Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pemandu tukar ganti aplikasi demi mahu raih lebih pendapatan

Dec 30, 2022 | 05:30 AM



MANTAN guru disiplin dan kini pemandu kereta sewa privet, Encik Mohmad Shafiee Baharim, setiap hari rajin bertukar ganti empat aplikasi platform khidmat itu bagi meraih pendapatan lebih tinggi setiap hari.



Tindakan itu, katanya, merupakan satu kebiasaan bagi pemandu, terutama sedang Singapura melangkah keluar daripada pandemik dan menyaksikan permintaan tinggi daripada penumpang.



Kini, ramai yang ingin merebut peluang meraih keuntungan dan insentif tertinggi daripada Grab, Gojek, Tada dan Ryde.



"Harga tambang dan kesemua faktor yang mempengaruhi pendapatan kami adalah sebab utama kami bertukar ganti aplikasi sewaktu bekerja," katanya, 47 tahun.



Namun berita baru-baru ini menyusuli kenaikan komisen oleh syarikat Grab disebabkan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bulan depan serta Gojek membuatnya kebingungan.



Grab akan mengenakan komisen 20.18 peratus berbanding 20 peratus sekarang. Gojek pula akan mengembalikan semula komisen hampir ke taraf sebelum Covid-19, pada 15 peratus berbanding 10 peratus sekarang.



Tada akan mengekalkan langkah sifar komisennya dan akan mengecualikan kenaikan GST 1 peratus pada tambang platform dan pembatalannya hingga Jun 2023, manakala Ryde akan mengekalkan komisen 10 peratus dicaj pada pemandu.



Justeru, menurut Encik Shafiee, huraian bagi pemandu adalah untuk menggunakan platform yang tiada komisen secara lebih kerap.



"Selain itu juga, kos bagi minyak, sewa dan tempat letak kereta turut akan naik tahun depan menyusuli kenaikan GST. Selagi ada sesuatu yang memakan pendapatan kami, sudah tentu kami akan mengelakkannya sebanyak mungkin."



Pada 30 November lalu, beliau memuatnaikkan perangkaan tersebut dalam satu catatan di Facebook.



Sejak memeterai satu kontrak sewa kereta Mazda 3 daripada Grab Ogos lalu, beliau telah mencatatkan 1,244 tempahan menerusi Tada, 462 menerusi Grab, 195 menerusi Gojek dan 94 menerusi Ryde.



"Kalau pengendali platform menaikkan komisen mereka, mereka akan kehilangan pemandu dan menyaksikan bekalan pemandu lebih kurang," tambahnya.



Sentimen serupa turut dilihat dalam kumpulan Facebook 'Professional PHV Drivers Singapore', dengan sebilangan pengguna meluahkan rasa tidak puas hati digelar sebagai "pelanggan" oleh Grab berkenaan cadangannya mengenakan kenaikan GST itu kepada pemandu.



Syarikat tersebut mempertahankan cadangan menaikkan komisen dengan mengenakan kenaikan 1 peratus GST itu langsung ke Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) manakala ia terus menyerap baki 7 peratus.



Gojek pula berkata ia memahami cabaran dialami pemandunya, memandangkan adanya kos minyak dan operasi tinggi. Ia juga telah mengadakan rundingan bersama mereka.



Oleh itu, ia memutuskan agar tambang khidmat asalnya - pada 20 peratus - tidak diterapkan semula dengan sepenuhnya.



Encik Shafiee berkata: "Kami sebagai pemandu tetap akan bergantung pada 'jasa' pengendali platform terhadap struktur komisen mereka.



"Selain faktor harga, kami sebagai pemandu berharap agar khidmat ini dapat dipertingkat bagi membolehkan kami mendapat penumpang dengan lebih pantas dan berkesan," tambahnya, merujuk kepada kejadian di mana ada masa sewaktu kerja beliau perlu menunggu tempahan atau mengambil penumpang jarak jauh.



Namun, pakar ekonomi Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Walter Theseira, berpendapat bahawa pasaran kereta sewa privet berada di tahap di mana tiada peningkatan dari segi khidmatnya bakal diterapkan.



"Yang paling dihargai adalah khidmat yang dapat memadankan penumpang dengan pemandu secara lebih berkesan, kerana setiap masa menunggu dikurangkan, ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua pemandu dan penumpang yang ingin tempahan disampaikan dengan pantas," ujar Dr Theseira.



"Sekarang, sistem tempahan dan padanan itu sudah agak baik dan melebihi sistem menahan teksi, jadi tak pasti bagaimana ia akan dapat dipertingkat," tambahnya.




PERUBAHAN KOS KHIDMAT KERETA SEWA PRIVET



1. Grab



◆ Komisen



- Sekarang: 20%



- Mulai 1 Jan: 20.18%*



- Skim Rebat GST ditawar kepada pemandu layak hingga Jun 2023



*Kenaikan GST 1% langsung disalurkan kepada Iras manakala Grab terus menyerap baki 7%



2. Gojek



◆ Tambang Khidmat



- Sebelum 21 Jun 2021: 20%



- Sekarang: 10%



- Mulai 1 Feb 2023: 15%



3. Tada



◆ Komisen



- Kekal 0% hingga kini



◆ Tambang Platform



- 55 sen bagi tempahan berharga bawah $18; 75 sen bagi tempahan atas $18.



- GST dikenakan pada tambang platform dan tambang pembatalan kepada pemandu



- Kenaikan GST 1% diserap hingga 30 Jun 2023



4. Ryde



◆ Komisen



- Kekal 10% hingga kini




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >