Pemerintah pantau ekonomi, akan campuri bagi bantu jika perlu: Chun Sing

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Encik Chan Chun Sing, berkata Pemerintah sedang memantau keadaan ekonomi dengan rapi dan tidak akan teragak-agak untuk campur tangan bagi membantu jika perlu.

"Masih awal, kami sedang memerhatikan setiap angka dengan rapat," kata Encik Chan, yang juga ketua gerakan buruh, pada Jumaat (18 Nov).

"Kami telah melakukan beberapa perkara dalam cara yang sangat khusus dan disasarkan. Sebagai contoh, kami telah melancarkan pelan transformasi industri, kami telah masuk untuk membantu golongan pekerja yang terjejas oleh kelembapan ekonomi semasa atau perubahan struktur," katanya, sambil meyakinkan warga Singapura bahawa langkah-langkah tersedia bagi menghadapi kelembapan itu.

"Jika kita perlu melakukan lebih banyak, kami akan melakukan lebih banyak pada bulan-bulan akan datang, tetapi kami sedang memantau dengan teliti."

Encik Chan berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita, yang bertanya mengenai respon Pemerintah tentang kemungkinan Singapura memasuki kemelesetan teknikal.

Angka awal dari agensi perdagangan IE Singapore yang dikeluarkan pada Khamis menunjukkan eksport bukan minyak merosot 12 peratus pada Oktober berbanding tahun sebelumnya.

Perangkaan terkini meningkatkan kemungkinan kemelesetan teknikal, yang didefinisikan sebagai penurunan dalam pengeluaran ekonomi selama dua suku berturut-turut.

Encik Chan bagaimanapun menegaskan ada perbezaan sangat besar antara angka semasa dengan yang dilihat semasa kemelesetan 2008-2009.

Beliau berkata pada 2008, terdapat penurunan umum dalam semua sektor, tetapi dalam persekitaran hari ini "yang anda lihat ialah prestasi beberapa sektor tidak baik, tetapi anda juga lihat prestasi sektor lain baik".

Encik Chan juga berusaha meletakkan angka ekonomi dalam perspektif yang betul, dengan mengatakan bahawa "dalam tempoh terdekat ini, selalu ada beberapa kegoyahan dalam prestasi".

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Sidang Puncak Pemimpin U Future yang dihadiri 1,000 karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) tempatan, di mana pemimpin industri membincangkan trend pasaran yang akan memberi manfaat kepada pencari kerja dan karyawan yang bekerja.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:02
Zuhur
1:08
Asar
4:34
Maghrib
7:13
Isyak
8:28
3 HR PSI: 49
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.