Subuh
5:46
Syuruk
7:05
Zuhur
1:11
Asar
4:29
Maghrib
7:15
Isyak
8:26

Pemilik kedai Haji Lane diberi peringatan ikut aturan keselamatan trafik

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Pemilik kedai Haji Lane diberi peringatan ikut aturan keselamatan trafik

Jun 17, 2022 | 05:30 AM

PENGUASA Pembangunan Semula Bandar (URA) dan lima lagi agensi relevan telah memberi peringatan kepada kedai-kedai di Haji Lane supaya bekerjasama dalam mematuhi beberapa peraturan keselamatan jalan raya di kawasan tersebut.

Notis peringatan itu telah diberikan kepada peniaga di situ pada 8 Jun lalu, menekankan peri pentingnya mereka mematuhi undang-undang tersebut sedang Haji Lane masih dibuka kepada trafik.

Sejak Mac 2020, penutupan jalan di kawasan Kampong Glam telah digantung selaras dengan langkah negara untuk tidak menggalak orang ramai supaya berkumpul demi mengurangkan penularan Covid-19.

Dalam satu kenyataan bersama kepada Berita Harian (BH), ia berkata sejak beberapa bulan lalu, agensi-agensi telah mendapati kegiatan perniagaan telah dijalankan di sepanjang Haji Lane, meskipun penutupan jalan masih digantung dan jalan boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Ini termasuk perniagaan menempatkan meja dan kerusi untuk pelanggan mengambil makanan dan minuman di jalan raya, tanpa pelan pengurusan yang betul untuk memastikan akses kecemasan.

"Aktiviti ini menghalang laluan kenderaan kecemasan dan menimbulkan potensi bahaya kebakaran dan keselamatan.

"Di samping itu, barang-barang yang diletakkan di laluan kaki lima dan laluan pejalan kaki terbuka juga boleh menghalang akses pejalan kaki," kata kenyataan itu.

Justeru, agensi-agensi relevan telah berulang kali cuba menghubungi perniagaan di kawasan itu supaya mematuhi undang-undang dan garis panduan berkaitan.

Peringatan tersebut telah diberikan URA, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Pasukan Polis Singapura (SPF), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Majlis Kesenian Negara (NAC).

Dalam tinjauan BH di situ baru-baru ini, pemilik kedai didapati tetap meletakkan kerusi dan meja di jalan raya untuk menjalankan perniagaan mereka.

Beberapa pemilik kedai yang ditemui hujung minggu lalu, berkata pembukaan jalan di Haji Lane telah menjejas perniagaan dan suasana di kawasan tersebut.

Pengarah kafe 'Rumi: The Poet's Cup', Encik Syahruramadhan, yang lebih mesra dengan panggilan Aden, berkata industri makanan dan hiburan terjejas sewaktu Covid-19.

"Jadi kita di Haji Lane ghairah apabila keadaan bertambah baik dan lebih fleksibiliti untuk berniaga. Tetapi kini, kita terpaksa mengikuti peraturan baru ini," kata Encik Aden.

Menurut salah seorang pemilik restoran 'The Halal Corner', Encik Asyraf Rasheed, kebanyakan kedai di Haji Lane kecil dan perlukan ruang di luar.

"Kebanyakan kedai perlukan ruang tambahan di jalan raya untuk menampung pelanggan yang ramai, terutama pada waktu malam dan hujung minggu. Jadi ramai peniaga akan rugi," katanya.

Encik Aden dan kafenya sedang mendapatkan sokongan ramai untuk mengembalikan penutupan jalan di Haji Lane melalui kempen dan petisyen di media sosial.

Menyentuh tentang hal keselamatan itu, kenyataan tersebut berkata agensi-agensi terlibat telah mengadakan perbincangan dengan persatuan niaga One Kampong Gelam (OKG) untuk menangani keadaan tersebut.

Dengan langkah pengurusan selamat dilonggarkan dan perniagaan dan kegiatan sosial dibuka dan dimulakan semula, agensi-agensi terbabit sedang dalam perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan untuk menimbangkan penutupan semula jalan.

"Ini dengan syarat pihak berkepentingan melaksanakan pelan pengurusan yang betul untuk memastikan keselamatan awam, seperti memudahkan pergerakan kenderaan kecemasan," kata kenyataan tersebut.


"Aktiviti ini menghalang laluan kenderaan kecemasan dan menimbulkan potensi bahaya kebakaran dan keselamatan.
Di samping itu, barang-barang yang diletakkan di laluan kaki lima dan laluan pejalan kaki terbuka juga boleh menghalang akses pejalan kaki."

- Kenyataan bersama agensi pemerintah.

"Kebanyakan kedai perlukan ruang tambahan di jalan raya untuk menampung pelanggan yang ramai, terutama pada waktu malam dan hujung minggu. Jadi ramai peniaga akan rugi."
- Encik Asyraf Rasheed, seorang pemilik restoran 'The Halal Corner'.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3