DALAM mengharungi cabaran daripada pandemik Covid-19, masyarakat Islam di Singapura terpaksa membuat perubahan yang belum pernah dilakukan sebelum ini tanpa rujukan daripada pengalaman masyarakat Islam lain.
Ini memandangkan negara ini antara yang pertama dilanda virus itu, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
"Sejak dua tahun lalu, kita terpaksa membuat penyesuaian yang sukar dalam menghadapi isu-isu baharu dan kompleks, sambil mengimbangi keperluan masyarakat yang semakin berkembang.
"Para pemimpin agama kita tegas dalam membimbing masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan pandemik Covid-19 ini," kata Encik Masagos, dalam satu pos di Facebook kelmarin.
Dalam masa tidak menentu dan agak membimbangkan ini, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan pemimpin agama saling bekerjasama dalam usaha mencari jalan terbaik bagi masyarakat maju ke hadapan.
Sehubungan dengan itu, Muis menganjurkan satu siri seminar mengenai Masyarakat Islam Gemilang melibatkan cendekiawan tempatan dan antarabangsa.
Seminar tersebut bertujuan memberi peserta peluang berkongsi idea dan pengalaman mereka dalam mengharungi pelbagai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat masing-masing.
Encik Masagos sendiri menghadiri seminar 'Masyarakat Islam Gemilang dalam konteks pandemik Covid-19' yang diadakan Jun lalu.
Beliau berkata asatizah Singapura menyertai seminar tersebut secara aktif, dan "ghairah untuk mengetahui bagaimana kita boleh bergerak ke hadapan dengan yakin sebagai sebuah masyarakat dan menjadi lebih bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran baharu".
Cendekiawan tempatan juga berkongsi pengalaman Singapura dalam memberi bimbingan agama semasa pandemik ini, termasuk penyesuaian yang diperlukan untuk solat Jumaat, kata Encik Masagos.
"Wadah seperti seminar ini menyediakan peluang yang berguna untuk menggembleng kekuatan dan kebolehan kita serta bekerjasama ke arah visi Masyarakat Islam Gemilang.
"Seminar itu juga telah meminta pucuk pimpinan agama berfikir dan merancang bagaimana kita boleh membangunkan huraian-huraian dan rangka kerja baharu untuk maju melangkaui wabak sekarang ini," kata Encik Masagos.
Bagi meneruskan perbincangan itu, seminar 'Masyarakat Islam Gemilang dalam Konteks Masyarakat Sekular' diadakan hari ini.
Acara itu mengundang pakar antarabangsa untuk mengongsi cara mereka mengatasi isu-isu kontemporari di negara masing-masing.