PEMERIKSAAN perubatan enam bulan buat pekerja domestik migran dan pemegang permit kerja wanita lain akan ditunda dalam keadaan kes Covid-19 meningkat di Singapura.
Ini adalah bagi mengurangkan tampungan pesakit dan tekanan yang dihadapi penyedia jagaan kesihatan khususnya klinik doktor awam dan poliklinik, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (2 Mac).
Majikan yang menerima notis antara Januari dengan Februari tetapi belum menghantar pekerja mereka bagi pemeriksaan perubatan ini kini mempunyai masa hingga 30 April untuk berbuat demikian.
Sementara itu, majikan yang pekerjanya bakal menerima notis pada Mac dan April akan dimaklumkan mengenai tarikh baru menerusi kiriman surat dan e-mel mulai penghujung April.
Majikan tidak akan ditolak jika mereka perlu menghantar pekerja mereka ke klinik bagi pemeriksaan perubatan.
"Bagaimanapun, kami sangat menggalak majikan agar menunda kunjungan itu kecuali perhatian perubatan diperlukan," tambah MOM.
Langkah ini diperkenal sedang enam poliklinik melanjutkan masa operasi biasa mereka bagi memenuhi keperluan kes Covid-19 yang bertambah di Singapura.
Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan Jumaat lalu bahawa poliklinik akan menerima pesakit pada tengah hari Sabtu dan pagi Ahad bagi dua minggu mulai 26 Februari.
Enam poliklinik ini adalah Bukit Panjang, Eunos, Kallang, Pioneer, Punggol dan Woodlands.