Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Peluang kerjasama baru ditawar rantau Timur Tengah: Maliki

Nov 27, 2021 | 05:30 AM



Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Ehwal Luar dan Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, baru-baru ini menggulung lawatannya ke Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar - lawatan pertama yang dibuat oleh menteri Singapura ke rantau itu sejak pandemik. Beliau berkongsi pemerhatiannya mengenai pelbagai isu menyusuli lawatan tersebut dalam satu wawancara dengan BERITA HARIAN.



SEDANG pasaran Timur Tengah membuka semula ekonomi, ini akan menyajikan peluang kerjasama baru dengan Singapura, khususnya dalam sektor perniagaan, pendidikan dan perubahan iklim, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.



Menurut beliau, rantau itu seperti Singapura, telah beralih strategi dan menganggap Covid-19 sebagai endemik lantas mereka telah membuka semula ekonomi dan sempadannya kepada pelawat antarabangsa sementara terus berwaspada terhadap kesihatan awam.



Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar dan Pendidikan), berkata demikian dalam satu temuramah khas dengan Berita Harian, bagi berkongsi pemerhatiannya menyusuli lawatan baru-baru ini ke Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar, iaitu lawatan pertama yang dibuat oleh menteri Singapura ke rantau itu, sejak pandemik.



Menyifatkan pertemuan dan mesyuarat dengan rakan sejawatan sebagai produktif dan berkongsi banyak kepentingan bersama, Dr Maliki menjelaskan Qatar, Arab Saudi dan UAE merupakan rakan dagangan terbesar Singapura di Timur Tengah yang miliki rancangan bercita-cita tinggi bagi masa depan mereka.



"Rancangan masing-masing meliputi strategi mempelbagaikan ekonomi dan pembaharuan sosio kebudayaan. Mereka juga berminat menarik lebih banyak pelaburan dari luar negara, menggalak teknologi inovatif dan lanjutan dalam industri serta bekerjasama dengan negara lain untuk membina prasarana.



"Singapura dilihat sebagai rakan kerjasama yang berwibawa dan dalam beberapa bidang, negara ini dilihat sebagai kayu ukur dan mereka mahu kita memainkan peranan dalam membantu merealisasikan rancangan mereka.



"Ini membuka banyak peluang untuk memperkukuhkan lagi hubungan ekonomi," ujar beliau.



Satu contoh ialah menerusi wadah kerjasama ekonomi, Jawatankuasa Bersama Saudi-Singapura (SSJC), yang dipersetujui Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Presiden Halimah Yacob pada 2019, yang sudah mencapai kemajuan baik.



Bahkan, mesyuarat peringkat menteri SSJC akan diadakan bulan depan di Riyadh dan ini dijangka menjadi pemangkin kepada peluang komersial bagi peniaga kededua negara, tambah Dr Maliki.



Dr Maliki berkata sektor pendidikan turut menawarkan peluang kerjasama baru.



"Ketiga-tiga negara semakin memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan mereka ghairah bekerjasama dengan kita memandangkan reputasi sistem pendidikan kita.



"Ini bermakna akan ada lebih banyak pertukaran di peringkat pengajian tinggi dan peluang belajar sambil bekerja di Timur Tengah untuk pelajar dari kededua pihak, di samping lebih banyak program latihan dan kerjasama kajian di antara institusi," jelas Dr Maliki.



Satu lagi bidang baru yang berpotensi adalah perubahan iklim memandangkan ketiga-tiga negara mengumumkan rancangan menangani perubahan iklim dan memperbaiki usaha pembangunan mapan.



UAE misalnya, telah melancarkan inisiatif strategik UAE Net Zero by 2050 pada Oktober dan akan menjadi hos Persidangan ke-28 bagi Konvensyen Rangka Kerja Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) pada 2023.



Arab Saudi pula berikrar mencapai pengeluaran karbon sifar menjelang 2060 dan Qatar melancarkan pelan mengurangkan gas rumah hijau sebanyak 25 peratus pada 2030.



Kata Dr Maliki, semua itu saling melengkapi Pelan Hijau Singapura 2030, peta laluan nasional yang dilancarkan awal tahun ini.



Justeru, Singapura akan mencari peluang berganding bahu dengan mereka untuk bersama menangani perubahan iklim, termasuk dalam bidang seperti huraian tenaga bersih, penyimpanan dan tenaga diperbaharui.



Apabila ditanya tentang pemerhatiannya mengenai rantau itu pasca pandemik, Dr Maliki berkata:



"Seperti Singapura mereka telah mengubah strategi di mana Covid-19 dianggap sebagai endemik dan membuka semula ekonomi serta sempadan kepada pelawat antarabangsa.



"Mereka juga menyambung semula acara lebih besar dengan delegasi luar negara, seperti yang kita lakukan di Forum Ekonomi Baru Bloomberg baru-baru ini."



Rantau itu juga tetap sedar tentang risiko kesihatan awam dan meneruskan langkah seperti pemakaian pelitup secara wajib di ruang tertutup dan langkah khusus untuk mereka yang divaksin sepenuhnya.



Dalam lawatannya itu, Dr Maliki berkata salah satu kenangan manis ialah mengunjungi Pavilion Singapura, antara pameran dalam Expo 2020 Dubai - yang dimaklumkan agak popular.



"Sungguh mengagumkan untuk melawat pavilion pelbagai negara dan kisah-kisah mereka.



"Tetapi tentunya, yang terbaik adalah Pavilion Singapura yang berdiri tinggi dan diselubungi kehijauan...Saya difahamkan ia antara pavilion paling popular dengan beberapa tetamu penting dan anggota kerabat diraja UAE sudah mengunjunginya," ujarnya sambil menambah sentiasa ada ramai yang beratur untuk memasuki pavilion itu.



Pertemuan dengan rakyat Singapura yang bermastautin di rantau itu turut meninggalkan pengalaman positif, kata Dr Maliki.



"Saya dapat merasakan semangat kampung dalam kalangan masyarakat kita di setiap negara itu, apabila berinteraksi dengan mereka dan gembira mendapat tahu semuanya dalam keadaan baik dan menjaga satu sama lain di tengah-tengah pandemik," imbas beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >