Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Peluang bagi syarikat tebar perniagaan

Usahawan Melayu/Islam harus teroka potensi niaga di tempat-tempat seperti Malaysia Timur, Brunei serta Batam, Bintan dan Karimun
Dec 15, 2019 | 05:30 AM



Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing, telah menyentuh pelbagai topik dalam satu temu ramah bersama BERITA MINGGU di pejabatnya pada 6 Disember lalu. Beliau antara lain membincangkan tentang peluang pekerjaan dan perniagaan di sebalik ekonomi yang tidak menentu hari ini, serta pencapaian masyarakat Melayu dan persediaan pasukan '4G' untuk pilihan raya umum akan datang. Berikut laporan temu ramah tersebut.




PERNIAGAAN Melayu Singapura boleh menjangkakan lebih banyak peluang perniagaan di peringkat serantau sedang negara ini memperkukuh kerjasama dengan negara-negara jiran di tiga kawasan - Malaysia Timur, Brunei serta BBK (Batam, Bintan dan Karimun).



Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing, berkata kawasan-kawasan ini kaya dengan sumber seperti tanah dan tenaga, serta mempunyai pasaran yang potensinya belum dimanfaatkan sepenuhnya.



Antara bidang ini termasuk pelancongan dan pembuatan perabot di Sabah dan Sarawak, pertanian dan makanan di Brunei, serta pengilangan dan digital di BBK.



Encik Chan berkata kementeriannya turut berganding bahu dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) untuk menarik minat perniagaan Melayu di kawasan-kawasan ini.



"Usahawan Melayu akan mempunyai kelebihan dari segi bahasa. Ada peluang bagi kita untuk ke kawasan-kawasan ini kerana kita boleh memanfaatkan kos tanah lebih murah untuk membuat pengeluaran, dan membawanya balik ke sistem Singapura," ujar Encik Chan kepada Berita Minggu.



Dalam temu ramah itu, Encik Chan giat menjelaskan beberapa konsep kepada wartawan dengan mencoret graf dan peta di atas kertas.



Beliau menerangkan, antara kawasan yang boleh diteroka perniagaan Singapura ialah Batam, Bintan dan Karimun di kepulauan Riau di bawah zon ekonomi khas yang dikenali sebagai BBK.



Baru-baru ini, Singapura telah menyarankan kepada Indonesia untuk berganding bahu di BBK dari segi perancangan induk (master planning) dan promosi pelaburan.



Ini dibentangkan dalam pertemuan Encik Chan bersama Menteri Penyelaras Kelautan dan Pelaburan, Encik Luhut Binsar Panjaitan, bulan lalu.



"Saranan kami kepada Pak Luhut adalah untuk mempunyai satu pelan menyeluruh, dan membolehkan Indonesia dan Singapura untuk mempunyai wadah bagi 10 tahun, 20 tahun akan datang, untuk (bekerjasama) secara sistematik, seperti mana yang telah kami lakukan di Suzhou," kata Encik Chan, merujuk kepada taman industri kerjasama Singapura-China.



Agensi Singapura juga boleh membantu syarikat setempat dan negara pihak ketiga untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa wilayah Kepulauan Riau (Kepri).



Buat masa ini, Singapura mempunyai kerjasama sedia ada Taman Digital Nongsa (NDP) di Batam yang mula beroperasi pada Mac 2019.



NDP ialah idea syarikat Infinite Studio yang beroperasi di Singapura dan pembinaan itu dijalankan oleh syarikat induk Citramas Group.



Ekonomi digital juga terus menawarkan banyak peluang di pasaran Indonesia yang begitu besar, kata Encik Chan.



Di negara itu, syarikat pemula tumbuh dengan pesat, memberi tumpuan kepada sektor seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan sektor lain berkenaan pengguna.



Di Malaysia pula, Singapura kini memperluas kerjasama menjangkau kawasan 'tradisional' di Malaysia Barat - yang dijangka terus kukuh.



Namun kini kerjasama turut diteroka di Sabah dan Sarawak, yang mempunyai potensi dalam pasaran seperti pelancongan serta pembuatan perabot.



Baru-baru ini, Sarawak menubuhkan sebuah pejabat perdagangan dan pelancongan di Singapura untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak itu.



Singapura juga sedang berganding bahu dengan Brunei dalam projek seperti pertanian dan makanan yang memanfaatkan tanah serta perairan yang luas di negara itu.



Antara projek itu ialah penternakan ikan siakap (barramundi).



Sementara itu, terdapat juga peluang dalam pasaran halal menjangkau Asia Tenggara.



Koridor darat-laut baru di bawah Kesalinghubungan Strategik tentang Inisiatif Demonstrasi China-Singapura (Chongqing) (CCI) membuka peluang kepada pasaran di China Barat dan Asia Tengah, seperti Kazakhstan.



"Ramai usahawan Melayu kini terlibat dalam sektor pasaran halal kerana sijil dan piawaian makanan kami diterima oleh ramai orang. Ada peluang yang besar sekali," ujar Encik Chan.




MENGENAI KOS SARA HIDUP DAN ASPIRASI



Apabila kami berbual tentang kos sara hidup, ada orang yang betul-betul miskin dan mereka rasa tekanannya. Tetapi ada juga yang mempunyai gaji tinggi, dan jangkaan mereka juga lebih tinggi. Tidak salah untuk mempunyai aspirasi tinggi selagi anda boleh mengurusnya. Malah, anda perlu aspirasi tinggi, jadi anda boleh katakan 'Saya bekerja dengan penuh azam ke arahnya'. Ini bukan isu aspirasi. Tetapi ia adalah mengenai membantu rakyat melakar pelan bagi memenuhi aspirasi mereka. Ia adalah soalan rancangan kerjaya, kewangan, dan peluang untuk mencapai aspirasi tinggi ini.



MENGENAI PEKERJAAN BERKEKALAN



Sebagai contoh, mengapakah kami prihatin terhadap pekerja penghantaran? Bukan sahaja kerana dalam jangka masa singkat mereka tidak dapat CPF, perlindungan perubatan, insurans. Itu adalah isu jangka masa singkat. Tetapi isu jangka masa panjangnya adalah adakah pekerjaan ini boleh bertahan? Hari ini anda hantar barang. Esok jika dron boleh menghantarnya, tiba-tiba anda dapati pekerjaan anda tidak berdaya tahan.



MENGENAI BONUS PERKHIDMATAN AWAM LEBIH RENDAH



Ini memberi isyarat kepada sektor lain dalam ekonomi. Anda lihat terdapat kepelbagaian prestasi dalam ekonomi. Jika anda perhatikan tahun ini, kami mengambil langkah sengaja untuk memberi lebih kepada pekerja gaji rendah. Ini adalah manifestasi falsafah penjagaan kami ... jaga yang paling tua, paling muda, dan paling lemah. Apabila ekonomi tumbuh semula, kami akan ada lebih untuk dikongsi dengan semua. Tetapi apabila masa sukar, jangan lupa mereka yang berada dalam kekurangan.



- Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >