Seorang pemandu kereta mewah Maserati yang didakwa terlibat dalam kemalangan langgar lari terhadap pegawai polis trafik pada Jumaat malam dihadapkan ke mahkamah pada Sabtu (18 Nov).
Lee Cheng Yan dituduh menyebabkan kecederaan parah ke atas pegawai berusia 26 tahun di Bedok Reservoir Road sekitar 9.20 malam.
Menurut kenyataan polis, pegawai itu mengarahkan Lee memberhentikan kereta bagi melakukan pemeriksaan penguatkuasaan.
Ketika beliau menghampirinya, Lee, 33 tahun, dikatakan mengundurkan kereta dan kemudian memecut ke arah pegawai itu dan melanggarnya.
Akibatnya, pegawai berkenaan dikatakan berpaut pada pintu sebelah pemandu dan diseret kira-kira 100 meter sebelum jatuh.
Beliau mengalami kecederaan serius dan dikejarkan ke Hospital Besar Changi untuk rawatan.
Selepas kemalangan tersebut, para pegawai menangkap Lee di sebuah flat HDB di Geylang Bahru Road pada Jumaat.
Polis berkata kereta Maserati itu ditemui ditinggalkan di Cedar Avenue di Upper Aljunied Road.
Mahkamah diberitahu bahawa Lee mungkin terlibat dalam kesalahan lain termasuk memandu ketika lesennya digantung.
Lee, yang tidak diwakili peguam, akan kembali ke mahkamah pada 24 Nov.
Jika sabit kesalahana, dia boleh dipenjarakan sehingga empat tahun dan denda sehingga $10,000.