Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pembantu rumah tak tahan didera, panjat turun balkoni tingkat 15

Sep 29, 2020 | 05:30 AM



SEORANG wanita telah mendera pembantu rumahnya antara Januari dan April 2018 dengan menyepak muka wanita itu serta menarik rambutnya.



Kerana tidak tahan lagi didera oleh Nuur Audadi Yusoff, pembantu rumah Indonesia Cik Sulis Setyowati, 24 tahun, memanjat turun dari balkoni flat tingkat 15 di Yishun hingga tingkat satu.



Semasa tempoh penderaan itu, Nuur merupakan seorang pekerja Singtel yang dihantar untuk menyokong pusat perhubungan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).



Warga Singapura berusia 31 tahun itu mengaku bersalah semalam terhadap kesemua enam tuduhan menyerang.



Sembilan tuduhan lain, kebanyakannya untuk kesalahan yang sama, akan dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.



Cik Sulis tiba di Singapura pada pertengahan 2017 dan bekerja untuk keluarga lain.



Beliau hanya mula bekerja untuk Nuur pada 1 Disember 2017 dan dibayar $580 sebulan.



Sekitar tengah malam pada Januari, Nuur dikejutkan dari tidur oleh tangisan anak perempuannya dan mendapati bahawa Cik Sulis terlupa untuk meletakkan minyak pada perut anaknya.



Nuur marah dan meludah pembantu rumah itu serta menyepak mukanya dua kali. Penderaan itu berterusan pada Februari 2018, merangkumi perbuatan termasuk menarik rambut pembantu rumah itu.



Apabila Cik Sulis meminta bekerja untuk keluarga lain, Nuur berjanji tidak akan memukulnya lagi dan beliau terus bekerja untuk majikannya itu kerana perlu menghantar wang pulang untuk menyara anaknya.



Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Chong Kee En berkata pada 11 April tahun itu, Nuur telah membawa Cik Sulis ke MOM untuk melaporkan tentang gaji yang masih belum dibayar majikan lamanya.



"Mangsa menghargai perbuatan itu," kata DPP.



Namun, Nuur memungkiri janjinya dan kembali mendera pembantu rumah itu apabila mendapati bahawa Cik Sulis telah memuatnaik gambar anaknya ke Facebook.



DPP Chong berkata:



"Yang tertuduh berasa marah melihat gambar itu. Dia menyepak muka mangsa menggunakan telefon bimbit dan juga tangan beberapa kali sebelum melempar telefon bimbit itu ke lantai sehingga retak.



"Muka mangsa berdarah dan merah. Beliau menangis."



Mahkamah diberitahu Nuur merampas alat itu dan menyerang pembantu rumahnya hampir setiap hari selepas kejadian itu.



Pada 29 April 2018, Cik Sulis berjaya mengambil semula telefon bimbitnya dan menyembunyikannya kerana ingin menghubungi agensi supaya dipindahkan ke keluarga lain.



Apabila Nuur mendapati telefon bimbit itu hilang, dia bertanya kepada Cik Sulis. Namun Cik Sulis menafikan telah mengambil telefon bimbit itu.



Cik Sulis memutuskan untuk melarikan diri sekitar dua pagi melalui balkoni rumah tersebut kerana pintu depan dikunci.



DPP berkata: "Beliau memanjat turun 15 tingkat, dari balkoni ke balkoni lain, sebelum tiba di tingkat satu. Ini memakan masa seluruh pagi itu."



Berdasarkan nasihat ejennya, Cik Sulis telah melaporkan perkara itu kepada polis, kata DPP.



Beliau kemudian pergi ke Hospital Khoo Teck Puat, yang telah merawat kesan lebam dan kecederaan yang dialami.



Ikat jamin Nuur telah ditetapkan pada $10,000 dan akan dijatuhkan hukuman pada 18 November.



Bagi setiap tuduhan penderaan pembantu rumah, Nuur boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan dikenakan saman sehingga $7,500.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >