PEMILIK gerai sate terkenal Alhambra Padang Satay, Encik Mohd Hussin Abdul Kader Malim, meninggal dunia dinihari tadi pada usia 58 tahun akibat paru-paru kembang ketika menjalani rawatan di Hospital Tan Tock Seng (TTSH).
Beliau dikejarkan ke hospital tersebut oleh seorang kenalannya sejurus keluar dari Lapangan Terbang Changi Rabu lalu - sepulangannya dari China atas urusan perniagaan sejak Isnin lalu.
Adiknya, Cik Kartinah, 53 tahun, ketika ditemui di flatnya di Hougang Avenue 8 hari ini, menyatakan Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya sekitar 1 pagi.
Allahyarham hidup membujang selepas lama bercerai dengan isterinya dan tidak mempunyai zuriat.
Allahyarham dan beberapa sahabatnya mula berniaga sate pada 1960-an di gerai dekat Pawagam Alhambra, Beach Road, sebelum berpindah ke Satay Club di Esplanade sekitar tahun 1970-an.
Gerainya sekarang, Alhambra Padang Satay, terletak di Makansutra Gluttons Bay di Esplanade.
Perniagaan satenya yang popular di Singapura telah membawa Allahyarham ke bandar utama dunia seperti London, New York, San Francisco dan Shanghai.
Sejak sembilan tahun lalu, beliau menjayakan acara Singapore Day atau Hari Singapura yang diadakan setiap tahun di negara-negara serata dunia.