Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pemilik F&B sedia jalankan pemeriksaan, demi sambut lebih ramai pelanggan

Keluarga alu pengumuman dapat duduk semeja hingga lima orang
Nov 10, 2021 | 05:30 AM



MESKI lebih banyak pemeriksaan perlu dilakukan sebelum pelanggan dibenarkan duduk makan, kedai makanan dan minuman (F&B) di sini bersedia melakukan segala yang diperlukan, jika ia bermakna lebih ramai pelanggan dapat makan di premis mereka.



Bermula hari ini, sehingga lima anggota dari isi rumah yang sama dibenarkan makan semeja, di tempat makanan yang dapat melakukan pemeriksaan yang diperlukan.



Namun kelonggaran itu tidak akan dikenakan bagi isi rumah yang berbeza, di mana had untuk makan di luar kekal pada dua orang yang telah menjalani vaksinasi penuh.



Pemilik Chix Hot Chicken di Jalan Pisang, yang juga penyanyi Taufik Batisah berkata kakitangannya akan memeriksa kad pengenalan pelanggan, sama ada secara fizikal atau digital, dan status vaksinasi mereka.



"Kami amat mengalu-alukan berita ini dan menerima segala perubahan yang perlu dilakukan.



"Pastinya ia lebih baik daripada peraturan makan dua orang sahaja sebelum ini kerana sekurang-kurangnya kini, keluarga tiga orang misalnya yang dari isi rumah yang sama, dapat duduk menikmati makanan di satu meja yang sama, itu sesuatu yang penting bagi kami.



"Kami akan memeriksa alamat mereka melalui kad pengenalan serta status vaksinasi sebelum mengatur tempat duduk mengikut keperluan mereka.



"Meski ia mungkin memakan sedikit masa tetapi kami rasa ia wajar dilaksanakan bagi keselamatan semua orang," ujarnya.



Dalam pada itu, jurucakap restoran popular Carousel di Hotel Royal Plaza on Scotts juga berkata pelanggan perlu menunjukkan kad pengenalan sebelum dapat duduk bersama semeja tidak melebihi lima orang.



Restoran itu juga telah menerima banyak panggilan untuk mengubah tempahan daripada dua hingga lima orang dari isi rumah yang sama.



"Kebanyakan pelanggan kami juga merancang untuk meraikan hari istimewa di Carousel seperti hari jadi atau ulang tahun perkahwinan.



"Kami juga telah menerima lebih 100 pertanyaan sejak pengumuman dibuat kelmarin untuk membuat tempahan minggu depan," kata jurucakap itu.



Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), kelonggaran makan di luar itu bagaimanapun tidak akan dikenakan terhadap pusat penjaja dan kedai kopi kerana kedai makan dan minuman itu perlu mampu melakukan pemeriksaan vaksinasi secara menyeluruh.



"Kami amat bersedia untuk melanjutkan kelonggaran yang sama kepada pusat penjaja dan kedai kopi sebaik mereka dapat melaksanakan langkah kawalan tambahan," ujarnya.



Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) akan mendekati persatuan penjaja dan pengendali kedai kopi berhubung isu itu, dan perkembangan terkini akan dikongsi apabila siap kelak, tambah pihak kementerian itu lagi.



Sementara itu, bagi Cik Ratna Ahmad, pemilik kedai makan Anna's Cafe yang terletak di hadapan Masjid Darul Aman dan dikategorikan sebagai kedai kopi, berkata meski agak kecewa kelonggaran yang sama tidak dilanjutkan kepada kedai makan sepertinya, beliau amat bersyukur terdapat perubahan kepada sektor makanan dan minuman.



"Kami bersedia melakukan segalanya agar pemeriksaan menyeluruh dapat dijalankan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang ingin duduk makan semeja tidak melebihi lima orang dari isi rumah yang sama.



"Buat masa sekarang kami akan tetap memberi tumpuan kepada penghantaran makanan ke rumah menerusi pemasaran dalam talian secara agresif dan pada masa yang sama menantikan berita baik agar kelonggaran dapat turut dilanjutkan kepada kedai makan seperti kami," tambahnya.



Bagi pegawai eksekutif kanan Cik Nur Ruhaini Rahmat, 36 tahun, yang mempunyai dua orang anak, Hamzah dan Hafsah Mohammad Fadhzli, masing-masing berusia lima dan tiga tahun, berita itu memang sesuatu yang dinanti-nantikannya.



"Anak saya adakalanya mahu duduk makan bersama saya, adakala ingin bersama suami saya. Jadi agak sukar jika kami sekeluarga duduk terpisah di restoran.



"Oleh sebab itu, baru-baru ini, kami telah membeli makanan dan memakannya bersama-sama di luar pusat beli-belah di mana terletaknya restoran itu.



"Memang tidak begitu seronok jika dibandingkan dengan makan semeja bersama di restoran!



"Justeru dengan langkah terbaru ini, bolehlah kami sekeluarga duduk semeja dan menikmati makanan bersama daripada sering membawa pulang makanan itu dan memakannya di rumah," ujar beliau.




"Kami akan memeriksa alamat mereka melalui kad pengenalan serta status vaksinasi sebelum mengatur tempat duduk mengikut keperluan mereka.

Meski ia mungkin memakan sedikit masa tetapi kami rasa ia wajar dilaksanakan bagi keselamatan semua orang."

- Pemilik, Chix Hot Chicken, yang juga penyanyi Taufik Batisah.



"Kami bersedia melakukan segalanya agar pemeriksaan menyeluruh dapat dijalankan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang ingin duduk makan semeja tidak melebihi lima orang dari isi rumah yang sama.

Buat masa sekarang kami akan tetap memberi tumpuan kepada penghantaran makanan ke rumah menerusi pemasaran dalam talian secara agresif dan pada masa yang sama menantikan berita baik agar kelonggaran dapat turut dilanjutkan kepada kedai makan seperti kami."

- Cik Ratna Ahmad, pemilik kedai makan Anna's Cafe di hadapan Masjid Darul Aman.




PERUBAHAN LANGKAH COVID-19



MULAI HARI INI



  • Isi rumah yang divaksinasi penuh boleh makan semeja hingga lima orang

    Dibenarkan bagi kedai makan yang boleh jalankan pemeriksaan

  • Makan di pusat penjaja dan kedai kopi kekal pada had dua orang yang sudah divaksinasi penuh buat masa ini

  • Sambung semula kegiatan sukan

    Sukan berpasukan bagi kumpulan hingga 10 orang yang sudah jalani vaksinasi penuh dibenarkan di beberapa pusat sukan ActiveSG dan balai rakyat Persatuan Rakyat

    Pemain perlu lakukan ujian gunakan kit ujian pantas antigen (ART) sebelum sesi bermain

  • Program pemulihan rumah diluaskan

    Usia minimum bagi pemulihan di rumah sebagai aturan pemulihan utama dikurangkan dari lima kepada tiga tahun

    Bayi dan kanak-kanak antara tiga bulan dengan bawah tiga tahun dibenarkan pulih di rumah selepas jalani penilaian di hospital dan didapati sesuai.

MULAI 11 NOVEMBER



  • ART diiktiraf sebagai ujian prakeberangkatan

    Mulai 11.59 malam pada 11 November, keputusan ART yang dilakukan secara profesional dan didapati negatif dua hari sebelum tarikh keberangkatan akan diterima masuk ke Singapura bagi pengunjung terpilih termasuk mereka yang tiba melalui Laluan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL)

MULAI 29 NOVEMBER



  • Lebih banyak VTL

    VTL akan dilancar bersama Finland dan Sweden

    VTL bersama Malaysia bagi perjalanan antara Lapangan Terbang Changi dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur akan dilancar

MULAI 1 DISEMBER



  • Mereka yang tidak boleh divaksinasi akan dikecuali daripada langkah pengurusan selamat yang bezakan status vaksinasi

    Individu yang tidak layak secara perubatan bagi semua vaksin Covid-19 di bawah Program Vaksinasi Negara akan dikecualikan daripada langkah pengurusan selamat yang membezakan status vaksinasi

    Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama dengan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTECH) untuk menunjukkan status tidak layak secara perubatan di aplikasi TraceTogether mereka

MULAI 8 DISEMBER



  • Pesakit Covid-19 yang pilih untuk tidak divaksinasi perlu bayar bil perubatan sendiri

    Pemerintah akan terus bayar bagi mereka yang tidak layak divaksinasi

MULAI JANUARI 2022



  • Lebih banyak aktiviti sekolah

    Akan disambung semula bagi pelajar menengah ke atas seperti aktiviti kokurikular, perhimpunan dan program erjalanan pembelajaran

    Ini termasuk Sukan Sekolah Kebangsaan dan Festival Belia Singapura

    Lebih banyak kelas bersemuka dan aktiviti pelajar di institut pengajian tinggi serta acara sukan berskala besar seperti Sukan Politeknik-ITE dan Sukan Antara Fakulti




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >