Pemilik kedai Alhambra Padang Satay meninggal dunia

PEMILIK gerai sate terkenal Alhambra Padang Satay, Encik Mohd Hussin Abdul Kader Malim, meninggal dunia dinihari semalam pada usia 58 tahun akibat paru-paru kembang ketika menjalani rawatan di Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Beliau dikejarkan ke hospital tersebut oleh seorang kenalannya sejurus keluar dari Lapangan Terbang Changi Rabu lalu - sepulangannya dari China atas urusan perniagaan sejak Isnin lalu.

Adiknya, Cik Kartinah, 53 tahun, ketika ditemui di flatnya di Hougang Avenue 8 semalam, menyatakan Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya sekitar 1 pagi.

"Kami empat beradik berada di sisinya dan melihat sendiri beliau pergi dengan tenang buat selama-lamanya. Arwah memang mempunyai rekod penyakit jantung tetapi doktor mengesahkan punca kematiannya disebabkan paru-paru kembang,'' kata adik lelakinya, Encik Johan, 55 tahun.

Jenazahnya dibawa ke flat Cik Kartinah untuk diuruskan.

Menurutnya, Allahyarham hidup membujang selepas lama bercerai dengan isterinya dan tidak mempunyai zuriat.

"Beliau hidup sendiri di sebuah unit kondominium di kawasan bandar namun kami sering berjumpa, berborak dan berkongsi masalah masing-masing.

"Allahyarham periang orangnya dan kuat bekerja untuk memajukan perniagaan satenya yang diwarisi daripada orang tuanya. Arwah selalu cakap beliau kerja kuat semata-mata untuk membahagia dan memakmurkan keluarga,'' kata Cik Kartinah sambil menyifatkan pemergiannya sebagai sesuatu yang mendadak.

Allahyarham dan beberapa sahabatnya mula berniaga sate pada 1960-an di gerai dekat Pawagam Alhambra, Beach Road, sebelum berpindah ke Satay Club di Esplanade sekitar tahun 1970-an.

Gerainya sekarang, Alhambra Padang Satay, terletak di Makansutra Gluttons Bay di Esplanade.

Perniagaan satenya yang popular di Singapura telah membawa Allahyarham ke bandar-bandar utama dunia seperti London, New York, San Francisco dan Shanghai.

Sejak sembilan tahun lalu, beliau menjayakan acara Singapore Day atau Hari Singapura yang diadakan setiap tahun di negara-negara serata dunia.

Selain di Singapura, Allahyarham juga telah membuka sebuah gerai sate di sebuah pusat beli-belah mewah, SG Mega Mall, di kawasan pusat kewangan, Ortiga, di Metro Manila, sejak lewat 2016.

Beliau diundang pakar makanan tempatan, Encik K.F. Seetoh, untuk membuka gerai yang dinamakan Alhambra Padang Satay & Muslim Food yang terletak dalam pusat makanan MakanSutra yang dimiliki Encik Seetoh dan rakan kongsinya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Aman tengah hari semalam.

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:38
Syuruk
7:02
Zuhur
1:09
Asar
4:34
Maghrib
7:14
Isyak
8:29
3 HR PSI: 37
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.