PEMERINTAH akan memastikan warga Singapura terus mempunyai akses kepada perumahan dan penjagaan kesihatan yang dimampui, serta pelbagai rebat untuk mengatasi kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, untuk mengatasi keprihatinan tentang kos sara hidup dalam satu dialog pasca-Belanjawan pada Jumaat (19 Mac).
“Saya juga telah berkongsi bahawa untuk mengatasi cabaran-cabaran masa hadapan, para pekerja kita perlu meningkatkan kemahiran dan membina keupayaan mereka agar boleh terus diambil bekerja.
“Adalah juga penting untuk syarikat-syarikat perniagaan menjalin rangkaian di dalam dan di luar negara, serta memanfaatkan skim-skim sedia ada untuk menjadi lebih berdaya saing,” ujar Encik Masagos dalam satu pos di Facebook pada Sabtu (19 Mac).
Dialog pasca-Belanjawan M Kuasa Tiga (M3) itu telah disertai pemimpin akar umbi dan pertubuhan Melayu Islam, dan turut dihadiri Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, dan Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat.
Dalam sesi itu, peserta dialog juga mengutarakan beberapa masalah yang mereka hadapi semasa membantu keluarga yang mudah terjejas.
“Ahli-ahli panel bersetuju bahawa adalah penting untuk membina kepercayaan dengan keluarga-keluarga tersebut dan ini mungkin mengambil masa.
“Itulah sebabnya melalui M³, terdapat usaha huluan seperti Bersamamu dan Projek ARIF Yayasan Temasek supaya bantuan dapat dihulurkan seawal mungkin,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga,
Sempena Tahun Meraikan Keluarga Singapura tahun ini, beliau turut menyeru pemimpin untuk membantu mengukuhkan institusi keluarga, yang tidak kira keadaan sosioekonomi, merupakan institusi penting yang “menjadi tulang belakang kita sedang kita terus maju sebagai sebuah negara”.