SEORANG pemandu lelaki berusia 61 tahun telah ditangkap polis selepas didapati sengaja bertindak terburu-buru hingga menyebabkan kecederaan.
Polis dimaklumkan tentang kejadian yang berlaku pada pagi Selasa (11 Januari) melibatkan pemandu kereta dan pengawal keselamatan di sepanjang Bedok North Avenue 3.
Menurut polis, pengawal keselamatan berusia 62 tahun itu mengalami kecederaan ringan.
Siasatan masih dijalankan.
Sebuah video yang disebar melalui media sosial menunjukkan pemandu itu menggerakkan kereta Bentley ke hadapan secara perlahan beberapa kali, mengancam melanggar pegawai keselamatan berada di depan kenderaannya.
Difahami, pemandu itu berhasrat memandu masuk ke dalam Sekolah Red Swastika, tetapi tidak dibenarkan berbuat demikian oleh pegawai keselamatan itu.
Menulis di Facebook, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing berkata beliau sedar tentang video itu yang menunjukkan seorang pemandu yang cuba memandu masuk ke sebuah sekolah dengan cara yang membahayakan pegawai keselamatan dan seorang kakitangan sekolah.
Menambah, Encik Chan berkata perbuatan itu tidak boleh diterima dan kementeriannya akan membuat laporan polis jika perlu.
“Sebagai orang dewasa, kita harus memberikan contoh positif kepada anak-anak kita mengenai cara melayan orang lain dengan hormat dan mematuhi peraturan yang dilaksana bagi menjaga keselamatan bersama dalam masyarakat sekolah, ujar Encik Chan.
Video itu turut dikongsi oleh Kesatuan Pekerja Keselamatan (USE) dan kesatuan itu yang turut berkata ia telah membuat laporan polis.