Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Pemerintah faham rakyat bimbang kenaikan kos sara hidup: Indranee

Bantuan pelbagai cara, termasuk langsung dan melalui dasar ekonomi, disediakan bagi individu dan keluarga harungi cabaran
Jan 12, 2022 | 05:30 AM



PEMERINTAH memahami kerisauan warga Singapura berkenaan kenaikan kos dan berasa empati dengan tekanan nyata yang dirasai individu dan isi rumah.



Pada masa sama, pemerintah berusaha membantu warga Singapura mengharungi cabaran tersebut dalam beberapa cara, termasuk melalui dasar ekonomi dan kewangan, kata Menteri Kedua Kewangan, Cik Indranee Rajah, di Parlimen semalam.



"Pemerintah secara langsung membantu warga Singapura berhubung kos sara hidup.



"Dua penyebab utama inflasi teras - kos bahan api global dan harga makanan lebih tinggi - menyebabkan harga utiliti dan barang runcit lebih tinggi.



"Pemerintah secara langsung melindungi majoriti rakyat Singapura daripada kesan penuh kenaikan kos barangan ini dan terus berbuat demikian," katanya.



Beliau memberi contoh pemberian rebat cukai barangan dan perkhidmatan (GST) setiap suku tahun kepada isi rumah HDB yang membantu dengan mengatasi beban kos utiliti.



Isi rumah HDB layak menerima rebat U-Save bulan ini.



Bahkan, pada Belanjawan 2021, pemerintah menyediakan rebat U-Save tambahan 50 peratus bagi semua penerima. Ia diberikan April dan Julai tahun lalu.



Bagi membantu isi rumah berkaitan keperluan barangan harian, terutama makanan, pemerintah memberi baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $100 kepada setiap isi rumah warga Singapura pada Disember 2021, kata Cik Indranee.



Menjawab soalan Encik Liang Eng Hwa (SMC Bukit Panjang) apakah pemerintah mempunyai sumber kewangan mencukupi bagi membantu warga Singapura berkaitan kos sara hidup yang kian meningkat, beliau berkata:



"Saya ingin beri jaminan kepada Encik Liang bahawa kami akan memberi keutamaan dalam rancangan kewangan kita untuk membantu warga Singapura menguruskan (kos sara hidup).



"Sedang kami bersiap sedia bagi Belanjawan 2022, kami memantau situasi dengan teliti dan mengkaji skop langkah sokongan bagi isi rumah."



Cik Foo Mee Har (GRC West Coast) bertanya apakah ada sebarang langkah berstruktur yang diambil pemerintah bagi menyediakan sokongan jangka panjang dalam membantu warga Singapura berhubung kos sara hidup.



Cik Indranee berkata terdapat langkah-langkah sedemikian dan "kami tidak hanya memberi faedah sekali sahaja".



"Cara paling mampan bagi membantu rakyat Singapura berkaitan kos sara hidup sebenarnya ialah dengan membantu mereka memperoleh pendapatan baik.



"Dan cara kami membantu mereka memperoleh pendapatan baik ialah dengan memastikan mereka mempunyai peluang dan pekerjaan baik," ujar beliau.



Itu sebabnya, tambahnya, pemerintah sentiasa menekankan pertumbuhan kerana ia akan membawa kepada pekerjaan lebih baik dengan pendapatan lebih tinggi.



"Yang kedua ialah kami mempunyai skim berstruktur yang meningkatkan dan menambah pendapatan, termasuk model gaji progresif dan skim tambahan pendapatan kerja.



"Tambahan pada itu, kami juga mempunyai langkah sokongan berstruktur lebih luas untuk membantu warga Singapura dalam bidang penting seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan," kata Cik Indranee.




LANGKAH BANTU WARGA DENGAN KENAIKAN KOS 



Berikut antara langkah yang telah diambil untuk membantu warga Singapura menangani kenaikan kos:



  • Baucar GST

  • Baucar CDC $100

  •  Rebat U-Save

  • Baucar pengangkutan awam $30 bagi isi rumah berpendapatan rendah

  • Rebat bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC)

  • Skim Ihsan Senja

  • Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja

  • Tambah nilai CPF bagi pekerja gaji rendah




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >