Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUSULAN ROMBAKAN KABINET

Peluang barisan baru pucuk kepimpinan atur pasukan sendiri

Jun 08, 2022 | 05:30 AM



ROMBAKAN Kabinet 'minimalis' yang tiada perubahan di peringkat menteri yang diumum Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, kelmarin menunjukkan tumpuan utama terletak pada pelantikan perdana menteri seterusnya dan bagi pemimpin baru itu membentuk pasukan terasnya sendiri.



Di samping itu, sebarang perubahan menteri yang menerajui portfolio utama pada masa ini boleh mengganggu keadaan, memandangkan Kabinet baru saja dirombak tahun lalu dan pilihan raya umum diadakan dua tahun lalu.



Berkongsi pendapatnya, Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata masih terlalu awal untuk menukar menteri ke jawatan lain, memandangkan pilihan raya umum baru diadakan.



"Setiap dasar perlu makan masa sebelum kita dapat lihat natijahnya. Justeru, agar setiap dasar ada kesinambungannya, maka tidak ada pertukaran jawatan menteri.



"Tetapi yang kita lihat ialah kenaikan pangkat beberapa Anggota Parlimen (AP) muda, yang menunjukkan bahawa pembaharuan ini bukan sahaja untuk pasukan 4G mengambil alih, tetapi untuk mempersiapkan kepimpinan 5G dan seterusnya," kata beliau.



Rombakan Kabinet itu menyaksikan pelantikan Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, sebagai Timbalan Perdana Menteri (DPM), sekali gus menjadikan semakin jelas tentang barisan pucuk kepimpinan generasi selanjutnya.



Kenaikan pangkat Encik Wong, 49 tahun, menyusuli pemilihan beliau oleh rakan-rakan seangkatannya sebagai ketua pemimpin generasi keempat (4G) parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP).



Selain Encik Wong, tiga orang lagi turut dinaikkan pangkat - Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Perhubungan dan Penerangan), Encik Tan Kiat How, kepada Menteri Negara Kanan, dan Setiausaha Parlimen, Cik Rahayu Mahzam serta Encik Eric Chua, kepada Setiausaha Parlimen Kanan.



Perubahan lain termasuk Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Encik Chee Hong Tat, akan melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan kembali menyertai pemerintah sepenuh masa.



Bagaimanapun, tiada perubahan dilihat pada peringkat menteri.



Zamil Penyelidikan Kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Woo Jun Jie, berkata ketiadaan perubahan di peringkat menteri mungkin disebabkan ketidakpastian sejagat yang dihadapi Singapura.



Ini termasuk inflasi sejagat, pertumbuhan ekonomi yang semakin perlahan, gangguan terhadap rantaian bekalan, dan potensi mutasi virus Covid-19.



"Oleh itu, mungkin ada keperluan mengekalkan kedudukan menteri semasa, kerana mereka mempunyai pengalaman dan rangkaian yang diperlukan untuk menangani masalah ini," kata beliau.



Profesor Madya Tan Ern Ser daripada Jabatan Sosiologi Universiti Nasional Singapura (NUS) berhujah rombakan Kabinet terkini itu merupakan perubahan "minimalis" dengan tumpuannya pada pelantikan perdana menteri seterusnya.



Beliau berkata pelantikan dan kenaikan pangkat lain yang diumum mencerminkan amalan PAP memberi peluang kepada pemegang jawatan politik muda mendapat pendedahan lebih besar dan menunjukkan kekuatan mereka.



Dr Tan percaya ketiadaan perubahan peringkat menteri dalam rombakan terkini ialah "bagi perdana menteri seterusnya menghimpunkan dan mengatur pasukan terasnya sendiri".



Timbalan Pengarah Penyelidikan di IPS, Dr Gillian Koh, berkata dek faktor ketidakpastian sejagat dalam geopolitik, prospek ekonomi, kemampanan ekologi dan krisis kesihatan awam Covid-19 yang berterusan, Perdana Menteri Lee dan barangkali, Encik Wong, memutuskan mengekalkan status quo dalam portfolio pemegang jawatan politik.



"Mereka berpengalaman dan mempunyai rangkaian yang telah dibina lama yang tidak begitu mudah dipindahkan dan terutamanya tidak dalam masa mencabar ini," kata beliau.



Oleh itu, terdapat hanya perubahan kecil dalam rombakan itu, dengan beberapa pemegang jawatan politik muda dinaikkan pangkat, tambah Dr Koh.



Paling ketara ialah kenaikan pangkat Encik Tan Kiat How kepada Menteri Negara Kanan dan Encik Chee Hong Tat kembali menyertai pemerintah sepenuhnya.



"Ini adalah peluang untuk mereka dan yang lain membuktikan diri mereka; untuk menguji sejauh mana mereka boleh pergi. Kedua-dua Encik Tan dan Encik Chee merupakan penjawat awam kanan sebelum memasuki politik.



"Oleh itu, saya pasti tidak ada keraguan tentang kecekapan intelektual dan penggubalan dasar mereka.



"Yang diperlukan ialah keupayaan mereka membuat keputusan baik dan menggerakkan masyarakat," kata Dr Koh.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >