Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MASJID AL-AMIN

Peluang sumbang kepada masjid sempena pameran makanan halal

Dec 17, 2021 | 05:30 AM



PEMBERIAN percuma nasi beriani, nasi mandy atau beg cenderahati amal, akan menjadi sebahagian daripada usaha mempromosikan Projek Wakaf dan Peningkatan Iltizam Masjid Al-Amin. Acara ini akan berlangsung sempena Halal Market Bakes Edisi Kedua di The Grand Dahlia @ 2 Joo Chiat Road hari ini.



Ketua Jabatan Korporat Masjid Al-Amin, Cik Siti 'Adilah Shukor, menjelaskan:



"Masjid Al-Amin ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada syarikat MegaXpress International Pte Ltd kerana memberi peluang kami mempromosikan Projek Wakaf dan Peningkatan Iltizam Masjid Al-Amin pada pameran Halal Market Bakes Edisi Kedua.



"Masjid Al-Amin juga telah mengundang Ustaz Ahmad Dahri untuk menyampaikan syarahan secara langsung di sana. Kami juga akan membuka reruai untuk mengumpul dana bagi Projek Wakaf dan Peningkatan Iltizam Masjid Al-Amin," jelas Cik Siti 'Adilah.



Pada hari tersebut, mereka yang menderma $10 kepada dana Masjid Al-Amin boleh memilih mengambil nasi beriani atau nasi mandy, atau juga beg cenderahati yang disediakan.



Sebanyak 500 bungkus nasi dan 1,000 beg cenderahati ditawarkan atas dasar yang dahulu diutamakan. Beg cenderahati tersebut mengandungi pelbagai barangan tajaan.



Kedua-dua jenis nasi dan beg cenderahati tersebut ditaja oleh UFS Food Industries, Ghifari Events Management dan dermawan lain. Pengambilan nasi derma itu bagi mereka yang membuat tempahan awal diadakan di antara 12 tengah hari dengan 3 petang sahaja.



Cik Siti 'Adilah berkata projek Halal Market Bakes ini adalah antara program bagi menambah dana Masjid Al-Amin dan beliau terus mengharapkan sokongan padu daripada masyarakat Islam di sini.



"Memandangkan projek pengumpulan dana dan wakaf ini akan berakhir pada Mac 2022, penglibatan Masjid Al-Amin dalam Halal Market dianggap sebagai satu pecutan menuju ke garisan penamat. Selama 30 tahun Masjid Al-Amin bertahan, terdapat banyak bahagian bangunan dan kemudahannya yang perlu dibaiki. Ia termasuk saluran elektrik, kelas pengajian, ruang solat dan keperluan lain. Projek peningkatan ini penting bagi memberikan khidmat terbaik kepada jemaah kami. Semoga usaha ini mendapat sokongan daripada masyarakat, insya-Allah," jelasnya.



Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) Masjid Al-Amin, Encik Muhd Khairul Jameel Yahya, berkata pihak LPM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada syarikat MegaXpress International Pte Ltd kerana memilih Al-Amin sebagai benefisiari bagi acara Halal Market Bakes Edisi Kedua ini.



Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Ghifari Events Management, syarikat UFS Food Industries dan penaja lain kerana menaja nasi beriani, nasi mandy dan beg cenderahati.



"Tidak lupa juga, sekalung penghargaan kami tujukan kepada semua dermawan dan sukarelawan yang telah menghulurkan pelbagai sumbangan dan bakti bagi menjayakan pelbagai kegiatan mengumpul dana untuk Projek Wakaf dan Peningkatan Iltizam Masjid Al-Amin.



"Iringan doa daripada kami buat semua dermawan dan penaja serta sukarelawan. Semoga anda dan keluarga sentiasa diberkati dan dirahmati Allah swt. Semoga segala hajat anda bakal dikabulkan oleh Allah swt. Amin Ya Rabbal A'lamin.



"Masjid Al-Amin sangat mengharapkan sokongan berterusan daripada anda bagi melengkapkan projek pengumpulan dana pada akhir garisan," kata Encik Jameel.



Masjid Al-Amin masih memerlukan $1 juta lagi bagi projek peningkatannya yang dianggarkan bermula tidak lama lagi.



"Marilah kita mengambil peluang yang masih terbuka luas untuk melakukan wakaf dan infak kepada rumah Allah swt kerana ganjaran yang besar menanti anda bukan sahaja di dunia, malah juga di akhirat kelak sebagai saham yang dinilai tinggi untuk menggapai syurga Allah swt.



"Kita tidak sama sekali akan tahu bilakah peluang kita bersedekah akan datang lagi. Maka, jangan lepaskan peluang yang masih terbentang ini. Semoga Allah swt memberi kekuatan dan kesihatan kepada semua dan mengurniakan kepada anda kesejahteraan, kebahagiaan, ketabahan dan kesabaran dalam menjalani kehidupan harian di dunia," tambah Encik Jameel.




CARA HULUR DERMA



Derma boleh dilakukan melalui pemindahan wang kepada akaun semasa DBS dengan nombor 012-009859-6, atau Paynow UEN No: S91MQ0008B001.



Sila lungsuri https://alaminmosque.mimbar.sg/organization/168?p=infaq untuk menghulurkan infak atau wakaf anda kepada Masjid Al-Amin.



Anda juga boleh lungsuri laman berikut sekiranya mahu mendermakan nasi atau beg cenderahati kepada keluarga-keluarga memerlukan:



https://alaminmosque.mimbar.sg/event/2124.



Jika anda mahu mendapatkan beg cenderahati Al-Amin, anda boleh lungsuri laman berikut: https://alaminmosque.mimbar.sg/event/2126.



Pihak masjid ingin mengundang jemaah mengunjungi pameran Halal Market Bakes Edisi Kedua ini. Anda perlu membuat pendaftaran sebelum hadir, melalui laman https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSfr6yvAPpV0jrQKUTOZmg8yl6FVQq1P5AkUeFVZoMHoXKbcOw/viewform.



Masyarakat juga boleh menyampaikan derma secara langsung kepada masjid atau diambil dari rumah.



Bagi mengutarakan pertanyaan lain, sila hubungi talian 6272-5309, pada waktu pejabat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >