PEMERINTAH Singapura akan menyumbang AS$50,000 ($66,000) bagi menyokong kerja-kerja bantuan bencana di Fiji menyusuli Siklon Yasa.
Badai, antara yang terkuat dalam rekod Pasifik Selatan, memusnahkan kehidupan ribuan orang apabila ia melanda Fiji pada 17 Disember lalu dan mengorbankan sekurang-kurangnya empat nyawa.
Sumbangan Singapura ini akan disalur menerusi Palang Merah Singapura dan membantu membekal barangan bantuan kecemasan, tarpal, bahan perlindungan, bekalan air selamat, keperluan rumah dan kit kebersihan.
Dana ini menambah sumbangan Palang Merah Singapura sebanyak AS$30,000 ($39,600).
Dalam satu kenyataan Palang Merah Singapura, Ketua Eksekutif Palang Merah Singapura, Encik Benjamin William, berkata:
"Kami benar-benar terkesan dengan nasib masyarakat yang terjejas oleh bencana iklim ini. Siklon ini menyebabkan banjir dan tanah runtuh yang mengakibatkan banyak kemusnahan di Fiji lantas mencetus pergolakan dan menjejas keamanan hujung tahun."
Palang Merah Singapura telah menggerakkan khidmat Mengembalikan Jalinan Keluarga bagi membantu warga Singapura dan warga lain menghubungi anggota keluarga yang mungkin terjejas oleh bencana ini.
Mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Palang Merah Singapura menerusi e-mel rfl@redcross.sg