UCAPAN takziah, penghargaan dan penghormatan telah ditujukan kepada mendiang Encik Lee Kuan Yew oleh beberapa warga Singapura dan penduduk tetap yang telah ditemui pasukan digital Berita Harian hari ini.
Mendiang dikenang sebagai seorang tokoh yang telah banyak berkorban dan berusaha keras demi memajukan dan penakatan Singapura, selain mencurahkan jiwa dan raga dalam pembangunan negara.
Salah seorang warga yang ditemui, Encik Peer Mohamed, berkata beliau mengingati Encik Lee sebagai seorang yang telah membina Singapura dari bawah.
"Kita tidak dapat mencari seorang yang sama seperti beliau. Terutama sekali dengan wawasan beliau yang telah berupaya membangunkan Singapura dan membawa negeri ini ke tahap global.
"Saya betul-betul menghargai kehadirannya di Singapura selama ini," ujar jurujual berusia 60 tahun itu.
Jasa beliau bukan hanya dikenang oleh warga Singapura sahaja bahkan dihargai oleh warga luar yang telah menetap di sini.
Cik Sri Mulyani, warga Jakarta yang telah menetap di Singapura selama 15 tahun turut berdukacita apabila mendengar berita tentang pemergiannya.
"Warga Indonesia di Singapura turut berbelasungkawa atas pemergian seorang pahlawan Singapura yang utama, iaitu Encik Lee Kuan Yew, kami sangat menghormati beliau juga kerana kami (dapat) menikmati kehidupan yang bagus berkat jasa beliau," katanya.