PERDANA Menteri Lee Hsien Long berkata pada Ahad (26 Nov) pembersihan Sungai Singapura tidak pernah selesai dan beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan membuang sampah sembarangan.
Sampah yang dibuang sembarangan akhirnya masuk ke dalam sungai dan longkang, ujar Encik Lee.
“Pembersihan sungai tidak pernah selesai. Rakyat Singapura masih perlu belajar tidak membuang sampah di tanah, yang masuk ke dalam longkang dan sungai, dan harus diadang oleh adangan,” kata Encik Lee semasa berucap pada majlis ulang tahun ke-60 akhbar Berita Harian di Hotel Swissotel Merchant Court Singapura.
Sambutan ulang tahun BH itu merangkumi sebuah pameran awam lima hari, yang berakhir Khamis ini, di tepi Sungai Singapura bagi menghargai usaha perintis dalam pembersihan sungai itu, yang bermula pada 1977.
PM Lee menambah bahawa menghapuskan pencemaran sungai itu memerlukan banyak penyelarasan, perancangan dan “tekad dan keinginan politik”.
Sepanjang lebih 10 tahun, Singapura mengorek dasar sungai itu yang tercemar dan menutup ladang babi dan industri lain yang mencemarkannya, kata beliau.
Selain itu, semua premis di kawasan tadahan disediakan dengan saliran, penduduk setinggan dipindahkan ke flat HDB, penjaja jalanan ditempatkan semula di pusat penjaja baru, dan limbungan dipindahkan ke Pasir Panjang.
“Kami mahu terus mencantikkan sungai dan mengubah diri kita menjadi Bandar Taman dan Air dengan program ABC Waters ABC (Aktif, Cantik dan Bersih),” ujar Encik Lee.
Editor Berita Harian, Encik Saat Abdul Rahman, yang juga bercakap pada acara itu, berkata: “Selain memperingati ulang tahun kami, kami merayakan 40 tahun sejak seruan oleh Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew bagi membersihkan Sungai Singapura.”
Beliau berkata: “Mengalir di tengah-tengah Singapura, Sungai Singapura dan apa yang diwakilinya adalah sebahagian daripada kehidupan rakyat Singapura.”
Encik Saat menambah: “Begitu juga, Berita Harian juga merupakan denyut jantung masyarakat Melayu yang inklusif dan telah memainkan peranan penting dalam kemajuan masyarakat sejak bertahun-tahun.”
Menteri Sekitar dan Sumber Air Masagos Zulkifli dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan dan Ehwal Luar), Dr Maliki Osman, turut hadir di acara tersebut.