Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pemerintah komited sedia flat HDB di lokasi utama

Desmond: Ramai warga sokong langkah tawar subsidi tambahan, agar flat sedemikian kekal dimampui
Jul 05, 2021 | 05:30 AM



PEMERINTAH komited menawarkan pilihan perumahan awam di lokasi utama kerana ia merupakan tindakan yang betul dan penting terutama untuk generasi akan datang.



Menekankan demikian, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata model perumahan itu perlu dibentuk dengan sesuai dan relevan memandangkan ia dasar sosial yang menjejas masyarakat secara amnya.



Namun isu-isu termasuk kriteria kelayakan dan jualan semula serta langkah untuk memastikan flat-flat HDB itu kekal dimampui perlu dipertimbang dengan baik, katanya dalam ucapan yang disampaikan selepas sesi dialog maya bersama warga Singapura semalam.



Lebih 6,500 warga Singapura telah mengongsi pandangan mereka melalui tinjauan nasional, dialog, perbincangan kumpulan fokus dan emel sejak November lalu menyusuli pengumuman tentang pelan pembinaan flat baru di lokasi utama Singapura, seperti di bandar dan kawasan Greater Southern Waterfront.



Menurutnya, meskipun terdapat maklum balas yang tidak menyokong langkah tersebut, majoriti warga Singapura bersetuju bahawa ia perkara yang baik untuk dilakukan dan memberikan pelbagai saranan untuk memastikan flat-flat tersebut kekal inklusif.



"Kami komited untuk melakukannya kerana kami berpendapat ini langkah yang betul dan penting, bukan untuk generasi sekarang tetapi untuk generasi seterusnya, dan untuk itu penting untuk kami lakukannya dengan baik."



Tambahnya, meskipun ia bukan sesuatu yang mudah, penting untuk pemerintah memastikan "lokasi utama terus mencerminkan keterbukaan dan kepelbagaian masyarakat" serta membolehkan warga Singapura dari pelbagai latar belakang untuk tinggal dan berinteraksi bersama.



Menerusi wadah maklum balas yang disediakan, ramai warga Singapura bersetuju dan menyokong langkah untuk menawarkan subsidi tambahan, selain subsidi perumahan sedia ada, untuk memastikan warga Singapura terus mampu membeli flat-flat tersebut, kata Encik Lee.



Pada masa yang sama, Encik Lee menambah peserta turut menekankan langkah tersebut perlu adil dan subsidi tambahan itu perlu 'dikembalikan' melalui cara-cara tertentu.



Beliau turut menyentuh tentang beberapa isu yang perlu dipertimbangkan pemerintah dalam membentuk model perumahan awam masa depan.



Ini termasuk definisi 'dimampui' serta had pendapatan yang dikenakan bagi pembelian flat Bina Ikut Tempahan (BTO).



Had pendapatan sedia ada bagi flat BTO adalah $14,000 bagi keluarga dan $7,000 bagi mereka yang belum berkahwin.



Selain itu, Encik Lee menambah cara HDB memperuntukkan flat baru, yang kini dilakukan berdasarkan undian, mungkin perlu disemak juga.



Namun, cabaran paling besar yang dihadapi pemerintah dalam menentukan model baru adalah untuk memastikan harga flat kekal dimampui dalam jangka masa panjang dan seterusnya apabila ia dijual semula, katanya.



"Ini bukan hanya tentang rumah atau kemungkinan keuntungan dalam pelaburan, tapi ini tentang jenis masyarakat dan estet kejiranan yang kita inginkan, jenis kawasan teras yang ingin kita lihat, jenis jiran yang kita inginkan dan identiti yang kita miliki di Singapura," ujarnya.



Sementara itu antara saranan lain yang diberikan peserta semasa sesi dialog semalam termasuk Tempoh Penginapan Minimum (MOP) yang lebih lama berbanding tempoh lima tahun sedia ada serta sistem di mana pemerintah boleh mengembalikan semula subsidi tambahan yang diberi selepas flat-flat tersebut dijual semula.



Menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND), ia kini sedang mempertimbang langkah bagi model perumahan baru itu.



Kata Encik Lee: "Kami akan berusaha ke arah keseimbangan yang boleh membawa kebaikan yang paling luas bagi masyarakat awam. Kami mungkin tak dapat mengeluarkan skim paling sempurna. Tentunya skim perumahan awam kita tak sempurna - masih ada ruang untuk memperbaiki tapi kami mempunyai dasar yang baik dan boleh dibina daripada itu."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >