Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUSULAN BELANJAWAN

Peluang kerja, kos sara hidup antara keprihatinan

Feb 29, 2020 | 05:30 AM



KEPRIHATINAN tentang peluang bagi pekerja matang dan lanjut usia serta kos sara hidup menjadi antara isu yang telah diketengahkan dalam dialog pasca Belanjawan 2020 anjuran rangkaian M Kuasa Tiga (M³) kelmarin.



Isu yang ditimbulkan itu mencerminkan keprihatinan masyarakat Melayu sedang ekonomi menjalani transformasi dan dalam mengharungi ketidaktentuan disebabkan wabak koronavirus Covid-19.



Mengulas tentang hal itu, Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara), Encik Zaqy Mohamad akur dengan keprihatinan itu dan berkata pakej bantuan dan sokongan yang diumumkan disediakan bagi membantu pekerja meningkatkan kemahiran mereka sekiranya perlu bertukar kerjaya.



Encik Zaqy turut menekankan kepentingan rakyat Singapura yang bekerja menggarap dan memanfaatkan peluang baru dalam sektor yang semakin meningkat.



"Ramai yang prihatin tentang peluang bagi mereka lebih-lebih lagi ketika ekonomi kita yang sedang melalui perubahan struktur.



"Bagi saya amat penting menolong pekerja kita supaya meningkatkan kemahiran mereka dan menggunakan peluang ini untuk meningkatkan keupayaan mereka.



"Justeru ia penting untuk melihat sektor dan industri yang sedang berkembang," kata beliau.



Encik Zaqy dan Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin, merupakan anggota panel sesi dialog pertama dianjurkan oleh M³.



Ini merupakan dialog pertama daripada tiga sesi dialog yang dianjurkan bersama oleh rangkaian M³ yang merangkumi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra).



Sekitar 170 peserta termasuk pemimpin akar umbi serta wakil daripada Mesra dan pertubuhan Melayu/Islam turut hadir dalam sesi yang diadakan di Kelab Masyarakat Keat Hong.



Dalam sesi yang berlangsung sekitar dua jam itu, Encik Zaqy dan Encik Amrin turut memberi penjelasan serta keterangan mengenai beberapa persoalan dan kemusykilan yang dikemukakan berhubung Belanjawan tahun ini.



Antaranya mengenai Pakej Sokongan Pertengahan Kerjaya SkillsFuture dengan tokokan $500 Kredit SkillsFuture khas diberikan buat setiap rakyat Singapura berusia 40 hingga 60 tahun pada tahun ini.



Tokokan ini adalah tambahan kepada tokokan $500 Kredit SkillsFuture yang akan diterima semua rakyat Singapura berusia 25 tahun dan ke atas.



Salah seorang peserta, Cik Junaidah Tarjo, 60 tahun, antara lain berpendapat bahawa tokokan tambahan itu juga perlu diberikan kepada pekerja lanjut usia yang menjangkaui usia lebih 60 tahun.



"Jika kita lihat sekarang, usia purata rakyat Singapura yang bersara melebihi 60 tahun dan ada yang ingin terus bekerja dan mendapatkan kemahiran baru," kata pengerusi MAEC Keat Hong itu.



Menjawab persoalan itu, Encik Amrin menjelaskan tumpuan diberikan kepada golongan peringkat umur itu kerana pemerintah akur tentang keprihatinan dan kekhuatiran mereka yang masih mempunyai masa yang agak lama lagi untuk terus bekerja berbanding mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas.



"Tumpuan khas diberikan kepada golongan ini supaya mereka dapat memperkasa diri dan tingkatkan kemahiran agar mereka dapat terus bekerja seberapa lama yang mereka mampu," ujar Encik Amrin.



Meskipun begitu, beliau memberi kepastian bahawa pekerja lanjut usia juga tidak ketinggalan dengan bantuan yang disediakan buat golongan pekerja ini menerusi Pakej Bantuan Pekerja Lanjut Usia.



Antara lain ia merangkumi Geran Pengamal Awal bagi Pengambilan Pekerja Lanjut Usia yang akan diperkenalkan untuk menyokong perusahaan yang menaikkan usia persaraan dan usia pengambilan bekerja semula awal.



Geran Pengambilan Bekerja Semula secara Sambilan juga akan diperkenalkan untuk menyokong syarikat yang menawarkan pengambilan bekerja semula sambilan kepada pekerja lanjut usia yang layak dan memohon bagi aturan kerja sedemikian.



"Ini memberi tumpuan khas terhadap keperluan golongan pekerja warga emas kita," tambah Encik Amrin.




"Ramai yang prihatin tentang peluang bagi mereka lebih-lebih lagi ketika ekonomi kita yang sedang melalui perubahan struktur. Bagi saya amat penting menolong pekerja kita supaya meningkatkan kemahiran mereka dan menggunakan peluang ini untuk meningkatkan keupayaan mereka. Justeru, ia penting untuk melihat sektor dan industri yang sedang berkembang."
- Encik Zaqy Mohamad, Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >