Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MENJELANG HARI RAYA

'Pembukaan semula' JB tak jejas sangat perniagaan di SG...

Biarpun kini mudah ke JB, peniaga di S'pura terus dapat sokongan pelanggan setempat
Apr 26, 2022 | 05:30 AM




Bahang sambutan Hari Raya Aidilfitri kian dirasa lebih-lebih lagi dengan pelonggaran pengurusan jarak selamat Covid-19 yang diumum pihak berkuasa baru-baru ini. Setelah dua tahun menyambut Lebaran penuh sederhana dek pandemik itu, tahun ini peniaga Singapura - yang mapan mahupun musiman - mendapat sambutan lebih baik. Namun, dengan pembukaan sempadan yang membolehkan pengunjung ke seberang Tambak tanpa perlu menjalani kuarantin mahupun ujian Covid-19, apakah peniaga tempatan terjejas? BERITA HARIAN meninjau keadaan peniaga di Singapura dan Johor Bahru dalam tiga halaman berikut.




PEMBUKAAN semula sempadan darat Singapura dengan Malaysia baru-baru ini memberi masyarakat Melayu/Islam di sini lebih banyak pilihan berbelanja bagi persiapan Hari Raya tahun ini.



Selepas dua tahun sempadan itu ditutup sebagai sebahagian langkah sekatan bagi membendung penularan Covid-19, mereka kini boleh kembali membeli-belah di pelbagai tempat di seberang Tambak yang popular dalam kalangan warga Singapura, seperti pusat beli-belah Angsana JB Mall dan Larkin Sentral.



PERNIAGAAN TAK TERJEJAS



Badan perwakilan usahawan tempat dan peniaga beroperasi pada skala besar setiap kali Hari Raya menjelang berkata pembukaan semula sempadan tidak banyak menjejas atau meninggalkan kesan langsung ke atas perniagaan mereka tahun ini, berbanding semasa pandemik ini memuncak tahun lalu dan tahun sebelumnya.



Menurut mereka, warga Singapura terus berbelanja di sini antara lain kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan di Koswe dan Link Kedua, sebagaimana lazimnya sebelum pandemik ini.



Sebilangan pelanggan pula sudah terbiasa berbelanja keperluan Hari Raya di Singapura setelah dua tahun berturut-turut berbuat demikian bagi menyokong peniaga tempatan bangkit daripada pandemik ini.



TARIKAN BERBEZA



Pengurus kawasan One Kampong Gelam (OKG), Encik Sudirman Muzaini, berkata tarikan di Kampong Glam berbeza dan ia menawarkan pengalaman tidak dapat dialami di tempat lain, termasuk Johor Bahru.



OKG ialah persatuan perniagaan di kawasan Kampong Glam.



“OKG yakin Kampong Glam mempunyai ciri-ciri yang amat pelbagai dari sudut agama, seni, sejarah dan juga perniagaan. OKG mewakilkan pihak peniaga untuk terus berusaha menganjurkan aktiviti untuk menarik perhatian pengunjung di dalam dan luar Singapura,” ujarnya.



Perniagaan di Geylang Serai, yang saban tahun menjadi tumpuan masyarakat Melayu/Islam bagi persiapan Lebaran, juga tidak merasakan kesan daripada pembukaan semula sempadan darat Singapura-Malaysia itu.



PEMBELIAN SAAT AKHIR



Menurut Presiden Persatuan Pedagang Tanjong Katong Complex (TKC), Encik Thomas Lee, bazar di kawasan itu, yang kembali tahun ini selepas dua tahun tidak dapat diadakan, menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan tersebut, termasuk ke pusat beli-belah TKC.



Malah, beberapa peniaga di pusat beli-belah itu juga menikmati perniagaan lebih rancak menjelang Aidilfitri tahun ini berbanding tahun lalu dan tahun sebelumnya.



“Anggota kami juga berkata mereka tidak membelanjakan lebih banyak bagi pengiklanan tahun ini kerana mereka menjangka orang ramai akan tetap datang untuk membeli-belah pada saat-saat akhir nanti,” ujar Encik Lee.



PELUANG BAGI SME DAN HBB



Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Cik Fadilah Majid, berkata perniagaan, khususnya syarikat kecil dan sederhana (SME) dan perniagaan dari rumah (HBB), menyambut baik pelonggaran sekatan Covid- -19, kerana menganggap ini sebagai peluang mempertingkat perniagaan mereka bagi mendekati pasaran lebih meluas.



“Selepas dua tahun menjual barangan mereka dalam talian, ramai anggota kami mengambil peluang menyertai bazar fizikal, termasuk Bazaar Kita DPPMS, yang sejauh ini disertai 65 peniaga di kedua-dua wadah, digital dan fizikal,” ujarnya.



Mereka juga tidak begitu merasa kesan pembukaan semula sempadan, antara lain kerana pelanggan tempatan masih memilih kemudahan bazar dalam negara dan lebih melakukan kunjungan ke seberang Tambak sebagai pengalaman sekali sahaja daripada kunjungan kerap sehingga dapat menggantikan bazar setempat, tambahnya.



BAJU LEBIH LARIS



Pereka fesyen Sufian Hussein, 32 tahun, yang mengambil tempahan menjahit busana Lebaran buat seisi keluarga di studio fesyennya sekitar Aliwal Street berkata:



“Alhamdulillah, tempahan baju Raya bertambah berlipat kali ganda berbanding tahun-tahun sudah. Tak terjejas oleh pembukaan semula sempadan Singapura-Malaysia. Sampai ke hari ini saya masih tekun menjahit dan membereskan tempahan pelanggan.



“Kebanyakan pelanggan berkata mereka tak sabar nak beraya sebab sudah dua tahun tidak beraya pada skala besar. Semasa mereka membuat tempahan awal bulan lalu, mereka tak pasti sempadan Singapura- Malaysia benar-benar akan dibuka semula sebab kes Covid-19 masih tidak menentu.



“Mereka pula bekerja. Jadi tiada masa nak menyeberang Koswe untuk membeli baju Raya di Johor. Ramai juga yang belum memperbaharui pasport, jadi beli sahaja di Singapura.”



KUIH DAN KEREPEK DISAPU HABIS



Cef Haikel Ismail, 28 tahun, yang meniaga kerepek kentang berperisa, donut dan kek di Bazaar Untuk Rakyat@ Woodlands serta mengambil tempahan kek dan biskut Raya dari rumah pula berkata:



“Sambutan sangat menggalakkan. Selepas dua tahun tidak dapat mengunjungi sanak-saudara, ramai tak sabar nak jamu tetamu atau sambung kunjung-mengunjung. Tempahan kuih-muih dan kek pun lancar.



“Pelanggan yang membeli kerepek kentang yang saya buat sendiri selepas sahur dan sesudah berbuka bersama selebriti Malaysia Aiman Tino suka keunikan produk kami, yang tidak boleh diperolehi di tempat lain. Setiap hari, antara 200 hingga 300 bungkus laris di bazar.”



BANYAK PROMOSI



Berita Harian turut meninjau respons dua rangkaian pasar raya yang mengadakan promosi jualan Hari Raya, FairPrice dan Giant, mengenai perniagaan tahun ini.



Jurucakap FairPrice berkata terlalu awal untuk mengulas mengenai perniagaan buat masa ini kerana promosi musim perayaan masih dijalankan.



“Meskipun tiada pengubahsuaian waktu pasar raya dibuka dan ditutup bagi musim perayaan ini, kami akan terus memantau permintaan pelanggan dan kekal bersedia memenuhi keperluan mereka,” ujarnya.



Sempena perayaan ini, FairPrice menawarkan, antara lain, promosi khas diskaun hingga 50 peratus bagi produk yang dijual hingga 11 Mei di pelbagai cawangannya dan platform e-dagang.



“Kami juga memperluas produk halal kami hingga hampir 7,800 produk bagi memberi pelanggan Muslim kami pilihan meluas dan kerencaman untuk keperluan runcit mereka.



“Barangan baru ini termasuk keperluan membuat kuih, kek, roti dan biskut seperti tepung roti ‘artisan’ dan santan kelapa organik serta krim, minuman, kuih-muih dan kudapan seperti kerepek telur asin dan kerepek ‘Korean BBQ”.



Jurucakap pasar raya Giant pula berkata ia mengurangkan harga telur Giant Farm Fresh (30s) dari $7.50 kepada $6.50 dari Khamis lalu hingga Hari Raya.



“Walaupun wujud tekanan bertambah bagi kos barang keperluan dan pembekal serta harga yang naik turun kerana pandemik dan konflik global berlarutan, Giant kekal komited menyokong warga Singapura mengharungi masa mencabar.



Harga terbaik bagi ratusan barangan runcit segar dan perlu di bawah kempen Lower Prices That Last (Harga Rendah Berpanjangan) juga boleh dinikmati.




“OKG yakin Kampong Glam mempunyai ciri-ciri yang amat pelbagai dari sudut agama, seni, sejarah dan juga perniagaan. OKG mewakilkan pihak peniaga untuk terus berusaha menganjurkan aktiviti untuk menarik perhatian pengunjung di dalam dan luar Singapura.”
– Encik Sudirman Muzaini, Pengurus kawasan One Kampong Gelam (OKG).



“Alhamdulillah, tempahan baju Raya bertambah berlipat kali ganda berbanding tahun-tahun sudah. Tak terjejas oleh pembukaan semula sempadan Singapura-Malaysia.”
– Pereka fesyen Sufian Hussein.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >