Pemandu dalam kes langgar lari di PIE ditangkap

POLIS telah menangkap seorang lelaki berusia 51 tahun berkaitan kejadian langgar lari di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) Ahad lalu (29 Jan).

Dalam kejadian itu, seorang rakyat Malaysia berusia 46 tahun yang sedang menunggang motosikal di lorong paling kiri dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta putih yang bergerak pantas, pada awal pagi.

Polis berkata pada Rabu (1 Feb) pemandu itu ditangkap kerana kesalahan "menyebabkan kecederaan parah dengan perbuatan gopoh dan gagal memberi bantuan".

Satu video seminit mengenai kejadian itu dirakam oleh kamera papan pemuka sebuah kereta di belakang mereka.

Ia menunjukkan dua penunggang motosikal menunggang sebelah-menyebelah, dan seorang daripada mereka, Encik Hajni Yaacob, 46 tahun, dilanggar hingga tercampak. Motosikalnya kemudian terbakar.

Sebuah kereta, dipercayai jenis Honda Accord, dilihat beredar selepas perlanggaran itu, meninggalkan bumper depan berwarna putih dengan plat lesen.

Difahamkan kereta itu kemudian berlanggar di PIE.

Rakaman oleh Encik Khairi Jumari itu disiarkan di Straitstimes.com dan laman permotoran Beh Chia Lor. Ia menarik lebih 430,000 tontonan.

Dari katil hospital di Hospital Universiti Nasional (NUS), Encik Hajni melahirkan rasa syukur kerana massih hidup.

Pekerja sebuah syarikat penghawa dingin di Paya Lebar itu dan beberapa rakannya sedang pulang ke Johor Bahru apabila kemalangan tersebut berlaku.

"Yang saya ingat ialah saya tersedar di hospital," katanya, yang berasal dari Kelantan, kepada akhbar The Straits Times.

Muka beliau masih bengkak sementara tangan dan kakinya lebam dan melecet. Luka dalam di kepala dan tumit beliau pula memerlukan jahitan.

Encik Hajni berkata beliau akan dibenarkan keluar dari hospital dalam masa beberapa hari.

Difahamkan kereta itu kemudian terhempas di PIE.