Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelihara sumber ilmu agama, waspada ajaran terpesong: khutbah Muis

Nov 13, 2020 | 01:26 PM



MASYARAKAT Islam di Singapura dinasihatkan untuk memelihara sumber ilmu agama dan berwaspada terhadap ajaran yang terpesong.



Hal ini ditekankan dalam teks khutbah Jumaat hari ini (13 November) yang disiapkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



".. Sangat penting kita memperolehi ilmu agama yang muktabar, yang diajarkan hanya oleh mereka yang betul didikannya dan bertauliah



"Di antara tanda ajaran yang meragukan adalah apabila seorang guru tidak memiliki sebarang pentauliahan. Kelas-kelas agama yang dikendalikannya pula berjalan secara bersembunyi," menurut khutbah itu.



Berikut teks penuh khutbah tersebut:



"Saudaraku yang dirahmati Allah, marilah sama-sama kita memelihara keimanan dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah (s.w.t.). Bertakwalah kepada Allah dengan melakukan segala kebaikan dan meninggalkan segala keburukan.



Bertakwalah kepada Allah dengan hati yang bersih dari segala hasad dan dengki. Bertakwalah kepada Allah dengan lisan yang suci dari fitnah dan kata-kata yang membawa benci.



Bertakwalah kepada Allah dengan memelihara amalan dari segala penyelewengan dan kesesatan.



Bertakwalah kepada Allah dengan menjaga agamamu. Peliharalah sumber ilmumu.



Ingatlah, ada di kalangan manusia yang inginkan fitnah, kerosakan mahupun kesesatan dengan kata-kata manis, tipu daya dan desakan mereka. 



Ingatlah saudara, Rasulullah (s.a.w.) sentiasa berpesan agar segala ajaran dan pengamalan agama perlu berlandaskan tunjuk ajar Baginda (s.a.w.). 



Oleh itu, sangat penting kita memperolehi ilmu agama yang muktabar, yang diajarkan hanya oleh mereka yang betul didikannya dan bertauliah.



Ada yang memesongkan agama untuk kepentingan dan hawa nafsu diri sendiri. Ada pula yang memesongkan agama untuk keganasan. Ada juga yang memesongkan agama kerana mereka terkeliru dan menyangka perbuatannya benar.



Apabila kita mendahagakan panduan, janganlah sampai kita termakan kata-kata manis ataupun pujukan mereka, sedangkan perkara yang diajar adalah satu penyelewengan. 



Sama ada mereka mengaku boleh berbicara dengan Allah atau Nabinya, atau menghalalkan perkara yang terang-terang tidak dibenarkan agama, sama ada nikah secara batin, atau perjudian, atau keganasan dan kezaliman.



Di antara tanda ajaran yang meragukan adalah apabila seorang guru tidak memiliki sebarang pentauliahan. Kelas-kelas agama yang dikendalikannya pula berjalan secara bersembunyi.



Umar bin Abdul Aziz pernah berkata: Jika engkau melihat sesuatu kaum yang berbisik-bisik [berbicara rahsia] tentang agama mereka, tanpa  membawa orang ramai [dalam perbincangan], maka ketahuilah bahawa dasar mereka adalah sesat. (Kitab al-Zuhd, Imam Ahmad).



Adalah tanggungjawab kita sendiri untuk membuat pertimbangan akan ajaran yang diterima. Baginda bersabda: “Maka hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku, dan sunnah khulafa’ al-Rasyidin yang mendapatkan petunjuk. Gigitlah ia dengan gerahammu (yakni berpegang dengan teguh)…” (Riwayat Imam Abu Daud).



Sekiranya terdapat pertembungan antara ajaran yang anda terima dengan al-Quran, sunnah Nabi (s.a.w.) serta panduan yang dibawa para ulama muktabar, anda perlu berhati-hati dengan ajaran tersebut.



Mintalah pendapat serta panduan para asatizah, sekiranya terdapat keraguan tertentu.



Perhatikan firman Allah (s.w.t.) di dalam surah al-Anbiya ayat ke-7 yang bermaksud: “Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelum kamu (Muhammad), melainkan beberapa orang-laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui.”



Walaupun masyarakat kita telah banyak berbakti, beramal dan menyumbang kepada kebaikan, tidak mustahil terdapat anasir-anasir yang tidak sihat.



Inilah perjuangan kita, untuk terus berwaspada dan memelihara diri serta keluarga. Kita akan selamat selagi mana kita bergerak bersama sebagai satu masyarakat, dan terus bantu-membantu di dalam kebaikan dan di dalam menasihati satu sama lain.



Namun, kita juga harus berhati-hati ketika menyebarkan maklumat dan berbicara sesama kita. Ia seharusnya menjadi garis pandu ketika apabila kita menerima berita yang belum lagi jelas kesahihannya.



Ingatlah, lidah kita mudah berbicara, jari-jemari kita senang menulis, namun kesan dan bahayanya berpanjangan dan berkekalan, dari dunia ke akhirat. Allah (s.w.t.) memerhatikan setiap yang kita lakukan dan bicarakan.



Bagi setiap kebaikan adalah balasan kebaikan juga, dan bagi setiap dusta dan pembohongan adalah balasan dosa buat diri kita sendiri dan mereka yang kita aniaya.



Mudah-mudahan dengan sikap berwaspada dalam menuntut ilmu, akan membantu menjamin keselamatan agama kita, serta agama ahli keluarga kita.



Marilah kita berdoa agar kita dan masyarakat kita sentiasa berada di atas landasan yang benar yang dibawa oleh Baginda Nabi (s.a.w.). Amin Ya Rabbal ‘Alamin."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >