Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Peluang warga, pemimpin 4G corak hala tuju S'pura bersama

Jan 05, 2020 | 05:30 AM



Pemerintah mahu teruskan usaha melibatkan warga Singapura dalam melakar dan melaksanakan dasar serta bersama-sama mencari huraian bagi mengatasi cabaran negara masa kini dan di masa hapadan. Pendekatan tersebut akan terus dijadikan sebahagian fabrik kepimpinan 4G. Berikut laporan mengenai inisiatif penglibatan warga terkini yang diberi nama Singapura Bersama.



SINGAPURA lebih dari hanya sebuah negara; ia merupakan kediaman setiap warga Singapura, dan semestinya mereka mahu menyumbang suara kepada pembangunan dan kemajuan tanah air tercinta.



Menyedari keinginan dan realiti itulah yang memacu barisan pemimpin Generasi Keempat (4G) mengamalkan pendekatan baru untuk tadbir urus negara.



Gaya kepimpinan di mana fokus utama pemerintah ialah bekerja untuk rakyat perlu dialih untuk memberi laluan kepada gaya kepimpinan di mana pemerintah bekerja dengan rakyat, demi rakyat.



Oleh yang demikian, wujudlah gerakan Singapura Bersama atau 'Singapore Together' - idea yang kali pertama diumumkan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam ucapannya semasa Dialog 'Membina Masa Depan Singapura Kami Bersama' pada 15 Jun 2019.



Ini merupakan usaha berterusan pemerintah untuk melibatkan warga dalam melakar dasar.



Sebelum ini, beberapa usaha dan inisiatif seperti Perbincangan Singapura Kita, Suara Musyawarah dan unit maklum balas pemerintah, Reach, memainkan peranan serupa.



Menjelaskan lebih lanjut mengenai gerakan tersebut semasa sesi temu ramah media baru-baru ini, Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Kewangan merangkap Pendidikan, Cik Indranee Rajah dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Desmond Lee, menegaskan bahawa penglibatan warga Singapura dalam melakar dan melaksanakan dasar dan huraian bersama bakal dijadikan sebahagian fabrik kepimpinan 4G.



Encik Lee berkata ini juga membolehkan Singapura memanfaatkan kebijaksanaan kolektif demi masa depan bersama.



"Kami mahu menjadikan Singapura Bersama sebahagian penting pendekatan dalam membawa Singapura ke hadapan.



"Akan selalu terdapat risiko polarisasi sambil orang ramai memburu aspirasi berbeza. Singapura Bersama mewujudkan peluang bagi orang dengan pandangan dan minat berbeza berbicara dengan satu sama lain dan dengan pemerintah.



"Apabila pemerintah melaksanakan dasar bersama warga, terdapat rasa pemilikan yang lebih besar, terutama apabila penyelesaiannya melibatkan perubahan pemikiran atau pandangan," ujar Encik Lee.



Berkongsi pandangannya, Cik Indranee akur warga Singapura mahukan lebih banyak peluang dan suara dalam mencorak negara mereka.



"Singapura adalah rumah kepada semua orang, ia adalah hasil daripada idea dan minat semua warga.



"Justeru, Singapura Bersama merupakan satu cara untuk memanfaatkan kepelbagaian tersebut," menurut Cik Indranee.



"Warga Singapura perlu berupaya menyumbang dan membentuk masa hadapan bersama," ujarnya dalam wawancara bersama media baru-baru ini.



Antara contoh topik yang boleh dibincangkan ialah pelan tindakan belia dan cara menjadikan Wisma Geylang Serai kawasan yang lebih menarik, kata Cik Indranee.



CARI HURAIAN BERSAMA



Ini sejajar dengan apa yang telah dikatakan Encik Heng ketika mengumumkan gerakan Singapura Bersama tahun lalu.



Menyentuh cabaran yang dihadapi bukan hanya di Singapura tetapi juga di dunia, misalnya kepelbagaian yang meningkat, kemajuan teknologi dan perubahan iklim, Encik Heng berkata:



"Mengemudi cabaran ini dan mencapai peluang yang ada tidak mudah.



"Kita perlukan kecerdasan dan kesungguhan semua warga Singapura untuk meneroka isu-isu ini, mencuba penyelesaian berbeza dan bersatu jika kita mahu mengatasi cabaran itu dan mencapai peluang di luar sana dengan berjaya."



Sejauh ini, saranan dan maklum balas telah didapatkan daripada orang ramai menerusi pelbagai cara termasuk tinjauan dalam talian, panel warga dan perbincangan kumpulan fokus.



Semasa diwawancara baru-baru ini, Encik Lee juga menekankan peri penting menyediakan ruang selamat untuk berkongsi idea dan berbincang



"Bila kita mendekati orang ramai, banyak cara yang boleh dilakukan dan pada tahap intensiti yang berlainan.



"Kita juga boleh berkongsi maklumat dengan orang ramai, bawa mereka melakukan lawatan agar mereka dapat lebih memahami masalah yang dihadapi...



"Tapi walau apapun, kita cuba memastikan terdapat kumpulan orang yang pelbagai, yang mempunyai pemikiran yang berlainan," ujar Encik Lee.



PENGLIBATAN WARGA



Beberapa inisiatif telah dilakukan sebagai sebahagian gerakan Singapura Bersama.



Ini termasuk Kumpulan Kerja Warga #RecycleRight yang dianjurkan oleh Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (Mewr) yang bertujuan bekerjasama dengan warga untuk memikirkan penyelesaian praktikal terhadap usaha kitar semula di rumah, Panel Warga berkenaan Keseimbangan Kerja-Kehidupan serta Pelan Tindakan Belia SG.



Selain penglibatan warga Singapura dari pelbagai latar belakang dalam isu-isu tertentu, pemimpin 4G juga mengalu-alukan lebih banyak inisiatif yang dipimpin warga sendiri.



Rangkaian Rakan Mendekati dan Memperkasa Gelandangan (Peers) merupakan salah satu usaha tersebut yang melibatkan sekitar 26 pertubuhan masyarakat yang bekerjasama dengan MSF.



Pemimpin 4G juga berharap dapat mengukuhkan hubungan bersama rakan kongsi lain seperti agensi-agensi supaya dapat menyelesaikan masalah yang saling terhubung.



Contoh kerjasama itu adalah program Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi Kepada Keluarga (Uplift), untuk membantu pelajar daripada keluarga susah.



Untuk memahami dengan lebih mendalam lagi isu serta cabaran yang dihadapi pelajar dalam pendidikan mereka, Uplift telah melibatkan lebih 200 karyawan barisan hadapan pendidikan dalam lima sesi termasuk pemimpin dan guru sekolah, Pegawai Kebajikan Pelajar (SWO), kaunselor dan pekerja sosial.



"Keadaan sudah berubah, sekarang pertubuhan tidak melakukan kerja-kerja ini sendirian, pemerintah akan bekerjasama dan memudahkan tugas mereka," kata Cik Indranee.




"Singapura adalah kediaman kepada semua warga, ia adalah hasil daripada idea dan minat semua warga.

Justeru, Singapura Bersama merupakan satu cara untuk memanfaatkan kepelbagaian tersebut. Pemimpin 4G sedar bahawa kami bukan hanya perlu turun padang tetapi jika kita terpilih, warga Singapura memilih kami kerana mereka berharap dan percaya bahawa kami mampu lakukan sesuatu yang baik untuk mereka."

- Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Kewangan merangkap Pendidikan Cik Indranee Rajah dalam wawancara bersama media.




"Pemerintah akan mencari cara-cara baru untuk berganding bahu dengan rakyat Singapura supaya dapat sama-sama melakar dan melaksanakan dasar-dasar. Kita akan sama-sama membina sebuah masa depan di mana setiap rakyat Singapura ada peranan yang boleh dimainkan. Saya dan pasukan saya beriltizam untuk bekerja bersama anda, untuk anda. Sokongan anda, idea anda, tenaga anda dan perkongsian anda adalah sumber kekuatan kami."
- DPM Heng Swee Keat dalam ucapannya semasa Dialog 'Membina Masa Depan Singapura Kami Bersama' pada 15 Jun 2019.




"Kami mahu mewujudkan hubungan yang berasaskan kepercayaan untuk memastikan orang ramai percaya dengan proses tersebut, dan bukan hanya menganggapnya sebagai satu langkah 'kosmetik'. Kita perlu menyediakan ruang yang selamat untuk berkongsi idea dan berbincang. Warga perlu merasakan bahawa mereka bukan sahaja memberikan pandangan sahaja tetapi mendapat respons dari pemerintah, ini merupakan keupayaan yang harus dibina pemerintah."
- Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Desmond Lee dalam wawancara bersama media.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >