Peluang untuk golongan pelajar dan pekerja pertingkat kemahiran

BELANJAWAN 2017 yang dibentangkan Menteri Kewangan Heng Swee Keat hari ini menyaksikan golongan pelajar dan pekerja berpeluang mengikuti program meningkatkan kemahiran yang akan membolehkan mereka bekerja di luar negara.

Sebagai contoh, ia akan membantu golongan mahasiswa tempatan meraih pengalaman di syarikat-syarikat kecil baru atau 'start-up' asing; menyediakan anjakan di luar negara yang akan menghubungkan golongan usahawan dan pemilik perniagaan di sini dengan pembimbing dan pelabur asing; selain mengadakan kemudahan rakaniaga antara firma tempatan dan firma asing yang sedang meninjau peluang untuk meluaskan perniagaan mereka di rantau ini.

Program yang dikenali sebagai Global Innovation Alliance ini merupakan sebahagian daripada langkah-langkah untuk mempersiapkan pekerja Singapura dengan sekitaran ekonomi yang berubah-ubah.

Bercakap di Parlimen sewaktu pembentangan itu, Encik Heng berkata, Pemerintah ingin membangunkan kekuatan warganya.

"Rakyat kita dihargai atas kemahiran dan kebolehan mereka menyesuaikan diri, dan menikmati kadar pekerjaan yang tinggi dan gaji yang meningkat. Kita mesti mengukuhkan kesemua kekuatan ini," ujarnya.

"Sedang rentak perubahan menjadi lebih pantas, kita mesti melakukan lebih banyak lagi untuk kekal berada di hadapan."

Selain membangunkan Global Innovation Alliance, Encik Heng juga mengumumkan langkah mengadakan SkillsFuture Leadership Development Initiative - satu dayausaha yang bertujuan membantu syarikat membentuk dan melatih pemimpin Singapura - dan berkata bank pekerjaan kebangsaan atau National Jobs Bank akan dipertingkat bagi melakukan pemadanan kerja yang lebih baik untuk golongan profesional.

Universiti, politeknik dan institut pendidikan teknikal di sini akan juga menawarkan lebih banyak kursus singkat, dan berbentuk modular demi menjadikan kursus yang ditawarkan lebih mudah diikuti.

Daya Usaha Pembangunan Kepimpinan SkillsFuture akan turut merangkumi peluang menghantar individu yang berkebolehan mengikuti kursus khusus atau mengikuti peluang kerja di luar negara.

Ia akan bermula dengan sasaran membimbing dan melatih 800 pemimpin berpotensi dalam masa tiga tahun.

Menurut Encik Heng, pemerintah telah mengenepikan $100 juta untuk daya usaha ini dan juga untuk Global Innovation Alliance.