Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Pemerintah akan bantu pasangan kukuh hubungan rumah tangga

Jan 06, 2021 | 05:30 AM



PEMERINTAH akan terus mempertingkatkan usaha menyokong pasangan yang menghadapi masalah perkahwinan dalam mengukuhkan lagi hubungan rumah tangga mereka.



Ini menyusuli dapatan kajian yang menunjukkan kesan negatif penceraian terhadap anak-anak, kata Menteri Negara (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) Sun Xueling di Parlimen semalam.



Menurut Cik Sun, kajian mengenai Kesan Perceraian Antara Generasi Terhadap Anak-Anak di Singapura yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) memberi tumpuan kepada lima bidang iaitu; sama ada anak-anak yang ibu bapa bercerai mampu meraih ijazah sarjana muda, meraih pendapatan lebih rendah atau mempunyai simpanan lebih rendah dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka berbanding anak dalam keluarga yang tidak bercerai.



Selain itu, kajian yang dilakukan terhadap sekitar 100,000 anak-anak termasuk 8,800 anak-anak yang ibu bapa mereka bercerai ketika usia mereka di bawah 21 tahun, juga melihat kemungkinan mereka mendirikan rumah tangga dan jika mereka sendiri melalui perceraian setelah berkahwin kelak.



"Hasil dari kajian itu menunjukkan hubungan negatif yang besar antara perceraian ibu bapa dan kesan terhadap anak mereka berdasarkan lima faktor yang dikaji itu.



"Dalam erti kata lain, secara umumnya, anak-anak yang ibu bapa bercerai lebih cenderung menghadapi kehidupan yang lebih sukar berbanding anak-anak yang ibu bapa masih bersama," kata Cik Sun, menjawab pertanyaan Encik Melvin Yong (Radin Mas) mengenai kajian tersebut.



Oleh itu, MSF akan terus meneliti pelbagai aspek penceraian agar dapat memahami faktor yang menyumbang kepada hasil positif atau negatif anak-anak ini menurut Cik Sun lagi yang turut menekankan pentingnya memberi tumpuan terhadap usaha intervensi awal kanak-kanak.



Baru-baru ini, MSF telah mengadakan sesi perkongsian dengan lebih 120 penduduk, dengan sebahagian besar mereka merupakan pasangan yang bercerai, menerusi program kaunseling dalam talian.



Menurut Cik Sun, beberapa pandangan berharga telah diketengahkan termasuk bagaimana pemerintah mampu menyampaikan maklumat relevan yang perlu dipertimbangkan oleh pasangan yang ingin bercerai seperti kesejahteraan emosi anak-anak mereka.



Daya usaha ini juga akan diperluaskan dalam menangani isu penceraian pasangan Muslim dan akan dikendalikan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), tambah beliau.



"Meskipun mereka menghargai apa yang telah pemerintah lakukan, ramai yang menggesa agar pemerintah juga cuba melakukan sesuatu untuk menyelamatkan rumah tangga.



"Justeru, ia kini menjadi lebih penting untuk kita meningkatkan usaha dari dasar untuk memperkukuhkan lagi perkahwinan," katanya lagi.



Sehubungan itu, pasangan baru digalak untuk menyertai kursus rumah tangga seperti bengkel Program Merangsang Perhubungan dan Pencegahan' (Prep) yang dikendalikan Agensi Perkhidmatan Sosial, bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran membina asas yang kukuh untuk perkahwinan.



Bagi pasangan Muslim pula, mereka boleh mengakses kursus Cinta Abadi yang kini ditawarkan dalam talian.



Pemerintah juga akan melanjutkan kerjasama dengan pelbagai agensi perkhidmatan sosial serta organisasi masyarakat dan agama bagi menawarkan lebih banyak program rumah tangga untuk pasangan, menurut Cik Sun lagi.



"Kami akan terus mengkaji dan meneliti keberkesanan campur tangan kami untuk mengurangkan masalah pasca perceraian serta memperkukuhkan lagi perkahwinan, agar dapat memberi kesan yang lebih baik kepada anak-anak dari keluarga ini," ujarnya.




"Hasil dari kajian itu menunjukkan hubungan negatif yang besar antara perceraian ibu bapa dan kesan terhadap anak mereka berdasarkan lima faktor yang dikaji itu. Dalam erti kata lain, secara umumnya, anak-anak yang ibu bapa bercerai lebih cenderung menghadapi kehidupan yang lebih sukar berbanding anak-anak yang ibu bapa masih bersama."
- Menteri Negara (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) Cik Sun Xueling di Parlimen semalam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >