LIMA keluarga kurang bernasib baik berpeluang menikmati hidangan iftar yang disediakan khas oleh restoran Penny University.
Kesemua keluarga tersebut, yang merupakan penerima bantuan Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) telah dibawa ke restoran itu menaiki kenderaan untuk beriftar bersama dan menikmati sajian '4 course meal'.
Antara menu yang dihidangkan termasuk sup makanan laut Tunisia dan Moussaka Daging Rendang.
Acara berbuka puasa tersebut dianjurkan bersama HGEF dengan kerjasama badan amal Ray of Hope dan Penny University.
Penerima bantuan HGEF terdiri daripada anak-anak serta keluarga bekas pesalah dadah.
Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun berkata beliau berharap bahawa keluarga yang kurang bernasib baik tahu bahawa ada yang prihatin terhadap keperluan mereka.
"Cabaran kewangan yang mereka hadapi bermakna sukar bagi mereka menikmati makanan di restoran, jadi jemputan seperti ini amat dialu-alukan.
"Tambahan lagi, memang HGEF menggalakkan anak-anak dari keluarga seperti ini untuk bertemu dengan mentor-mentor positif yang dapat memberikan mereka inspirasi, seperti Encik Mustafa," katanya, merujuk kepada pemilik restoran Penny University, Encik Mustafah Kamal.
Encik Mustafah turut berkongsi bahawa ini merupakan antara pengalaman yang paling bermakna bagi beliau dan pasukannya di restoran itu.
Katanya: "Ada yang memberitahu saya mereka jarang sekali makan di luar, jadi saya amat terharu melihat mereka gembira makan di sini.
"Ini satu pengalaman berbeza berbanding operasi harian kami."
Pengarah Perkongsian (Partnership) di Ray of Hope, Dr Alicia Altorfer-Ong berkata: "Kami harap semua yang hadir dapat menikmati masa bersama dan pulang dengan perut yang kenyang dan kenangan yang indah.
"Kami harap mereka juga sedar ada yang ramai yang prihatin tentang mereka."