Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24

Pelbagai sokongan tersedia bagi capai 'Cinta Abadi'

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

MEMPERKUKUH PASANGAN MUDA

Pelbagai sokongan tersedia bagi capai 'Cinta Abadi'

Pasangan muda sambut baik inisiatif 'Bersamamu' yang terus dipertingkat selain pelbagai tip yang disediakan di wadah FB
Mar 16, 2021 | 05:30 AM

TERDAPAT lebih banyak sokongan bagi pasangan yang ingin melayari bahtera perkahwinan hari ini dengan pelbagai inisiatif diadakan demi membantu mereka.

Ini termasuk mendapatkan tip perkahwinan menerusi wadah Facebook, mahupun menerusi kadi mereka sendiri.

Naib kadi dan pasangan yang dihubungi Berita Harian (BH) menyambut baik inisiatif Bersamamu yang terus dipertingkat.

Pada tahun lalu, kandungan bagi kursus persiapan perkahwinan Cinta Abadi dikemaskini untuk merangkumi kandungan baru supaya pasangan dapat dilengkapi dengan maklumat yang diperlukan.

Ini seperti pemilikan bersama flat atau rumah, pencalonan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan insurans.

Ia juga merangkumi mesej untuk meningkatkan kesedaran tentang talak, atau perceraian, yang dilafazkan secara sewenang-wenangnya, dan kesan serta pencegahan melakukan perkara itu.

Selain itu, kandungan perancangan kewangan dikemaskini yang meliputi alat celik kewangan MoneySense juga disediakan.

Naib kadi Ustaz Fakhrudin Amin berkata ini amat baik sekali kerana pasangan diberikan maklumat terkini supaya mereka lebih bersedia, dapat merancang dengan lebih baik dari sudut kewangan, perancangan keluarga dan lain-lain.

"Dan juga jika dapat ditambahkan lagi dari aspek kerohanian dan moral seperti contohnya menjadi pasangan suami isteri yang berjiwa Rabbani, dengan budi pekerti yang tinggi, adalah lebih baik kerana saya yakin pasangan suami isteri lebih terjamin kebahagiaan mereka," ujarnya yang juga Eksekutif Kanan Dakwah di Masjid Darul Ghufran.

Terdapat juga laman Facebook Bersamamu baru yang berkongsi maklumat berkaitan perkahwinan, keibubapaan dan pembangunan awal kanak-kanak bagi pasangan.

Menurut Naib Kadi, Ustaz Muhammad Ma'az Sallim, sambutan kumpulan Facebook dalam kalangan pasangannya amat menggalakkan.

"Kumpulan Facebook itu menggabungkan para kadi, naib kadi dan pasangan dalam satu kumpulan, justeru ia membolehkan semua untuk mempunyai perhubungan dan interaksi yang rapat.

"Pasangan boleh meraih manfaat daripada kadi lain selain kadi mereka sendiri. Di antara pasangan pula, mereka boleh kongsi pendapat. Justeru ia ibarat satu masyarakat, satu sistem sokongan," ujar Ustaz Ma'az, yang juga Imam Eksekutif di Masjid Al-Istighfar.

Pasangan Cik Nurul Atiqah Roslie, 28 tahun, dan Encik Aidil Abdul Rahim, 33 tahun, yang sudah bernikah Ogos lalu merupakan sebahagian kumpulan Facebook itu.

Menurut Cik Atiqah, beliau mendapati pos seperti bagaimana untuk menghidupkan dan menceriakan hubungan antara pasangan berguna dan seronok untuk dibaca.

Naib kadi ibarat "responder pertama" sepanjang dua tahun perkahwinan pasangan untuk memberi sokongan apabila diperlukan, kata Ustaz Ma'az.

"Sekiranya terdapat apa-apa masalah dalam rumah tangga, kami akan menilai apakah komponennya, sama ada dari segi pekerjaan, kewangan, keganasan keluarga, penjagaan kesihatan atau sebagainya, dan kami sudah dilatih untuk menyalurkan mereka kepada agensi-agensi yang relevan," tambahnya yang juga merupakan pengasas kahwinbuzz - wadah Instagram dan Facebook yang menyediakan tip berkenaan keluarga, khususnya pasangan suami isteri.

Ketika ditanya sama ada beliau menganggap ia satu beban kerana pasangan boleh menghubungi beliau bila-bila masa sahaja, Ustaz Fakhrudin menolak andaian itu, sebaliknya menekankan ia adalah satu amanah.

"Tanggungjawab kami adalah untuk membantu pasangan-pasangan mencapai rumah tangga yang bahagia dan berjaya mengikut ajaran Islam yang benar lagi tepat.

"Dan ini bukan sahaja tanggungjawab kami sebagai kadi atau naib kadi, malah juga tanggungjawab setiap individu untuk membantu mereka yang memerlukan tidak kira dari apa jua sudut kerana tujuannya adalah untuk membina masyarakat yang cemerlang dan berjaya," ujarnya.

Pasangan Cik Atiqah dan Encik Aidil berkata mereka diperkenalkan kepada inisiatif Bersamamu menerusi naib kadi mereka, Ustaz Md Syahid Abdul Latif.

Menyokong usaha itu, Cik Atiqah, seorang pegawai pembangunan perniagaan, berkata naib kadi mereka banyak membantu memudahkan proses mereka menuju ke alam perkahwinan dan sehingga kini masih berhubungan dengan beliau.

Menambah, Encik Aidil yang bertugas sebagai pengendali kren dermaga, berkata: "Ustaz Syahid banyak membimbing kami untuk lebih memahami betapa pentingnya peranan kami sebagai suami dan isteri dalam alam rumah tangga."

Berkongsi nasihat paling berguna daripada naib kadinya, Cik Atiqah berkata: "Sabar dan sesuaikan diri kepada sekitaran baru. Dalam alam perkahwinan, kita akan bercampur dengan dua keluarga dan budayanya mungkin berbeza. Sentiasa lindungi pasangan kita dan jika salah satu menjadi api, yang lagi satu menjadi air." - Laporan tambahan NUR FATHIN AWALLUDIN


"Kumpulan Facebook itu menggabungkan para kadi, naib kadi dan pasangan dalam satu kumpulan, justeru ia membolehkan semua untuk mempunyai perhubungan dan interaksi yang rapat. Pasangan boleh meraih manfaat daripada kadi lain selain kadi mereka sendiri. Di antara pasangan pula, mereka boleh kongsi pendapat. Justeru ia ibarat satu masyarakat, satu sistem sokongan."
- Naib Kadi, Ustaz Muhammad Ma'az Sallim.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3