Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pemandu teksi boleh terima bantuan $5,000 dek Covid-19

Dec 19, 2020 | 05:30 AM



PEMANDU teksi yang layak untuk Dana Bantuan Kewangan Covid-19 bagi Pemandu (CDRF) akan menerima bantuan hampir $5,000 dalam separuh pertama tahun depan, umum Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor semalam.



Ini temasuk tambahan bantuan sekurang-kurangnya $300 sebulan daripada pengendali teksi dalam tempoh yang sama - daripada Januari hingga Jun 2021 - di samping bayaran CDRF.



Bercakap kepada media di pusat ComfortDelGro di Braddell Road semalam, Dr Khor berkata bayaran CDRF akan diagihkan dalam cara yang sama dilakukan untuk bayaran Dana Bantuan Khas (SRF), iaitu melalui pengendali teksi dalam bentuk rebat sewa harian.



Di bawah CDRF, pemandu akan menerima $600 setiap kenderaan setiap bulan antara Januari dengan Mac 2021, naik daripada $300 sebulan di bawah SRF.



Ini akan dikurangkan kepada $450 sebulan antara April dengan Jun 2021.



CDRF adalah skim terbaru menggantikan SRF, di mana pemandu sektor pengangkutan satu tempat ke satu tempat (P2P) telah menerima bayaran sejak Februari lalu.



Dr Khor berkata:



"Menggabungkan semuanya, pemandu teksi akan menerima bantuan hampir $5,000 antara Januari dengan Jun 2021. Secara keseluruhannya, pemerintah akan menyumbang $3,150 sementara pengendali komited menyediakan $1,800 selama enam bulan."



Skim terbaru bagi pemandu itu akan menelan belanja $133 juta.



CDRF akan membantu pemandu beralih daripada Skim Pelepasan Pendapatan bagi Individu Bekerja Sendiri (SIRS) yang bakal dihentikan Januari tahun depan, jelas Dr Khor.



Skim ini yang diperkenalkan Mac lalu memberikan individu yang bekerja sendiri, termasuk pemandu teksi dan kereta sewa privet, dengan bayaran wang tunai sebanyak $3,000 pada setiap suku untuk membantu mereka dengan ketidaktentuan ekonomi akibat Covid-19.



Dr Khor berkata rata-rata pemandu P2P menyambut baik pengumuman CDRF namun timbul juga keprihatinan dalam kalangan pemandu mengenai bagaimana bayaran akan diberikan.



"Saya ingin memberi jaminan kepada pemandu bahawa sejak awal wabak Covid-19, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah mengagihkan ketiga-tiga bahagian SRF melalui pengendali teksi dalam bentuk rebat sewa harian. CDRF akan diagihkan dalam cara yang sama, dan pengendali teksi komited untuk meluluskan sepenuhnya bantuan pemerintah kepada semua pemandu teksi yang layak, mengikut kriteria ditetapkan LTA,"



Sehingga hujung bulan lalu, pemerintah telah mengagihkan SRF bernilai sekitar $120 juta kepada 40,000 pemandu teksi dan kereta sewa privet.



Memberi ramalannya mengenai bilangan penumpang P2P untuk bulan-bulan mendatang, Dr Khor berkata ia dijangka kekal di bawah paras sebelum Covid-19 dengan sektor pelancongan terjejas teruk dan ramai orang terus bekerja dari rumah.



Namun, beliau berharap kelonggaran sekatan di bawah Fasa Tiga, mulai 28 Disember ini, dapat memperbaiki keadaan.



Dr Khor menambah bahawa terdapat sesetengah pemandu yang meminta agar sekatan terhadap pusat hiburan, termasuk bar dan kelab malam, dilonggarkan.



"Walaupun akan ada beberapa kelonggaran sekatan dalam pembukaan semula Fasa Tiga, saya fikir kita mesti melihat isu ini secara holistik, dan fokuskan usaha kita untuk mengurangkan penularan risiko Covid-19 dalam masyarakat kita supaya kita dapat memulakan lebih banyak kegiatan secara bertahap dan selamat," katanya lagi.



Pemandu teksi sambilan, Cik Zila Rosli Tan, 42 tahun, mengalu-alukan CDRF dengan mengatakan bantuan itu dapat meringankan beban pemandu terutamanya dalam membayar sewa teksi.



"Kos sewa teksi adalah kos paling utama untuk pemandu teksi. Itu adalah kos tetap yang kami tidak boleh lari. Justeru, kalau boleh, saya harap ia dapat direndahkan, meskipun sudah banyak usaha bantuan dilakukan syarikat," katanya, yang telah empat tahun memandu teksi.



Cik Zila, ibu kepada dua cahaya mata, menyaksikan pendapatannya merosot 40 hingga 50 peratus semasa pandemik ini.



Namun, beliau tetap bersyukur bantuan berterusan diberikan kepada pemandu teksi kerana keadaan yang belum sepenuhnya seperti sedia kala.



"Apa jua bentuk bantuan yang diberikan, ia amat membantu," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >