Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PEMANSUHAN SEKSYEN 377A & LINDUNGI PERKAHWINAN DI SISI UNDANG-UNDANG

Pemerintah akan terus dukung, lindungi institusi perkahwinan

Walau seks antara lelaki bukan lagi satu jenayah
Aug 22, 2022 | 05:30 AM



PEMERINTAH akan terus mendukung dan melindungi institusi perkahwinan sedang negara ini mengambil langkah memansuhkan Seksyen 377A dalam Kanun Jenayah yang menyifatkan seks sejenis antara lelaki sebagai satu jenayah.



Dengan hanya perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang wanita diiktiraf di Singapura di bawah undang-undang, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata pemerintah akan mengekalkan pendekatan sekarang yang cenderung kepada keluarga serta norma dan nilai masyarakat Singapura yang sedia ada.



Banyak dasar nasional kini juga bersandarkan takrif perkahwinan ini termasuk perumahan awam, pendidikan, peraturan mengambil anak angkat, piawaian pengiklanan dan klasifikasi filem.



"Pemerintah tidak bercadang untuk mengubah takrif perkahwinan, apatah lagi dasar-dasar ini," ujar Encik Lee.



Tambahnya, kebanyakan rakyat Singapura juga tidak mahu pemansuhan akta tersebut mencetuskan peralihan mendadak kepada norma sosial, termasuk bagaimana perkahwinan ditakrifkan, apa yang diajar kepada anak-anak di sekolah, apa yang disiarkan secara percuma di televisyen dan di pawagam serta tingkah laku yang pada umumnya boleh diterima di khalayak ramai.



Beliau berkata pemerintah juga tidak mahu pemansuhan akta tersebut mencetuskan perubahan yang menyeluruh di dalam masyarakat.



Namun mengikut undang-undang sedia ada, beliau berkata takrif perkahwinan ini boleh dicabar atas dasar Perlembagaan di mahkamah.



"Jika satu hari nanti cabaran sedemikian berhasil di negara ini, ia mungkin menyebabkan perkahwinan sejenis diiktiraf di Singapura.



"Dan ini akan terjadi hasil daripada keputusan mahkamah, bukan kerana Parlimen meluluskan undang-undang tersebut.



"Meskipun sebahagian besar Anggota Parlimen menentang perkahwinan sejenis, Parlimen mungkin tidak boleh mengubah undang-undang dengan mudah untuk mengembalikan keadaan seperti sebelumnya.



"Untuk menterbalikkan kedudukan, Parlimen mungkin perlu meminda Perlembagaan, dan ini memerlukan majoriti dua pertiga," kata Encik Lee.



Tambahnya, bagi Singapura, mahkamah bukan forum yang sesuai untuk memutuskan isu seperti ini kerana pada dasarnya, ini bukan masalah undang-undang tetapi masalah politik.



Hakim antara lain tidak mempunyai kepakaran mahupun mandat untuk menyelesaikan persoalan politik atau mempunyai kuasa untuk membuat keputusan tentang norma dan nilai sosial.



Seksyen 377A diperkenal pemerintah kolonial Britain pada 1930-an dan mencerminkan sikap moral dan norma sosial yang wujud pada ketika itu.



Namun, Encik Lee berkata homoseksualiti telah menjadi sesuatu yang lebih difahami secara saintifik dan perubatan sejak beberapa dekad yang lalu.



Malah dalam banyak masyarakat termasuk di Singapura, golongan homoseksual kini lebih diterima dan tidak lagi dipinggirkan dan dicela.



Bahkan, banyak negara yang pernah mempunyai undang-undang serupa yang melarang hubungan seks antara lelaki, termasuk beberapa negara Asia, telah pun memansuhkannya.



Kali terakhir Parlimen membahaskan sama ada untuk memansuhkan Seksyen 377A adalah pada 2007.



Namun, pemerintah memutuskan untuk mengekalkan Seksyen 377A tetapi tidak akan menguatkuasakannya secara aktif.



Encik Lee yang turut serta dalam perbahasan tersebut berkata ia akan memecahbelahkan masyarakat pada waktu itu dan adalah lebih baik untuk hidup dengan kompromi.



Sekitar 15 tahun kemudian sekarang, beliau berkata sikap dalam kalangan masyarakat telah berubah dengan ketara.



"Singapura masih mempunyai pandangan yang berbeza-beza tentang sama ada homoseksualiti betul atau salah tetapi kebanyakan orang menerima bahawa orientasi dan tingkah laku seksual seseorang adalah perkara peribadi dan hubungan seks antara lelaki tidak seharusnya dianggap sebagai satu kesalahan jenayah.



"Malah dalam kalangan mereka yang ingin mengekalkan Seksyen 377A, kebanyakannya tidak mahu ia dikuatkuasakan secara aktif dan hukuman dikenakan," ujarnya.



Tambahnya, beberapa cabaran juga telah dikemukakan terhadap Seksyen 377A di mahkamah, yang cuba mengisytiharkan bahawa ia bercanggah dengan Perlembagaan.



Meskipun belum ada yang berjaya sejauh ini, Encik Lee berkata Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara telah menasihatkan bahawa sekiranya ia dicabar di mahkamah pada masa akan datang, terdapat risiko besar Seksyen 377A boleh digugurkan atas sebab ia melanggar peruntukan Perlindungan Setara dalam Perlembagaan.



Oleh itu, pemerintah telah memutuskan untuk memansuhkan Seksyen 377A dan menyifatkan hubungan seks antara lelaki yang rela dalam ruang privet bukan satu jenayah.



Encik Lee akur banyak lagi yang perlu dikatakan tentang isu yang berat ini dan ia akan dibahaskan sepenuhnya di Parlimen nanti.



"Saya harap imbangan yang baru ini akan memastikan Singapura terus menjadi masyarakat yang bertoleransi dan inklusif bagi tahun-tahun mendatang," ujarnya.




USAHA LINDUNGI TAKRIF PERKAHWINAN



Kami perlu meminda Perlembagaan untuk melindungi takrif (perkahwinan)... Ia akan mengehadkan perubahan ini kepada apa yang saya percaya akan dapat diterima oleh sebahagian besar rakyat Singapura, iaitu menyifatkan hubungan seks antara lelaki yang rela dalam ruang privet bukan satu jenayah.



Tetapi ia juga akan mengekalkan apa yang saya percaya masih diinginkan oleh kebanyakan rakyat Singapura, iaitu untuk mengekalkan perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang wanita sebagai struktur asas keluarga, di mana anak-anak kita dilahirkan dan dibesarkan."
- Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, mengenai mencari keseimbangan dalam menguruskan isu berkaitan Seksyen 377A.




Pemerintah bakal pinda Perlembagaan



PEMERINTAH akan meminda Perlembagaan untuk melindungi takrif perkahwinan sebagai antara seorang lelaki dan seorang wanita, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.



Ini merupakan sebahagian usaha pemerintah untuk melindungi takrif di bawah undang-undang itu, yang terkandung dalam Akta Terjemahan dan Piagam Wanita, daripada dicabar dari segi Perlembagaan di mahkamah.



Encik Lee berkata langkah itu akan mengekalkan apa yang masih diinginkan kebanyakan rakyat Singapura, iaitu untuk mengekalkan perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang wanita sebagai struktur asas keluarga.



Ini sementara mengehadkan perubahan kepada Seksyen 377A kepada apa yang diyakini dapat diterima oleh sebahagian besar rakyat Singapura, iaitu menyifatkan hubungan seks antara lelaki yang rela dalam ruang privet bukan satu jenayah.



"Apa yang kami sedang usahakan ialah permuafakatan politik untuk mengimbangi pandangan yang munasabah serta aspirasi dalam kalangan rakyat Singapura.



"Bagi sesetengah orang, langkah ini terlalu sederhana. Bagi yang lain, langkah ini terpaksa diambil dengan hati yang amat berat.



"Namun dalam sebuah masyarakat di mana kumpulan-kumpulan daripada pelbagai latar belakang berpegang kuat pada pendapat yang bertentangan, semua orang harus menerima hakikat bahawa tiada satu kumpulan pun boleh mendapat segala apa yang mereka inginkan," ujarnya.



Tambahnya, jika satu pihak terlalu mendesak, pihak yang lagi satu akan bertindak balas, dengan lebih hebat lagi.



Malah dalam beberapa masyarakat Barat, ini telah antara lain mencetuskan peperangan budaya, perasaan saling membenci, budaya penolakan serta perbalahan pahit yang memecahbelahkan masyarakat.



Encik Lee berkata terdapat tanda perkara serupa sudah mula berlaku di sini.



Namun, beliau menggesa masyarakat di sini agar tidak menjurus ke arah itu.



"Semua kumpulan perlu mengawal diri kerana itu sahaja cara untuk kita melangkah ke hadapan bersama sebagai satu negara," ujar Encik Lee.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >