Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pemerintah awasi rapi kapasiti hospital sedang kes Covid-19 kekal tinggi: Ong Ye Kung

Sep 22, 2021 | 10:30 PM



MENTERI Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata pada Selasa (21 September) bahawa pemerintah sedang memantau kapasiti hospital secara rapi dan mungkin mengenakan lebih banyak sekatan jika keadaan Covid-19 semakin teruk.



Singapura sudah mempunyai senarai langkah yang berkuatkuasa dan bagi melanjutkan langkah sekatan ini adalah pilihan terakhir," jelas Encik Ong dalam wawancara bersama akhbar Cina, Lianhe Zaobao.



Namun, varian Delta ini terus merebak dengan cepat walaupun langkah yang ada kini dikuatkuasakan dengan angka kes harian melebihi jangkaan awal, ujarnya.



Terdapat 1,178 kes Covid-19 baru yang dilaporkan pada Selasa, kali ketiga dalam empat hari di mana angka harian kes baru melebihi 1,000 kes.



Kata Encik Ong: "Kami telah merancang tempoh persiapan, di mana kami akan secara beransur-ansur membuka negara ini sambil menangani sekitar 100 hingga 200 kes sehari. Bagaimanapun, varian Delta tidak menanti kami untuk bersedia dan menyerang kita dahulu.



"Perjuangan menentang Delta benar-benar ibarat satu peperangan...dan ia boleh memberi kejutan yang anda tidak jangkakan, justeru anda harus berupaya menyesuaikan diri dan mengubah strategi segera."



Beliau menambah dua faktor yang penting dalam menentukan jika Singapura sudah sampai ke tahap kritikal adalah bilangan kes serius dan kapasiti hospital.



Pemerintah, jelasnya, memantau rapi dua indikator ini bagi memastikan Unit Jagaan Rapi dan sistem jagaan kesihatan secara umum tidak dibebani melebihi kemampuan mereka.



"Jika ini tidak berhasil, kita kemudian perlu menjelaskan kepada orang ramai secara terus terang tentang perlunya sekatan lebih ketat," tambah Encik Ong, salah seorang daripada tiga pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian yang menyelaras respons nasional pada Covid-19.



Ditanya tentang penilaiannya tentang situasi kini, Encik Ong berkata sehingga minggu lalu, keadaan masih lagi dalam kawalan. Namun, beliau menambah keadaannya berubah setiap hari.



Beliau juga menambah keseimbangan baru perlu dicapai dengan virus ini manakala orang ramai harus belajar hidup dengan sekitaran Covid-19.



Pada tahap pandemik kini, tidak mampu lagi dan tiada hasilnya jika perintah berkurung berpanjangan dilaksanakan, ujar Encik Ong, sambil mengatakan angka jangkitan akan naik lagi setelah perintah berkurung berakhir.



Pada masa yang sama, ini tidak bermakna Singapura harus melonggarkan semua sekatan dan membuka ekonomi sepertimana Britain dan Amerika Syarikat.



"Apa yang kita perlu lakukan adalah mengambil jalan tengah dan setiap orang harus menyesuaikan diri agar dapat sama-sama meneruskan kehidupan dalam sekitaran yang masih ada virus di samping mencari keseimbangan baru," tambahnya.



Beliau menambah, ada bezanya antara hidup bersama Covid-19 dan merawatnya seperti penyakit endemik persis flu.



Terdapat terlalu banyak perkara yang tidak diketahui mengenai Covid-19 yang diketahui lebih memudaratkan, jelas Encik Ong, menukil kata-kata Pengarah Eksekutif Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit, Profesor Leo Yee-Sin, yang menjelaskan bahawa terlalu awal untuk mengesahkan jika Covid-19 akan menjadi penyakit seperti flu.



Bilangan kes yang bertambah sejak beberapa hari ini menimbulkan keprihatinan dan keresahan dengan sesetengah orang bertanya jika Kementerian Kesihatan (MOH) dapat menyediakan maklumat mengenai tempat di mana ramai orang dijangkiti.



Mengulas mengenai perkara ini, Encik Ong berkata MOH akan cuba sebaik mungkin untuk mengumumkan di mana kelompok jangkitan terbentuk dan melakukannya lebih awal.



Namun, beliau menambah dengan kebanyakan orang divaksin dan tidak menampakkan tanda jangkitan apabila dilanda penyakit itu, ia menjadi lebih rumit bagi mengaitkan kes-kes ini dan menentukan bagaimana virus ini tersebar.



Mengambil contoh penularan Covid-19 di Pelabuhan Perikanan Jurong, beliau berkata: "Sampai masanya ia diketahui, bilangan kes sudah tinggi dan menjadi terlalu lewat. Namun jika kita dapat tahu awal, kita pastinya akan mengumumkannya secepat mungkin agar orang ramai berhati-hati."



Kelompok tersebut yang mula dikesan pada Julai ditutup awal bulan ini.



Encik Ong juga akur bahawa orang ramai tidak mampu duduk di rumah setiap masa tetapi menasihati mereka agar mengambil berat tentang kebersihan diri apabila di luar, khususnya jika mereka adalah warga emas.



"Pakai pelitup, jangan tarik pelitup itu apabila berbual dengan kawan anda. Cuba untuk tidak sentuh terlalu banyak benda dan jangan gosok mata atau korek hidung anda.



"Dengan tumpukan pada perkara-perkara ini, anda akan membawa kesan besar dalam mencegah jangkitan," ujarnya.



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >