Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Pemerintah belanja $1b bagi SG Lebih Sihat

Oct 05, 2022 | 05:30 AM



PENUBUHAN strategi SG Lebih Sihat, yang memberi tumpuan kepada penjagaan pencegahan penyakit bagi penduduk, dianggarkan menelan belanja $1 bilion dalam masa tiga hingga empat tahun akan datang.



Ini bagi membangunkan sistem teknologi maklumat (IT) baru dan memberi sokongan kepada doktor perubatan umum (GP) untuk melakukan peningkatan IT bagi mempersiapkan mereka untuk menyertai usaha tersebut.



Strategi yang akan bermula tahun depan itu juga dianggarkan memerlukan lagi $400 juta setahun dalam bentuk kos berulang, untuk membiayai langkah sokongan bagi penduduk, seperti pemeriksaan kesihatan tahunan, dan bayaran perkhidmatan tahunan untuk GP.



Demikian dinyatakan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, di Parlimen semalam di permulaan perbahasan Kertas Putih mengenai SG Lebih Sihat yang diterbitkan 21 September lalu selepas perundingan enam bulan bersama lebih 6,000 penduduk dan pihak berkepentingan seperti GP swasta, majikan dan rakan kongsi masyarakat.



SG Lebih Sihat ialah sebuah strategi berbilang tahun untuk mengubah cara penjagaan kesihatan disampaikan, dengan mengalihkan penekanan daripada menjaga mereka yang telah sakit secara reaktif kepada mengelakkan individu daripada jatuh sakit secara proaktif.



Encik Ong berkata Kementerian Kesihatan (MOH) membelanjakan sekitar 6 peratus daripada belanjawan penjagaan kesihatannya bagi penjagaan pencegahan setiap tahun, seperti untuk membiayai Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).



"Dengan SG Lebih Sihat, kami akan dan kami mahu mengembangkan ini - mungkin untuk menggandakan bahagian jumlah perbelanjaan penjagaan kesihatan - dalam beberapa tahun akan datang," kata Encik Ong.



"Dalam membuat pelaburan ini, dorongan utama kami ialah untuk mengurangkan beban penyakit dan penderitaan penduduk kita dan orang-orang tersayang mereka," tambahnya.



Tetapi, Encik Ong berkata sebarang kesan pelaburan itu dalam kesihatan orang ramai tidak akan berlaku serta-merta dan kesannya mungkin akan dapat dilihat dalam masa lapan atau sepuluh tahun akan datang.



Peningkatan dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan juga tidak boleh dibalikkan, lebih-lebih lagi dengan penduduk yang menua, kata Encik Ong.



Tetapi, apa yang boleh diharapkan ialah untuk memperlahankan kadar peningkatan perbelanjaan penjagaan kesihatan.



Perbelanjaan penjagaan kesihatan Singapura hari ini dijangka sekitar $22 bilion setahun dan ia dijangka naik hampir tiga kali ganda dalam 10 tahun akan datang, kepada $60 bilion pada 2030.



"Jika bil perubatan negara ini meningkat dua kali ganda dan bukannya tiga kali ganda dalam sepuluh tahun - kita akan menjimatkan lebih banyak daripada apa yang kita rancang untuk belanjakan bagi penjagaan pencegahan," kata Encik Ong.



Selepas penduduk mendaftar dengan doktor keluarga di bawah SG Lebih Sihat, pemerintah akan membiayai sepenuhnya vaksinasi dan pemeriksaan kesihatan yang disarankan untuk warga Singapura.



Pemeriksaan itu termasuk untuk penyakit kronik biasa seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi, serta barah buah dada, pangkal rahim dan usus besar.



Mereka yang mempunyai faktor risiko tertentu boleh diberi rujukan untuk ujian lanjut.



Terdapat pemeriksaan yang lebih rumit, seperti kolonoskopi yang merupakan prosedur invasif dan tidak sesuai untuk dijadikan pemeriksaan standard untuk semua orang, kata Encik Ong.



Pemeriksaan sedemikian akan terus disubsidi di hospital, tetapi tidak percuma, tambahnya.



Jadual imunisasi pula termasuk vaksinasi influenza dan pneumokokus untuk semua yang berumur 65 tahun dan ke atas atau mempunyai kondisi perubatan tertentu.



Strategi SG Lebih Sihat juga akan membolehkan penduduk untuk menggunakan MediSave sepenuhnya bagi membayar rawatan penyakit kronik mereka.



Mereka tidak lagi dikehendaki membuat bayaran bersama bagi 15 peratus bil secara tunai.



Encik Ong berkata perubahan itu berbeza dengan kebanyakan skim subsidi pemerintah, di mana sedikit pembayaran bersama daripada penduduk diperlukan bagi mencerminkan perkongsian tanggungjawab dan menegakkan konsep usaha individu.



"Di sini, kami memutuskan bahawa memandangkan penjagaan pencegahan adalah sangat asas kepada penjagaan kesihatan, subsidi selanjutnya adalah wajar. Ia tidak bercanggah dengan prinsip tanggungjawab peribadi, kerana dalam konteks penjagaan pencegahan, ia bukan sahaja tentang pembayaran bersama, tetapi untuk mengambil tindakan peribadi bagi membuat perubahan dan menjalani kehidupan yang lebih sihat," kata Encik Ong.



Di bawah strategi SG Lebih Sihat, pemerintah akan meningkatkan subsidi untuk ubat penyakit kronik biasa di klinik GP swasta.



Encik Ong berkata ramai penduduk telah memberi maklum balas bahawa terdapat perbezaan harga ubat yang ketara antara klinik GP dengan poliklinik, dan walaupun mereka mahu kekal bersama satu doktor keluarga di klinik GP, mereka akhirnya akan kembali ke poliklinik untuk mendapatkan ubat yang lebih murah.



Untuk menangani ini, pemerintah akan meratakan perbezaan harga tersebut dengan memperkenalkan peringkat subsidi tambahan kepada Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) untuk ubat kronik biasa dan had harga ubat, kata Encik Ong.



Bagaimanapun beliau berkata asas pengiraan subsidi di poliklinik dan untuk Chas adalah berbeza.



"Atas sebab teknikal ini, kami tidak akan dapat menyamakan harga hingga ke sen terakhir. Tetapi kami akan secara ketara menghapuskan perbezaan dalam harga ubat antara poliklinik dengan klinik GP swasta," kata Encik Ong.




"Dengan SG Lebih Sihat, kami akan dan kami mahu mengembangkan ini - mungkin untuk gandakan bahagian jumlah perbelanjaan penjagaan kesihatan - dalam beberapa tahun akan datang... Dalam membuat pelaburan ini, dorongan utama kami ialah untuk kurangkan beban penyakit dan penderitaan penduduk kita dan orang-orang tersayang mereka."
- Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.




SEKILAS CIRI UTAMA KERTAS PUTIH SG LEBIH SIHAT



  • Kerah rangkaian doktor keluarga untuk sediakan penjagaan pencegahan penyakit bagi penduduk

  • Bangunkan pelan kesihatan termasuk penyesuaian kepada gaya hidup dan pemeriksaan kesihatan yang kerap serta vaksinasi sesuai

  • Kerah rakan masyarakat untuk sokong penduduk dalam menjalani gaya hidup lebih sihat

  • Lancar program pendaftaran nasional bagi penduduk memberi komitmen berjumpa seorang doktor keluarga bagi amalkan pelan kesihatan

  • Tubuhkan pengupayaan penting seperti IT, pelan pembangunan tenaga manusia dan dasar kewangan untuk pastikan SG Lebih Sihat berjaya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >