Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

FOKUS BERITA: PERJUMPAAN HARI RAYA MENTERI

Pemimpin masyarakat alu-alu usaha perkukuh kesihatan, pendidikan

May 15, 2022 | 05:30 AM



SOKONGAN yang dipertingkatkan untuk memperkukuh kesihatan dan pendidikan masyarakat amat dialu-alukan dan bertepatan sedang Singapura bangkit semula daripada pandemik, kata para pemimpin masyarakat.



Ini akan memberi masyarakat Islam fokus dan harapan bagi masa depan, dengan memanfaatkan nilai daya tahan dan disiplin yang dipamer sepanjang pandemik.



Semasa Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri kelmarin, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad mengumumkan anugerah Biasiswa Syed Isa Semait (SISS) akan mendapat peruntukan $1 juta dan diluaskan manakala Program Saham Kesihatan baru akan diperkenalkan bagi menggalak masyarakat kekal berdisiplin dalam penjagaan kesihatan.



Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman berkata:



"Ucapan Encik Masagos melahirkan harapan beliau kepada masyarakat, mengimbas kembali cabaran yang kita lalui sebagai satu masyarakat dan bagaimana sebagai satu masyarakat kita menunjukkan kekuatan kita, bekerjasama walaupun harus jalani kesukaran."



Menurut Dr Maliki yang juta Menteri di Pejabat Perdana Menteri, segala pengorbanan masyarakat Melayu/Islam telah menghasilkan situasi hari ini.



"Ia menunjukkan kepada generasi muda kita bahawa walaupun kita mempunyai cabaran, jika kita teguh bersatu kita dapat mengharungi cabaran ini dan bagaimana tenaga ini boleh disalurkan dalam projek baru yang boleh membawa masyarakat ke masa depan yang lebih cemerlang dan lebih gemilang," tambahnya.



Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan) Cik Rahayu Mahzam, berpandangan banyak isu diketengahkan adalah dekat di hati.



"Ia memberikan gambaran usaha yang kita jalankan pada tahun-tahun lalu dan semangat masyarakat kita dalam menghadapi cabaran, terutama sekali dalam waktu pandemik.



"Pada masa sama, ia memberikan lakaran apa yang perlu dilakukan dan bagaimana untuk kita lakukan dengan usaha sudah sedia ada.



"Jadi saya harap ini dapat sama-sama mengajak masyarakat agar bertindak dan menyumbang dalam usaha memajukan dan menjayakan masyarakat kita," jelasnya yang bakal menerajui Program Saham Kesihatan.



Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, pula berkata pesanan Encik Masagos adalah penting memandangkan keadaan sekarang.



"Mesej mengenai kesihatan bertepatan waktu kerana masyarakat sekarang hanya boleh membayangkan atau mengandaikan isu kesihatan hari ini adalah berkaitan pandemik sahaja tetapi kita lupa ada banyak lagi isu kesihatan lain.



"Jadi jika kita dapat menjaga diri dan kesihatan bagi jangka panjang, ia amat bermanfaat kerana kita juga dapat lihat kos kesihatan meningkat semakin kita meningkat usia," jelas beliau.



Beliau juga menyambut baik peluasan anugerah Biasiswa Syed Isa Semait.



"Ini satu langkah yang sangat baik agar lebih ramai boleh memanfaatkanya di samping terdapat pengiktirafan lebih luas terhadap pendidikan agama dan bagi mereka yang mahu mengecapi mutu tertinggi dalam pendidikan agama.



Isu kesihatan turut menarik perhatian presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim.



"Program baru ini memang dinantikan, kerana saya fikir sudah tiba masanya untuk kita memberi fokus kepada kesihatan kerana apabila diri kita terjaga, kita berada di tahap yang terbaik dan boleh menjadi versi diri kita yang lebih baik.



"Paling menggalakkan juga, ialah setiap orang masih lagi bertanggungjawab dari segi memastikan norma-norma sosial yang baru tetap terjaga. Jadi kita lebih prihatin, lebih berhati-hati dan lebih menghormati antara satu sama lain."



Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman pula bersetuju dengan penekanan diberikan kepada pembelajaran sepanjang hayat.



"Keprihatinan Encik Masagos terhadap masyarakat Islam adalah jelas dan salah satu perkara penting ialah pembelajaran hayat.



"Kita harus terus usaha ini kerana usaha meningkatkan kemahiran perlu diteruskan. Ini membolehkan kita merebut peluang baru agar dapat menjamin pekerjaan lebih baik pada masa depan," katanya.



Pengerusi AMP Singapura, Dr Md Badrun Nafis Saion, menyifatkan pembelajaran sepanjang hayat sesuatu yang kritikal terutama dengan kemelesetan ekonomi dijangkakan.



"Dengan ini, akan wujud cabaran pekerjaan yang boleh menimbulkan pula isu yang berangkai.



"AMP bersedia meneruskan usaha dalam menyokong masyarakat kita menghadapi cabaran ini menerusi program dan perkhidmatan AMP, termasuk usaha kerjasama dengan rakan-rakan kami di agensi-agensi dan badan-badan lain."



Ketua Eksekutif, Majlis Ugama Islam (Muis), Encik Kadir Maideen menukil tiga ciri yang membentuk masyarakat semasa Covid-19 iaitu menangani krisis berlandaskan ilmu, keprihatinan dan disiplin.



"Ilmu keagamaan yang dikongsi oleh pemimpin agama telah membolehkan Muis menyokong masyarakat menerusi keputusan bijak dan huraian berkesan sepanjang dua tahun lalu.



"Ini tidak mungkin dapat dikecapi tanpa asatizah dan Muis kekal komited menyokong lembaran seterusnya dalam pembangunan asatizah.



"Kami juga gembira melihat masyarakat berdisiplin dalam mematuhi langkah selamat, sekali gus membolehkan kita menyambung kegiatan keagamaan semasa Ramadan dan menyambut Hari Raya lebih meriah," kata Encik Kadir.




"Alhamdulillah, saya gembira dapat mengadakan majlis tahunan Perjumpaan Hari Raya secara fizikal pada tahun ini.



Sewaktu majlis tersebut, saya telah menekankan tentang pentingnya pembelajaran sepanjang hayat.



Saya mengalu-alukan masyarakat Melayu/Islam kita untuk sentiasa menimba ilmu dan kemahiran baru demi membina masa hadapan yang kukuh terutama sekali dalam era digital dan perubahan global.



Dalam usaha kita untuk membentuk sebuah Masyarakat Gemilang, saya amat berbesar hati kerana lebih ramai sukarelawan dan mentor telah tampil ke hadapan untuk menyumbang kepada masyarakat agar tidak ada sesiapa yang ketinggalan.



Saya juga telah berkongsi kisah beberapa orang individu yang telah berbakti kepada masyarakat seperti Dr Muhammad Nadjad Abdul Rahim dan Profesor Madya Yusuf Ali.



Mereka telah menyumbang kepada sektor penjagaan kesihatan, dengan mengetuai penyelidikan, menerbitkan kertas saintifik dan menghasilkan penemuan saintifik yang dapat membantu karyawan kesihatan memahami lebih lanjut tentang penyakit-penyakit yang menjejas masyarakat Singapura.



Saya juga ingin menggalak masyarakat Melayu/Islam kita untuk memainkan peranan menjaga kesihatan diri serta orang-orang tersayang.



Kita dapat berbuat demikian dengan kerap bersenam, makan secara sederhana dan juga menjalani pemeriksaan kesihatan agar kita berada dalam keadaan yang baik.



Akhir sekali, saya amat berbesar hati untuk mengumumkan perluasan Biasiswa Syed Isa Semait bagi para pelajar madrasah yang cemerlang supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran mereka di universiti-universiti Islam yang berprestij di merata dunia.



(Sebanyak) $1 juta telah diperuntukkan bagi biasiswa ini. Usaha sebegini penting dalam membina sebuah sektor keagamaan yang cekap dan berdaya tahan dalam masyarakat kita.



- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad di Facebooknya semalam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >