang susulan yang diperlukan," ujar beliau.



Namun, meskipun tugasnya besar sebagai penyelia peribadi kepada banduan, beliau berasa ia bukanlah faktor terpenting dalam pemulihan seseorang bekas penagih dadah.



"Semua sumber ada tersedia, tapi apa yang paling penting dalam menyumbang kepada kejayaan pemulihan seseorang ialah keinginannya untuk berubah.



"Kita boleh berikan apa sahaja tapi jika mereka tak nak berubah, semuanya tak bermakna," katanya.



Setelah empat tahun menjalankan tugasnya, SSGT Fha Izzun tetap bersemangat meneruskan usaha membantu pesalah kembali membina kehidupan mereka semula.



"Apabila saya terserempak bekas pesalah yang dulunya di bawah tanggungjawab saya selepas mereka dibebaskan, dan mereka tegur dan tanya khabar, atau mereka beritahu perkembangan tentang pekerjaan atau keluarga mereka, itu yang membuat tugas saya begitu memuaskan.



"Kita dapat jadi sebahagian daripada perubahan diri mereka dan semestinya itu suatu perasaan yang amat menyenangkan hati,'' ujar beliau.




Apabila saya terserempak pesalah yang dulunya di bawah tanggungjawab saya selepas mereka dibebaskan, dan mereka tegur dan tanya khabar, atau mereka beritahu perkembangan tentang pekerjaan atau keluarga mereka, itu yang membuat tugas saya begitu memuaskan. Kita dapat jadi sebahagian daripada perubahan diri mereka dan semestinya itu suatu perasaan yang amat menyenangkan hati.''
- Staf Sarjan (SSGT) Fha Izzun Adzim Ibni Rosnan.




Kerjasama antara Berita Harian/Minggu dengan Biro Narkotik Pusat (CNB) "... apabila saya lewat di tempat saya ambil dadah dulu, mesti saya nak masuk, tengok tempat tu, jumpa 'members' lama. Mungkin niat hanya nak tanya khabar, tapi itulah permulaannya. Tapi sekarang saya tahu, jangan pergi tempat tu langsung. Ambil jalan lain sebab saya tak kuat. Macam mana nak alihkan, pesongkan perhatian kita, itulah yang diajarkan.''
- Roslan (bukan nama sebenar) yang mengikuti program pemulihan yang antara lain memerlukannya menghadiri kursus dan sesi kaunseling. "




Banduan sedar salah guna dadah 'penyakit' jejas masyarakat



SUDAH tujuh kali Roslan (bukan nama sebenar) keluar masuk penjara akibat kesalahan berkaitan dadah.



Malah dia pernah disebat tiga kali ketika menjalani hukuman penjara jangka panjang (LT1).



Namun, kesemua hukuman tersebut tidak cukup untuk mencegahnya terjerumus lagi ke dalam kancah dadah setiap kali dibebaskan. Dimasukkan ke pusat pemulihan dadah (DRC) buat kali kedua kini, Roslan, 59 tahun, diberi peluang mengikuti program pemulihan yang antaranya memerlukannya menghadiri kursus serta sesi kaunseling yang dijalankan.



Kursus-kursus tersebut bak memberinya peluang baru, kata penyalah guna heroin sejak 1977 itu.



''Ia sangat bermanfaat kerana saya dapat memahami diri sendiri. Sebelum ini saya tak faham diri saya, itu sebabnya saya berulang (mengambil dadah) berkali-kali,'' katanya ketika ditemui di DRC.



Menjelaskan lebih lanjut, Roslan berkata kursus yang dijalankan mengajar pesalah sepertinya cara menangani diri dan ketagihan mereka. Selain itu, ia memperkasa mereka dengan 'peralatan' yang diperlukan untuk mengatasi masalah yang dihadapi.



''Saya belajar macam mana untuk mengatakan tidak, undurkan diri, berbual dengan diri sendiri, timbang kos dan faedah jika berdepan dengan situasi yang membolehkan saya ulangi perbuatan salah itu,'' jelasnya.



Di samping itu, mengenal pasti 'pencetus' yang mengakibatkan dirinya ketagih juga penting dan perlu dielak, dan ini merupakan antara pelajaran paling penting yang telah dipelajarinya.



''Dulu saya selalu beritahu diri sendiri buat apa nak pergi kaunseling? Saya cakap saya boleh berhenti tapi apa yang patut saya lakukan bila 'pencetus' ni datang?



''Pasti akan ada 'pencetus' dalam kehidupan saya, sangat pasti,'' kata bapa seorang anak lelaki itu.



Setiap penagih mempunyai 'pencetus' mereka sendiri. Bagi Roslan,antara 'pencetus' terbesarnya ialah apabila beliau berjalan berdekatan tempatnya menghisap dadah.



''Perkara semudah itu, bila saya lewat di tempat saya ambil dadah dulu, mesti saya nak masuk, tengok tempat tu, jumpa members lama. Mungkin niat hanya nak tanya khabar, tapi itulah permulaannya.



''Tapi sekarang saya tahu, jangan pergi tempat tu langsung. Ambil jalan lain sebab saya tak kuat. Macam mana nak alihkan, pesongkan perhatian kita, itulah yang diajarkan,'' ujarnya.



Dalam proses mengembalikan penyalah guna dadah ke pangkal jalan, sokongan pelbagai pihak adalah penting, tambah Roslan. ''Dulu saya tak ada contoh, tapi sekarang saya ada PS (penyelia peribadi) yang saya jadikan contoh untuk diikuti.



''Sokongan masyarakat juga sangat penting kerana saya tidak boleh melakukannya seorang diri... ini adalah 'penyakit' yang menjejas seluruh masyarakat,'' kata Roslan yang menganggap usahanya memerangi dadah ''suatu perjalanan yang tiada tanda noktah''.




Hati pendamping 'cair' apabila bekas banduan salam, cium tangannya



KALI pertama beliau diberi salaman mesra, hati Cik May Hui 'cair'.



Beliau sering melihat orang Islam saling bersalaman, tetapi tidak pernah menyangka ada yang hendak bersalam dengannya malah mencium tangannya.



Malah lebih dari itu, ada juga yang meminta izin memanggilnya dengan gelaran mum (emak dalam bahasa Inggeris).



Yang melakukan semua itu adalah bekas banduan yang pernah meringkuk dalam penjara akibat kesalahan berkaitan dadah.



Cik May Hui, 65 tahun, tiada ikatan darah sama sekali dengan mereka tetapi banyak masalah peribadi dikongsi bersamanya.



Sebagai pendamping (befriender), beliaulah yang akan berjumpa, berbual dan memberi sokongan kepada pesalah dadah itu.



Ditemui akhbar ini, ibu dua anak lelaki dewasa itu berkata beliau mula menjadi sukarelawan dengan Persatuan Jagaan Lanjut Singapura (Saca) sejak 2002.



Sebagai pendamping, beliau akan melawat banduan dalam penjara sebelum dibebaskan untuk membina hubungan dengan mereka, membincangkan pelan pelepasan serta mengenal pasti masalah yang mungkin akan dihadapi setelah mereka dibebaskan kelak.



Setelah dibebaskan pula, beliau akan bertemu dengan bekas pesalah itu untuk menanyakan khabar, mendengar perkongsian cerita dan masalah mereka.



Pendampingan tersebut memberi jaminan kepada pesalah itu bahawa masih ada anggota masyarakat yang peduli dan mahu melihat mereka mengintegrasi semula dengan baik.



'Tugas'nya itu bukan semudah yang dibayangkan, kata Cik May Hui. Ini kerana untuk mendapatkan kliennya berbual dan berkongsi dengannya memerlukan masa.



"Ramai daripada mereka, terutama penagih dadah, sukar percaya siapa-siapa. Bukan senang membuat mereka rasa selesa berkongsi mengenai diri sendiri. Saya akan menanyakan minat mereka dan dari situ kami berkongsi lebih banyak kisah," ujarnya.



Ramai di antara kliennya juga mempunyai masalah keluarga. Ada yang bak sudah dipinggir keluarga kerana sudah berkali-kali keluar masuk penjara.



"Sebenarnya mereka hanya ingin kasih sayang dan sokongan, tetapi tak semua yang dapat merasakan itu kerana ada keluarga tak datang melawat," kata beliau.



Sebagai sebahagian pendampingan pasca pembebasan, Cik May Hui akan bertemu kliennya di luar dan mengajak mereka makan.



Ini semua dilakukan semata-mata ingin memastikan mereka tidak kembali melakukan perkara-perkara salah seperti dahulu.



Namun, dalam beliau membantu kliennya itu, banyak perkara yang dipelajari daripada mereka. Pengalaman berinteraksi juga cukup membuka matanya.



"Kalau saya nak berjumpa dengan mereka di stesen MRT City Hall, saya tak boleh cakap 'jumpa di City Hall' sebab mereka tak tahu. Saya harus beritahu mereka keluar rumah pukul berapa, naik MRT perlu tukar atau tidak dan sebagainya.



"Perkara seperti ini yang kita anggap perkara biasa, ramai daripada mereka tak tahu," jelasnya.



Ditanya sama ada beliau ada mempelajari sesuatu daripada kliennya, Cik May Hui berkata:



"Saya selalu suruh mereka tetapkan matlamat, jadi salah seorang klien saya juga menyuruh saya tetapkan matlamat cuba berpuasa.



"Dua tahun lalu saya berjaya berpuasa pada bulan Ramadan dengan pertolongan klien itu. Setiap pagi beliau akan mengingatkan saya untuk bangun sahur."



Tahun lalu pula, Cik May Hui berpuasa selama 33 hari, dan mahu berpuasa lagi Ramadan akan datang.



"Mereka mengajar saya tentang kesabaran dan menggalakkan saya cuba mempelajari agama-agama lain," kata beliau yang tidak mempunyai agama tetapi merupakan anggota Darul Arqam "kerana mahu mempelajari tentang ajaran Nabi Muhammad".



Setelah 17 tahun menjadi sukarelawan Saca sebagai pendamping, nampaknya Cik May Hui masih mahu meneruskan usaha membantu sebanyak mungkin pesalah tanpa mengharapkan sebarang balasan pun.



"Saya cuma gembira dapat melakukan perubahan (dalam kehidupan mereka), bukan dengan memberikan wang tetapi dengan berada di samping mereka dan mendengar perkongsian mereka," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >