Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelihara perpaduan sosial, utamakan kebaikan bersama: Chun Sing

S'pura prihatin keganasan di Hong Kong boleh jadi lebih buruk
Nov 19, 2019 | 05:30 AM



SINGAPURA memantau dengan prihatin situasi di Hong Kong yang menjadi lebih teruk dan kini berada di ambang kritikal, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing.



Beliau menggariskan empat pengajaran bagi Singapura daripada situasi di Hong Kong itu dari segi sistem politik, dasar jangka panjang, perpaduan sosial dan kerelevanan negara kota.



Encik Chan berkata ramai warga Singapura yang telah bertanya adakah apa yang berlaku di Hong Kong boleh berlaku di Singapura.



"Niat saya hari ini bukanlah untuk mengadili pihak lain, tetapi untuk mencari pengajaran bagi diri kita sendiri.



"Situasi sekarang (di Hong Kong) berada di detik kritikal. Kecuali keamanan kembali dan dialog bermula, akan ada kesangsian serius tentang masa depan Hong Kong, dan kemampanan model pemerintahan sekarang," ujar Encik Chan.



Beliau berkata demikian kepada media semasa ditemui di bangunan The Treasury di High Street semalam, sedang keadaan di Hong Kong terus bergolak.



Kelmarin, penunjuk perasaan yang radikal membakar kenderaan polis dengan bom petrol dan menyerang dua pegawai polis dengan anak panah dan bola keluli kecil di luar Universiti Politeknik Hong Kong di Kowloon.



Encik Chan menekankan semalam bahawa kejayaan berterusan Hong Kong sebagai hab ekonomi dan kewangan adalah penting untuk rantau ini dan dunia, termasuk Singapura.



Namun, apa yang berlaku di Hong Kong boleh berlaku di Singapura jika rakyatnya ambil sikap sambil lewa.



Pengajaran pertama bagi Singapura adalah dari segi sistem politik, kata Encik Chan.



Sistem politik di serata dunia, sedang ia berusaha mewakili pelbagai kepentingan rakyat, mesti mendapatkan kerjasama pelbagai pihak untuk meningkatkan kehidupan rakyat.



Mana-mana sistem politik juga harus bekerjasama dengan perkhidmatan awam, serta mendapatkan maklum balas orang awam.



"Hanya dengan sistem politik yang berfungsi dengan baik, budaya politik yang sewajarnya dan mekanisme baik (mengubah) maklum balas menjadi tindakan, kita boleh mengubahsuai dasar yang diperlukan, melaksanakan secara kukuh dan berkomunikasi secara berkesan," ujar Encik Chan.



Pengajaran kedua pula adalah peri pentingnya pemerintah mengambil kira kepentingan bukan sahaja generasi sekarang bahkan generasi masa depan.



"Hari ini, terlalu banyak pemerintah dan masyarakat yang memberi tumpuan berlebihan kepada isu sekarang dan domestik, tanpa mempertimbangkan masa depan atau keadaan luar.



"Semua pilihan raya tidak hanya boleh mengenai 'sini dan sekarang' tanpa mempertimbangkan masa depan jangka panjang rakyat dan negara," ujar Encik Chan.



Beliau memberi contoh dasar yang membolehkan rakyat mendapatkan rumah mampu milik serta perkhidmatan penting - dan ini merupakan asas bagi sebuah masyarakat yang stabil.



Sebab itulah Singapura menyalurkan pendapatan daripada penjualan tanah kepada rizab untuk memberi manfaat kepada generasi masa depan, kata Encik Chan lagi.



Satu lagi pengajaran untuk Singapura daripada situasi di Hong Kong adalah berkenaan perpaduan sosial dan huraian konflik.



Bagi memelihara perpaduan sosial, semua pihak perlu prihatin tentang kebaikan bersama dalam negara, sambil memperjuangkan kebaikan masyarakat tertentu, kata Encik Chan.



Sementara itu, golongan berjaya pula perlu sedar tanggungjawabnya kepada masyarakat kerana individu mencapai kejayaan bukan sahaja atas kerja kerasnya sendiri, bahkan dengan peluang yang disediakan masyarakat.



Dalam menghuraikan konflik pula, semua pihak harus memainkan peranan.



"Huraian konflik bukanlah memberitahu pemerintah apa yang kita mahu dan dapatkan orang lain untuk menghuraikan masalah kita.



"Ia adalah mengenai semua pihak bekerjasama mengatasi isu bersama," ujar Encik Chan.



Sebagai sebuah negara kota, Singapura juga perlu berusaha kekal relevan dalam dunia yang tidak menentu.



"Kita harus bekerja keras untuk membezakan diri kita dan kekal cemerlang di tengah-tengah ketidaktentuan global," ujar Encik Chan.



Untuk terus berbuat demikian, Singapura harus meluaskan peluang bagi syarikat dan pekerjanya, mengambil pandangan berprinsip dalam ehwal dunia, serta terus bersatu padu agar pihak lain mahu terus bekerjasama dengan negara ini.



Singapura juga harus bertanggungjawab ke atas pertahanan dan keselamatannya dan mencorak nasibnya sendiri.



"Inilah Singapura yang kita mahu, dan inilah Singapura yang ingin kita wariskan kepada generasi seterusnya agar semua tahu selagi kita kerja keras, kita akan ada peluang untuk berjaya dan anak-anak kita juga akan turut mempunyai peluang sedemikian," ujar Encik Chan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >