Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pemerintah prihatin, harmoni kaum kunci Muslim kongsi perpaduan SG

Masagos: Tidak terpaksa pilih antara prinsip agama dan nilai sekular seperti minoriti Muslim di negara lain
Nov 07, 2021 | 05:30 AM



MASYARAKAT Melayu/Islam di Singapura berjaya berkongsi prinsip kebersamaan dengan masyarakat majmuk yang lebih luas dengan rasa hormat, saling mempercayai dan harmoni, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Ini amat berbeza daripada masyarakat Islam minoriti lain di seluruh dunia, yang berdepan pelbagai cabaran kontemporari dan kadangkala berasa terpaksa memilih antara prinsip agama dan nilai sekular.



"Kunci kejayaan ini ialah Pemerintah yang prihatin serta iltizam teguh semua kaum untuk menyokong satu sama lain demi kebaikan bersama.



"Kita dapat keistimewaan mewujudkan institusi keagamaan, Muis (Majlis Ugama Islam Singapura), yang berwibawa, dan asatizah yang disegani dari segi ilmu dan tradisi keagamaan serta peka akan konteks kehidupan Singapura yang kosmopolitan.



"Dari semasa ke semasa, Pemerintah Singapura membuat penyesuaian untuk memenuhi keperluan pelbagai kaum.



"Terkini, Pemerintah membenarkan pemakaian tudung bagi pekerja sektor kesihatan awam, jika mereka mahu. Ini adalah satu perubahan dasar besar yang mendapat sokongan kaum lain kerana wujudnya kepercayaan dan perpaduan antara kaum.



"Muis juga mengeluarkan Fatwa supaya mereka yang terlibat berasa tenang dan membuat keputusan dengan yakin," ujar Encik Masagos.



Beliau menyatakan demikian dalam ucapannya merasmikan Seminar Prapersidangan Antarabangsa Masyarakat Berjaya (ICCOS) yang diadakan dalam alam maya pagi semalam. Ucapannya itu



Dihadiri sekitar 200 peserta dari Singapura dan serata dunia, seminar itu, antara lain, mengundang mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; mantan menteri ehwal agama Indonesia, Profesor Muhammad Quraish Shihab; dan naib pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Penolong Profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Ustaz Dr Mohamed Ali, berkongsi pandangan mereka.



Dalam ucapannya, Encik Masagos berkata adalah penting pemimpin agama daripada masyarakat sekular membangunkan badan ilmu pengetahuan sebagai pembimbing untuk kaum minoriti Muslim yang hidup dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama.



Ini kerana keadaan tidak menentu dan cabaran di dunia kontemporari sering menjejas masyarakat minoriti Muslim dahulu, baik di Singapura mahupun serata dunia, yang membentuk satu perlima populasi dunia.



"Selalunya, tiada duluan tertentu dalam sejarah atau tradisi Islam yang dapat membimbing mereka (menangani cabaran itu sepenuhnya).



"Pengalaman mereka juga amat berbeza daripada dalam masyarakat yang penganut Islam adalah kaum majoriti," kata Encik Masagos.



"Jadi komuniti minoriti Muslim mesti mempunyai keupayaan untuk menyumbang dalam usaha pembangunan negara dan juga mengamalkan agama mereka."



Encik Masagos turut memberi contoh tentang fatwa pemakaian tudung bagi kakitangan penjagaan kesihatan serta penyesuaian dalam beberapa amalan agama bagi melindungi orang awam daripada dijangkiti Covid-19 semasa pandemik ini.



Meskipun ia satu isu yang sukar ditangani, kerjasama pemimpin agama dan masyarakat berjaya membolehkan masyarakat Muslim di sini menerima langkah itu.




KEJAYAAN MASYARAKAT MUSLIM DALAM MASYARAKAT SEKULAR



"Di Singapura, faktor utama yang membimbing masyarakat Islam untuk menyesuaikan diri dan berkembang maju dalam masyarakat moden, kosmopolitan, ialah kehadiran institusi keagamaan yang boleh dipercayai dan dinamik. Kami telah membangunkan sekumpulan alim ulama secara berterusan, dengan lebih 2,500 lulusan dari universiti-universiti Islam. Mereka terlatih dengan baik dalam tradisi keagamaan, dan peka terhadap keperluan masyarakat Islam Singapura dan konteks tempatan. Mereka adalah aset berharga kita. Umat Islam mentadbir undang-undang pengurusan keluarga dan harta pusaka (faraid dan waqaf) berdasarkan prinsip Islam melalui perundangan yang setara dengan statut negara. Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Amla) juga menetapkan penubuhan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sebagai kepimpinan agama tertinggi yang bertanggungjawab ke atas institusi agama kita seperti masjid dan madrasah. Majlis ini penting dalam menyediakan bimbingan dan menyokong keperluan sosio-agama masyarakat Islam merentasi pelbagai isu. Dengan semangat persefahaman antara masyarakat berbeza, masjid kita di Singapura menguruskan ketinggian suara azan dan sebagai balasan, masjid, seperti tempat ibadat lain, dibina di estet perumahan berbilang kaum. Tempat ibadat berbeza wujud bersebelahan sejak sekian lama. Jika anda berjalan menyusuri Telok Ayer Street di Singapura, anda akan menemui masjid, keramat India Muslim, kuil Cina dan gereja di sepanjang jalan yang sama. Begitulah keadaannya kira-kira 100 tahun lalu, dan ia kekal begitu hingga hari ini. Bersama-sama ini menghasilkan satu tempoh keamanan dan keharmonian panjang, membolehkan semua orang, termasuk masyarakat Islam kita, mendapat manfaat dan kemajuan dari segi pendidikan. Ramai orang Islam telah berjaya dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka."
– Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >